Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Hutan Hujan Tropika

Question: Pengelasan Hutan Hujan Tropika di Malaysia

Answer: Pokok-pokok di lapisan renjong dapat mencapai ketinggian 60 hingga 70m. Kebanyakan pokok-pokok ini adalah daripada famili Dipterocarpaceae dan Leguminosae. Diterocarpaceae sering dikaitkan dengan kumpulan pokok-pokok balak komersial di Malaysia seperti balau, cengal, kapur, keruing, meranti, merawan, mersawa dan seraya.
Lapisan silara utama pula terdiri daripada tumbuh-tumbuhan berbagai famili yang tingginya antara 20 hingga 40m. Misalnya, kedondong, kandis, penarahan dan kelat. Di tingkat bawah pula, terdapat pokok-pokok kecil dan palma yang hidup subur di bawah silara tersebut. Kumpulan tumbuhan sementara bagi lapisan hutan tingkat bawah terdiri daripada anak-anak pokok dan pokok muda. Di lantai hutan pula terdapat anak-anak pokok, palma-palma kecil, tumbuhan renek dan herba.
Hutan hujan tropika di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kelas iaitu hutan-campuran ( mixed forest ) dan hutan dominan tunggal ( single-dominant forest ). Hutan campuran seperti hutan Dipterokarpa tanah pamah terdiri daripada berbagai famili tumbuhan manakala hutan dominan tunggal dapat dilihat pada jenis hutan dominan tunggal spesies kapur ( Dryobalanops aromatica ) seperti yang terdapat di Kanching, Selangor. Ia adalah campuran spesies yang berbeza-beza dari segi komposisi flora dan ia berubah mengikut habitat. Pengelasan jenis-jenis kawasan hutan di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan kepada komposisi tumbuh-tumbuhan yang dominan di habitat-habitat tertentu ( Lampiran 3 ). Selain itu, jenis-jenis hutan di Malaysia boleh dikelaskan berdasarkan kepada beberapa faktor lain seperti pengaruh iklim, tanah dan biotik.
Dengan berdasarkan kepada ketinggian kawasan di atas aras laut, hutan ini juga boleh dikelaskan kepada hutan dipterokarpa pamah, hutan dipterokarpa bukit, hutan dipterokarpa atas, hutan oak-gunung dan hutan ericaceous gunung. Dipterokarpa merupakan kumpulan pokok-pokok berdamar famili Dipterokarpa yang terdapat di lapisan sudur hutan dan di bahagian silara utama hutan. Hutan dipterokarpa pamah meliputi semua hutan atau rimba di kawasan tanah dan di kaki-kaki bukit sehingga ketinggian 30m. Hutan dipterokarpa bukit pula adalah hutan di bukit-bukit antara ketinggian 30 hingga 762m manakala hutan antara ketinggian 762 hingga 1200m adalah hutan dipterokarpa atas. Hutan oak-gunung adalah hutan antara paras ketinggian 1200 hingga 1500m. Hutan yang melebihi 1500m adalah hutan ericaceous gunung.
Jenis-jenis hutan ini terjadi akibat daripada perbezaan komposisi tumbuh-tumbuhan flora dan struktur umum yang terkandung dalam hutan itu. Hutan dipterokarpa pamah dan hutan dipterokarpa bukit adalah jenis hutan tanah pamah tropika yang terbesar di dunia. Hutan dipterokarpa atas dan hutan oak-gunung pula merupakan pembentukan jenis hutan pergunungan rendah manakala hutan ericaceous ialah jenis hutan tropika pergunungan tinggi.
Hutan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian kita. Kegunaannya tidak lagi dinafikan oleh kita. Untuk melindungi hutan, kita harus sedar akan kepentingannya sebelum kita dapat menghayati dan menjaganya untuk generasi yang akan datang.

(Source: WANNURA - Koleksi Tumbuhan, 29 Mar 2021)

Source Link: https://wannura.wordpress.com/2010/05/17/artikel-hutan-hujan-tropika-dan-kepentingannya/