Category FAQs Search : Jabatan Kerja Raya
Question: Latar Belakang Jabatan Kerja Raya Sarawak
Answer: Latar belakang Jabatan Kerja Raya Sarawak banyak berhubung kait dengan sejarah pembangunan infrastruktur di negeri Sarawak. Penubuhan jabatan ini sejak tahun 1882 adalah legasi tiga era penting dalam Kerajaan Sarawak iaitu, "Zaman Brooke (Rajah Putih dari 1882 - 1941)", "Zaman Koloni British (selepas Perang Dunia Kedua, 1946 - 1963)" dan "Zaman Selepas Kemerdekaan (Kerajaan Malaysia, 1963 hingga sekarang)."
Jabatan Kerja Raya Sarawak ini telah ditubuhkan dan diketuai oleh "Inspektorat Kerja Raya" pada tahun 1882, dan seterusnya diketuai oleh "Superintenden Kerja Raya dan Ukur" pada tahun 1897. Nama jawatan ini akhirnya ditukar kepada Pengarah Kerja Raya, Sarawak.
JKR Sarawak telah melalui proses penyelarasan semula peranan mereka iaitiu daripada "Pembina" kepada "Pengurus" bagi menjayakan aspirasi kerajaan negeri Sarawak. Peranan jabatan ini telah berevolusi ke arah Implementasi Projek Pembangunan melalui Penyusunan Semula Sumber Manusia, Penyelerasan Semula Struktur Organisasi dan penaiktarafan kompetensi teknikal.
Peranan teras Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, yang kini berada di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, adalah meliputi proses pengurusan projek termasuk perancangan, pengurusan belanjawan, reka bentuk, pentadbiran pre-kontrak dan pos-kontrak, penyeliaan projek, pemantauan dan penyelenggaraan infrastruktur serta kemudahan awam. Selain daripada itu, abatan Kerja Raya Sarawak juga turut menyediakan perkhidmatan perunding kejuruteraan kepada badan-badan luar.
Ibu Pejabat JKR Sarawak terletak di Wisma Saberkas, Kuching. JKR Sarawak telah menubuhkan 3 Pejabat Wilayah iaitu Selatan, Tengah dan Utara; serta 12 Pejabat Bahagian di kesemua pusat pentadbiran Bahagian di dalam negeri Sarawak. Selain itu, JKR Sarawak juga memiliki Cawangan Penyelidikan dan Siasatan, yang dahulunya dikenali sebagai Central Materials Laboratory (CML) di Tabuan Jaya dan Cawangan Pengurusan Flit, yang dahulunya dikenali sebagai Central Mechanical Workshop (CMW), yang terletak di Jalan Batu Lintang.
(Source: Laman Web Rasmi Jabatan Kerja Raya Sarawak, 11 May 2025)
Source Link: https://jkr.sarawak.gov.my/web/subpage/webpage_view/61