Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Schizophrenia

Question: Cabaran Penjagaan Pesakit Schizophrenia

Answer: 1. Stigma
Stigma masyarakat terhadap pesakit mental memang sukar untuk dilenyapkan. Pesakit mental secara umumnya sering dipandang dihina dan sering didiskriminasikan oleh masyarakat. Mereka bukan sahaja memandang serong kepada pesakit bahkan mengaitkan ahli keluarga pesakit. Kesannya, keluarga sukar untuk menerima hakikat bahawa ahli keluarga mereka mengidap penyakit mental khususnya pengidap schizophrenia.

Gejala yang di tunjukkan oleh pengidap schizophrenia yang gagal dalam rawatan (relapsed schizophrenia) menyebabkan penjaga lebih cenderung mempercayai pesakit disampuk makhluk halus dan mendapatkan bantuan bomoh bagi menghindari pandangan sinis masyarakat. Penjaga juga seberapa boleh merahsiakan keadaan pesakit dari pengetahuan umum. Keadaan ini yang mendorong penjaga mengurung pesakit dan membiarkan pesakit berkeliaran atau merayu pihak berkuasa menempatkan pesakit di institusi.

2. Keadaan Pesakit
Pesakit yang menjalani rawatan psikiatri sering menunjukkan gejala-gejala sampingan seperti mengantuk, kegelisahan, terketar-ketar dan pergerakkan badan yang tidak normal. Gejala-gejala ini menyebabkan mereka sukar menjalani kehidupan normal dan memerlukan bantuan dan perhatian orang lain khususnya penjaga.

Emosi (mood) pesakit Schizophrenia yang sering berubah-ubah juga merupakan salah satu cabaran kepada penjaga. Perubahan emosi mungkin terjadi secara tiba-tiba seperti dari keadaan tenang, pesakit boleh berubah menjadi agresif. Penjaga perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan pesakit.

Selain daripada itu, terdapat pesakit Schizophrenia yang tidak menerima hakikat bahawa dia mengidap penyakit mental. Mereka sering menolak untuk menjalani rawatan dan sudah pasti tidak mahu mengambil ubatan secara konsisten. Situasi ini menyebabkan penyakit berulang dan proses rawatan – pemulihan menjadi sukar samada penjaga terpaksa memujuk atau amat berhati-hati ketika memberi ubatan. Terdapat kes dimana pesakit menolak ubatan oral dan penjaga terpaksa menitis ubat (Clopixol) dalam makanan pesakit tanpa pengetahuan pesakit. Keadaan ini akan menyukarkan proses penjagaan ke atas pesakit atas faktor pesakit tiada insight.

3. Pengetahuan Dan Kefahaman Penjaga Tentang Penyakit
Kurang atau tiada pengetahuan tentang penyakit juga merupakan cabaran bagi penjagaan pesakit. Penjaga merupakan orang yang paling hampir dengan pesakit, kurangnya pengetahuan tentang penyakit akan menyebabkan mereka berisiko untuk berhadapan dengan pesakit, Mereka perlu diberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan penyakit seperti simptom-simptom relapse, rawatan dan cara-cara mengatasi pesakit relapse. Penjaga juga perlu faham mengenai perubahan emosi pesakit dengan mengenalpasti tanda-tanda yang ditunjukkan seperti kemurungan tiba-tiba, perlakuan agresif dan menangani keadaan tersebut dengan bijak supaya ianya tidak menjadi ancaman kepada penjaga dan ahli keluarga.

Selain daripada itu, kekurangan pengetahuan penjaga berkaitan pengambilan ubat dan dos juga merupakan cabaran dalam proses penjagaan pesakit mental. Mereka harus diberi pengetahuan tentang pengambilan dan dos ubatan yang perlu diambil oleh pesakit. Kesalahan dos dan kegagalan penjaga menangani keengganan pesakit mengambil ubat boleh menjejaskan keadaan pesakit dan mempengaruhi mereka untuk bertindak agresif atau sebaliknya. Situasi ini bukan sahaja mempengaruhi pesakit malahan boleh menjejaskan emosi penjaga.

Di samping itu, penjaga perlu mengetahui kesan pengambilan ubatan psikiatri ke atas pesakit seperti mengantuk, gelisah, pergerakan badan yang tidak normal, pening dan terketar-ketar. Tanpa pengetahuan berkaitan akan menyebabkan penjaga ragu-ragu tentang rawatan yang dijalankan dan dikhuatiri akan menghentikan pengambilan ubat tanpa mendapatkan nasihat dari pakar. Justeru itu, pengetahuan mengenai penyakit amat penting dalam mengatasi cabaran penjagaan pesakit mental.

4. Kemampuan Penjaga
Tahap kemampuan penjagaan merupakan faktor penting dalam merealisasikan penjagaan pesakit. Kemampuan bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi merangkumi faktor mental, fizikal dan sosial. Setiap penjaga mesti memenuhi ke empat-empat faktor ini bagi memudahkan mereka menjalankan tugas sebagai proses dan kualiti penjagaan ke atas pesakit.

Kemampuan mental merangkumi kesanggupan penjaga berhadapan dan berinteraksi dengan pesakit mental yang mempunyai pelbagai kerenah yang mencabar kesabaran penjaga. Bagi pesakit Schizophrenia kronik, mereka tidak berkemampuan untuk menjaga diri sendiri, termasuklah activity daily living – ADL). Situasi yang berulang-ulang akan menyebabkan penjaga mengalami tekanan dengan rutin hidup harian mereka jika tiada ketahanan mental.

Selain daripada itu, penjaga juga akan menghadapi tekanan yang disebabkan oleh ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Karenah dan perbuatan pesakit seperti mengotorkan tempat tinggal (Hoarding Syndrome), meracau, bising dan mengganggu orang lain akan menimbulkan kemarahan masyarakat terutama pesakit yang di diagnos mengidap paranoid schizophrenia. Bagi mereka yang kurang pengetahuan tentang penyakit mental akan menimbulkan kemarahan atau membuat aduan pada keluarga atau agensi berkaitan. Mengelak dari relapse merupakan faktor utama penjaga mengalami tekanan mental.

Cabaran penjagaan pesakit Schizophrenia juga merangkumi kemampuan dari segi fizikal. Penjaga pesakit mental sering mengalami keletihan yang berpanjangan, hilang privacy, takut, cemas, bimbang, sedih dan kebebasan yang terbatas. Konflik kerjaya juga berlaku, ada ketika terpaksa meninggalkan pesakit sendirian tanpa seliaan. Perkara ini sering mengganggu penjaga dan menjadi dilema kepada mereka di antara kerjaya dan pesakit yang merupakan darah daging mereka. Keperluan kewangan bukan sahaja untuk isi rumah tetapi merangkumi keperluan pesakit seperti kos rawatan, ulang alik menjalani rawatan dan sebagainya. Di samping itu, kebanyakan penjaga terdiri daripada wanita, berpendidikan rendah, mempunyai tanggungjawab sendiri (suami & anak), bergantung kepada pendapatan suami. Kemampuan kewangan mereka juga terbatas terutamanya peruntukan untuk pesakit sehingga timbulnya isu pengabaian ke atas pesakit.

Sebahagian pesakit Schizophrenia kronik yang sukar dikawal dan memerlukan rawatan dan penjagaan rapi lebih membebankan penjaga dari segi kewangan. Mereka terpaksa dimasukkan ke pusat-pusat jagaan atau rawatan yang perlu dibiayai oleh penjaga. Ketidakmampuan menyebabkan mereka cuba mengelakkan diri atau menghilangkan diri dari pihak hospital atau pusat jagaan.

Penerimaan ahli keluarga dan masyarakat terhadap keluarga pesakit mental juga merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh penjaga. Umumnya masyarakat mengetahui penyakit mental merupakan penyakit keturunan dan berpotensi untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Keadaan ini menyebabkan masyarakat cuba mengelak untuk mempunyai hubungan sosial dengan keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental. Kesannya terdapat ahli keluarga pesakit yang menjauhi pesakit atau membiarkan tanggungjawab tersebut pada seseorang individu sahaja.

Di pihak keluarga pula mengambil giliran dalam penjagaan akan dapat mengatasi stress burden, merasa di beri sokongan dan membuat kesimpulan bahawa isu penjagaan pesakit bukan tanggungjawabnya seorang. Situasi ini menunjukkan bahawa sokongan keluarga amat penting dalam isu penjagaan pesakit Schizophrenia kerana tanpa sokongan keluarga potensi untuk pesakit relapse dan terbiar amat besar.

(Source: MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, 12 May 2021)

Source Link: http://www.myhealth.gov.my/schizophrenia-3/