Category FAQs Search : Jabatan Kerja Raya
Question: Sejarah JKR Malaysia
Answer: Peristiwa Semasa 'Public Works Department' Diwujudkan
Dalam tahun 1858 jawatan Ketua Jurutera bagi Negeri-Negeri Selat telah ditubuhkan. Pada masa itu Singapura merupakan pusat tahanan utama bagi banduan dari jajahan British di seluruh Timur Jauh. Pihak British bergantung pada pihak askar untuk mengisi jawatan jurutera dan doktor. Seorang pegawai askar pasukan kejuruteraan akan ditempatkan untuk mengepalai kerja-kerja awam di setiap jajahan. Berkenaan inilah Mejar McNair telah datang ke Singapura untuk mengisi jawatan tersebut.
Pada tahun 1867 Negeri-Negeri Selat telah dijadikan 'Crown Colony' dan serentak dengan itu jawatan Penguasa PWD Singapura telah ditukarkan kepada Jurutera Jajahan Negeri-Negeri Selat. Walau bagaimanapun tarikh berkenaan tidak boleh diperkatakan sebagai permulaan PWD kerana pada dasarnya kerja-kerja hanya tertumpu di Singapura sahaja. Hanya selepas lima tahun kemudian iaitu pada tahun 1872, satu jabatan baru dinamakan PWD Negeri-Negeri Selat ditubuhkan.
Ini adalah titik permulaan JKR sebagai satu organisasi di Malaysia. Mejar J.F.A. McNair yang sebelumnya memegang jawatan Jurutera Eksekutif dan Penguasa Banduan dan juga Jurutera Jajahan Negeri-Negeri Selat dalam tahun 1867 ialah orang pertama menerajui organisasi JKR pada tahun 1872 dengan Kapten Shatterthwaite sebagai Penolong Pertama Jurutera di peringkat Negeri Pulau Pinang.
Jabatan Ukur yang.telah ditubuhkan pada tahun 1839 telah disatukan dengan pejabat Jurutera Jajahan pada tahun 1871, di bawah polisi penyatuan yang dimula gerakkan oleh Sir Harry Ord, di mana Mejar F.A. McNair telah memegang jawatan tersebut. Beliau telah menyusun semula jabatan pada tahun 1873 dengan menempatkan Kapten W. Innes sebagai Penolong Pertama Jurutera dan Juru Ukur di Negeri Pulau Pinang dan seorang lagi di Melaka.
Pada tahun 1848 jawatan Penguasa Penjara telah diletakkan di bawah tanggungjawab Jurutera Jajahan para banduan telah digunakan untuk kerja-kerja pembinaan jalan dan bangunan. Jawatan ini dipegang oleh pihak Jabatan Kerja Raya sehingga tahun 1873 di mana pihak Jabatan Penjara mempunyai penguasanya sendiri.
Sehingga 31hb. Disember 1931 di Tanah Melayu terdapat dua Jabatan Kerja Raya yang berasingan. Jurutera Jajahan Negeri-Negeri Selat adalah bertanggungjawab bagi Negeri-Negeri Selat manakala Pengarah Kerja Raya, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bagi Negeri-Negeri Bersekutu dan seorang Jurutera dipinjamkan bagi menjalankan tugas-tugas untuk Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Pada 1hb. Januari 1932 kedua-dua jabatan telah disatukan menjadi satu Perkhidmatan Kerja Raya Malaya yang berpusat di Singapura dengan nama 'Pengarah Kerja Raya, Negeri-Negeri Selat' dan 'Penasihat Kerja Raya Negeri Melayu'.
Pada tarikh yang sama, cawangan hidrolik bagi Negeri-Negeri Bersekutu Jabatan Kerja Raya telah dijadikan satu jabatan yang berasingan digelar Perkhidmatan Parit dan Taliair diketuai oleh 'Pengarah Parit dan Taliair, Negeri-Negeri Selat dan Penasihat bagi Parit dan Taliair, Negeri-Negeri Melayu'.
Ringkasan Sejarah JKR
1872 PWD Negeri Pulau Pinang ditubuhkan dan diketuai oleh Major J.F.A McNair.
Februari 1948 Organisasi Jabatan Kerja Raya diubahsuai selepas Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan.
April 1951 Jabatan Kerja Raya di bawah Portfolio Ahli untuk Kerja Raya dan Perumahan.
Ogos 1955 Jabatan ini di bawah Kementerian Kerja Raya.
1956 Diletakkan bawah Kementerian Kerja Raya Pos dan Telekom.
1963 Di bawah Kementerian Kerja Raya Pos, Tenaga dan Telekom.
1976 Kementerian Kerja Raya dan Kemudahan Awam.
1983 Berada bawah Kementerian Kerja Raya (sehingga kini).
(Source: Laman Web Rasmi Jabatan Kerja Raya Malaysia, 11 May 2025)
Source Link: https://www.jkr.gov.my/my/page/sejarah-jkr