Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Baja Kompos

Question: Baja Kompos Organik Daripada Lebihan Sisa Makanan Cepatkan Pertumbuhan Tanaman

Answer:
NILAI – Penghasilan baja kompos organik melalui lebihan sisa makanan cetusan idea sekumpulan pelajar Duta Jauhar 4.0 USIM yang menggelarkan diri mereka sebagai Orla Farm membawa tuah apabila berjaya meraih beberapa anugerah pada Majlis Anugerah Kongres Duta Jauhar 4.0 Peringkat Kebangsaan di Johor baru-baru ini.

Idea inovasi yang menggunakan pendekatan NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) ini pada mulanya timbul atas kesedaran untuk membantu masyarakat di Permatang, Kempas bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi melalui aktiviti keusahawanan.

Namun, Oral Farm turut mengambil cakna fakta yang menyatakan bahawa lebih 30 ribu tan lebihan sisa makanan dibuang oleh orang awam telah memulakan langkah awal dengan mengumpul lebihan sisa makanan bersama para peniaga Pasar Besar @Mart.

Menariknya, selain bersumberkan lebihan sisa makanan, habuk kayu dan tanah hitam, kos penghasilan bagi 1kg baja kompos organik ini adalah tidak melebihi RM 3 selain melibatkan kos penggunaan peralatan bagi melakukan aktiviti pengkomposan.

“Menjadi satu cabaran apabila kami perlu menyakinkan orang awam tentang manfaat dan kelebihan mengitar semula bahan terbuang pada masa yang sama juga ia mendatangkan pendapatan sampingan. Kami akui, menghasilkan baja kompos organik ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana kami perlu menyakinkan para peniaga Pasar Besar @Mart untuk bekerjasama dalam proses mengasingkan lebihan sisa makan yang terdiri daripada kulit telur, kulit bawang, sayur-sayuran dan buah-buahan ke dalam tong khas yang telah kami sediakan,” ujar Nur Azizah Md Basri, Pengurus Projek Orla Farm.

“Segala cabaran kami cuba atasi dengan mencari jalan penyelesaian antaranya kami menjalin kerjasama dengan Persatuan Belia Permatang Kempas untuk memudahkan pelaksanaan proses pengkomposan yang mana ianya mengambil masa lebih dari 1 bulan bagi proses penguraian berlaku. Apa yang selalu ditekankan semasa proses pembuatan adalah ketelitian bagi memastikan kualiti dan penghasilan baja terjamin,” tambahnya lagi.

“Setakat ini, penerimaan masyarakat menerusi projek ini boleh dikatakan sangat positif kerana penglibatan daripada belia di kawasan tersebut membantu untuk menyakinkan pengguna, khususnya masyarakat untuk menyokong produk baja kompos organik ini”.

“Memandangkan ianya 100% organik dan mesra alam kami percaya permintaan pasaran bagi baja kompos organik sangat luas kepada pengguna daripada pelbagai latar belakang seperti peladang, pekebun berskala kecil dan besar, landskap, penanaman kecil-kecilan di rumah dan sebagainya. Kelebihan yang terdapat pada baja kompos organik selain berfungsi memperbaiki pengudaraan tanah yang berpasir, meningkatkan daya serapan tanah, mengandungi sumber nutrien yang tinggi, ia boleh mempercepatkan pertumbuhan untuk semua jenis tanaman”.

“Kami berharap agar kebaikannya dapat diperluaskan kepada beberapa daerah lain melalui testimoni-testimoni yang dijalankan ke atas beberapa jenis tanaman sayuran seperti sawi dan tanaman pisang. Melalui testimoni tersebut, kami dapat mengetahui maklumbalas pengguna dan keberkesanan baja kompos organik ini,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Penasihat Duta Jauhar 4.0
Prof Madya Dr. Mohammad Najib Jaffar

Ahli Duta Jauhar 4.0
Nur Azizah Binti Md Basri
Norramizah Binti Kamaludin
Muhammad Muzakkir Bin A.Rahim
Mirza Afiqah Bt Jamil
Nurul Farhana Bt Muhammad Noruladzim
Nurnaziha Binti Mohd Khairuddin
Nur Assila Kamaruzzaman
Nurul Syazana Mohd Kamal
Muhammad Hafiz bin Mohd Sukirman

(Source: Pustaka Negeri Sarawak, 01 Jul 2021)

Source Link: https://www.usim.edu.my/ms/berita/baja-kompos-organik-daripada-lebihan-sisa-makanan-cepatkan-pertumbuhan-tanaman/