Category FAQs Search : Library/PDSI/Home Library/Resource Centre
Question: Latar Belakang Perpustakaan Keluarga
Answer: Amalan membaca merupakan permulaan positif dan langkah pertama dalam
penjanaan dan penyebaran ilmu. Membaca juga merupakan aktiviti yang mudah,
menyeronokkan serta berupaya merehatkan minda. Rakyat Malaysia yang tidak
mengetahui kepentingan amalan membaca perlulah membudayakan amalan
mulia ini yang mengandungi pelbagai manfaat yang tidak dapat dipertikaikan
lagi. Dengan membudayakan amalan membaca juga, rakyat yang berpengetahuan
luas dalam sesebuah negara mampu mencetuskan ideologi dan buah fikiran yang
bernas dalam memacu proses pembangunan negara. Sejarah telah mencatatkan
bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang
memiliki budaya membaca dan menulis.
Membaca juga dapat menjadikan rakyat lebih kreatif dalam menjana gagasan
baharu serta mampu membangunkan tamadun negara dari segi keilmuan, sosial
dan ekonomi. Negara maju tidak akan wujud sekiranya tidak mempunyai
masyarakat yang bersahsiah mulia, berfikiran matang dan mempunyai ilmu
pengetahuan yang tinggi, dan ciri-ciri ini tidak lain tidak bukan lahir melalui
amalan membaca.
Amalan membaca juga perlu dipupuk pada peringkat awal dan perlu bermula dari
rumah dan dalam konteks ini peranan ibu bapa amat penting bagi memastikan
amalan membaca anak dapat ditanam seawal usia. Di samping itu, membaca juga
merupakan prasyarat kepada usaha-usaha untuk pembelajaran sepanjang hayat.
Inisiatif mewujudkan Sudut Bacaan atau Perpustakaan Keluarga di rumah juga
merupakan inisiatif atau langkah awal yang boleh dijalankan oleh komuniti
keluarga dalam menyahut seruan Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara membaca menjelang tahun 2030 dan melahirkan masyarakat
berilmu bertaraf dunia menerusi gerakan Dekad Membaca Kebangsaan 2020-
2030.
Perpustakaan Keluarga juga boleh menjadi saranan yang paling tepat untuk
memenuhi keperluan keluarga dalam penyediaan bahan bacaan kerana ia
disesuaikan dengan minat spesifik anggota keluarga. Selain itu, perpustakaan
keluarga juga dapat dijadikan sudut riadah keluarga yang dapat dimanfaatkan
oleh seisi keluarga dengan aktiviti pembacaan dan keilmuan.
(Source: Laman Sesawang Perpustakaan Negara Malaysia, 13 May 2025)
Source Link: https://www.pnm.gov.my/pnm/resources/pdf%20file/PERPUSTAKAAN%20KELUARGA.pdf