Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Baja Kompos

Question: Cara Buat Baja Organik yang Paling Mudah

Answer: Cara Buat Baja Organik yang Paling Mudah

Bagaimana cara untuk buat baja organik yang paling murah dan mudah. Artikel ini akan membincangkan cara pembuatan baja organik yang anda semua boleh ikut.

Seperti yang kita sedia tahu, terdapat pelbagai jenis baja berada di pasaran pertanian. Baja yang paling umum digunakan masyarakat adalah baja kimia. Pelbagai jenama boleh didapati di pasaran seperti Yara, Nitrophoska, Cock’s Head dan banyak lagi. Tapi kebiasaannya jenama-jenama tersebut digunakan untuk projek pertanian yang berskala besar. Almaklumlah, projek berskala besar ini memerlukan kecekapan pengeluaran hasil dan keberkesanan kesannya terhadap tanaman. Jadi, penggunaannya wajar untuk projek komersial.

Akan tetapi, untuk penggunaan baja kimia ini memerlukan perbelanjaan besar kerana pembelian baja kimia ini amatlah memakan kos sehingga mencecah ratusan ringgit per beg seberat 50kg. Kita rakyat marhaen ini mana mampu nak membeli baja ini sepenuhnya dengan harga sebegitu tanpa subsidi. Maka untuk mendapatkan pengeluaran hasil yang berkualiti, pendekatan lain perlulah dititikberatkan. Sebagai alternatif lain, ramai yang telah mengimplementasikan penggunaan baja organik yang mana ianya boleh dibuat sendiri, lebih penjimatan, memberikan hasil yang berkualiti dan bebas bahan kimia untuk konsumer yang mengutamakan pemakanan sihat. 

Dan yang lebih baiknya lagi, sumber bahan pembuatannya mudah didapati bahkan ada terdapat di dapur anda sendiri. Masalahnya, tahu atau tidak membuatnya? Mudah ke pembuatannya? Melalui artikel ini, saya akan megupas cara-cara pembuatan baja organik secara mudah, ringkas dan berkesan untuk para pembaca.

Pengenalan
Secara amnya, harga barangan organik adalah berlipat kali ganda berbanding hasil bukan organik. Amatlah mahal bagi golongan umum. Namun begitu, pengguna kini lebih memilih kepada sumber yang berkualiti, sihat dan bebas bahan kimia sebagai sumber makanan harian. Justeru itu, penggunaan baja organik mampu memberi jaminan hasil seperti yang pengguna mahukan.

Antara yang lazim terhadap masyarakat umum adalah baja kompos.  Ianya dihasilkan secara organik dengan menggunakan bahan-bahan organik seperti sisa tanaman, sisa dapur dan sisa ternakan sebagai media kompos. Baja ini dihasilkan melalui proses penguraian oleh mikroorganisma. Penguraian nutrien yang terdapat dalam bahan organik tersebut terbentuk hasil daripada proses yang ringkas iaitu penguraian oleh enzim,asid amino dan sebagainya.
Faktor Penting dalam Pembuatan Baja Organik atau Kompos
Terdapat beberapa faktor penting yang perlu diambil kira untuk menghasilkan baja organik atua kompos yang berkualiti

1. Ratio atau nisbah
Bahan asas kompos mempunyai nisbah karbon-nitrogen yang tinggi. Nisbah yang ideal bagi proses ini adalah dalam lingkungan 30:1

Ia bersamaan 30 bahagian sisa buangan samada sisa tumbuhan, hampas ataupun ternakan dengan tanah. Ianya bertujuan memberi keseimbangan nutrien yang sesuai bagi meransang aktiviti mikrooraganisma. Contoh bahan yang tinggi kandungan karbon adalah seperti dedaun kering, hampas kelapa serta habuk kayu.
Manakala bahan yang tinggi kandungan nitrogen seperti rumput, kulit buah-buahan, dan sisa sayuran.

2. Suhu
Pembuatan kompos ini selesai dan boleh digunakan setelah mencapai 60°C.

3. Humiditi atau kelembapan
Kelembapan amat penting bagi meransang aktiviti mikroorganisma dalam kompos.  Kelembapan yang ideal bagi proses ini adalah sekitar 50%-60%.

4. Oksigen
Proses penguraian dalam kompos memerlukan oksigen untuk meningkatan pertumbuhan mikroorganisma. Sekiranya oksigen menurun ianya akan menyebabkan proses penguraian terhenti. Oleh itu, langkah menggembur dan membalik-balikkan semula timbunan kompos perlu dilakukan untuk membaikpulihkan pengudaraan.

5. pH
Proses ini menjadi sempurna pada pH berasid. Proses penguraian organik oleh bakteria, kulat dan actinomycetes menyebabkan keasidan pada kompos.

Kebaikan Baja Organik atau Kompos
Pertama sekali, pembuatannya lebih murah dan bahannya mudah didapati. Dengan ini, penjimatan kos dapat dilakukan dengan baik. Kompos mengandungi nutrien yang lengkap. Oleh itu, dengan penggunaan baja ini ianya mampu membaiki struktur tanah, mengoptimumkan kelembapan tanah, mengurangkan larut resap nutrien untuk kesan yang lebih berpanjangan, membaiki pengudaraan dan membaiki pengerakan air dalam tanah.

Nutrien pada kompos juga memberi kesan secara perlahan untuk tempoh masa jangka panjang oleh akar tumbuhan. Disamping itu, ianya meningkatkan keupayaan tanah untuk menyimpan nutrien pada baja tersebut untuk tempoh yang lebih lama. Oleh yang sedemikian, tidak memerlukan kekerapan program pembajaan kerana ianya mempunyai kandungan nutrien yang lengkap berbanding baja kimia.

Bahan dan Peralatan
• Sisa tanaman seperti rumput, sisa sayur, dedaun dan sebagainya.
• Tanah hitam.
• Air.
• Sisa buah-buahan.
• Sisa ternakan.
• Kulit telur untuk tambahan unsur kalsium.
• Tapak pengomposan.
• Termometer.
• Beg plastik untuk simpanan kompos yang sudah sempurna.
• Kayu pancang sebagai penanda aras samada berlaku atau tidak proses penguraian.
• Pencakar.
• Penyodok.

Cara-cara Buat Baja Organik atau Kompos
1. Sediakan tapak pengomposan terlebih dahulu samada ingin diproses di dalam lubang ataupun di tanah tanah bergantung pada pilihan anda.

2. Sediakan bahan pengomposan (sisa tanaman, buah-buahan dan ternakan dicampur sekali sekurang-kurangnya sebanyak 1 kg) dan gaulkan bersama dengan tanah hitam sebanyak 150 g menjadi sebuah timbunan.

3. Siram timbunan tadi dengan air sebanyak 1 liter.

4. Untuk mendapatkan kuantiti kompos yang lebih banyak, ulang langkah-langkah tadi sebanyak 3-4 kali.

5. Dengan menggunakan pancang kayu, pacak kayu tersebut ditengah timbunan. Ini bertujuan untuk mengenalpasti aktiviti penguraian dalam timbunan kompos tersebut. Sekiranya dalam timbunan tersebut terasa kepanasan, bermakna telah berlaku penguraian. Sekiranya pancang tadi dalam keadaan kering, siram air lagi bagi menambah kelembapan.

6. Gemburkan dan menterbalikkan timbunan tadi berulang kali dengan menggunakan pencakar sehingga sebati. Lakukan setiap 3-4 minggu sekali sehingga media kompos itu menjadi reput. Biarkan selama 2 hingga 3 bulan sehingga proses tersebut selesai.

7. Sekiranya proses pereputan telah selesai sebanyak 60%, adalah digalakkan menutupnya dengan plastik bagi mengelakkan daripada ditimpa hujan. Ini bertujuan bagi memastikan nutrien dalam kompos itu tidak dilarutlesapkan oleh hujan.

8. Setelah tamat proses selama 3 bulan, gunakan penyodok untuk mengisi kompos yang telah matang ke dalam beg plastik untuk simpanan. Ataupun boleh terus sedia untuk digunakan digunakan sebagai baja organik untuk tanaman anda.

Diharap pembaca sedikit sebanyak mengetahui cara untuk buat baja organik dari artikel ini dan memberi manfaat kepada anda.



Rujukan
1. Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia. (2006). Natural farming (NF) di Malaysia.
2. Manual Pengguna: Penghasilan Kompos daripada Sisa Pepejal Kantin dan Sisa Tumbuhan. (2014). Diambil dari Seameo

(Source: Pustaka Negeri Sarawak, 23 Jun 2021)

Source Link: https://rootofscience.com/blog/2020/sains-pertanian/cara-buat-baja-organik-yang-paling-mudah/