Category FAQs Search : Ethnic
Question: Apakah Keunikan ubatan herba Kaum Kenyah?
Answer: TUMBUHAN memainkan peranan penting dalam pembangunan manusia dan digunakan berkurun lamanya. Budaya sesebuah etnik atau masyarakat serta taburan tumbuhan semula jadi mewujudkan perubatan tradisional yang khususnya dipengaruhi oleh teori, pengalaman dan kepercayaan masyarakat setempat. Di Asia, terdapat komuniti yang masih bergantung kepada ubat tradisional sebagai sumber rawatan utama. Namun, kini disebabkan pembangunan pesat, pengetahuan ubatan tradisional yang tidak ternilai ini berisiko pupus kerana masyarakat lebih cenderung kepada perubatan moden.Kajian ini bertujuan memahami dan merekod ilmu turun-temurun masyarakat Kenyah dalam perubatan herba. Lebih 20 pengamal perubatan tradisional ditemu bual dan ini memberi peluang kepada pasukan penyelidik untuk mendalami dunia perubatan tradisional. Contohnya, akar penawar digunakan sebagai penawar segala jenis keracunan. Penggunaannya juga sangat mudah. Hanya perlu mengunyah sebahagian kecil akar penawar jika mengalami keracunan. Terdapat juga pengamal yang menggunakan wap air rebusan akar penawar untuk melegakan selesema. Selain itu, ada juga menggunakan air rebusan keladi kemoyang (homalomena sagittifolia) untuk merawat demam panas, air rebusan daun lemuni (vitex trifolia) sebagai suplemen kesihatan, halia hitam (kaempferia parviflora) untuk rawatan penyakit jantung dan puluhan lagi rawatan tradisi yang menggunakan aneka herba hutan.
(Source: UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK, 12 Jul 2024)
Source Link: https://btu.upm.edu.my/article/keunikan_ubatan_herba_ken