Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Library/PDSI/Home Library/Resource Centre

Question: Terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian dalam mewujudkan Sudut Perpustakaan Keluarga antaranya:

Answer: 1. Tempat
Pemilihan tempat yang sesuai amat penting untuk menentukan perpustakaan digunakan dengan sebaik-baiknya. Antara lokasi-lokasi yang boleh dipertimbangkan mengikut kemampuan sesebuah keluarga:

(a) di mana-mana sahaja yang boleh menempatkan bahan bacaan;
(b) sudut yang lain sesuai serta jauh daripada punca kebisingan;
(c) sebuah bilik khas;
(d) sebuah almari atau rak.
(e) pencahayaan yang sesuai
(f) suhu yang tidak terlalu panas atau sejuk

Jika anda dapat menyediakan sebuah bilik, sebaik-baiknya pilihlah bilik yang terletak di tempat yang sesuai dan jauh daripada gangguan. Bagi keluarga yang
hanya mempunyai sudut-sudut kecil di rumah, memadailah dengan menempatkan almari atau rak buku. Usaha ini tidak memerlukan belanja yang besar dan rak mudah dialihkan dari sudut ke sudut yang lain.

2. Koleksi
Umumnya, koleksi perpustakaan akan mencerminkan minat serta tingkat pembacaaan seseorang dan ahli keluarganya. Sebaik-baiknya, koleksi
perpustakaan mempunyai imbangan bahan-bahan bacaaan yang berat dan ringan meliputi buku-buku rujukan umum seperti kamus, atlas dan ensiklopedia.

Koleksi perpustakaan keluarga boleh dibahagikan kepada dua iaitu bahan bercetak dan bahan tidak bercetak.

i) Bahan Bercetak
=> Buku (bahan monograf) - fiksyen, kamus, ensiklopedia, atlas, biografi, autobiografi, almanak, buku panduan, dll
=> Tesis
=> Akhbar/Majalah/Laporan Tahunan
=> Brosur/Poster/Risalah
=> Alat bantu mengajar (boneka, kad imbasan)
=> Gambar (Lukisan/Lakaran/Gambar Foto)
=> Skor Muzik

ii) Bahan Tidak Bercetak
=> CD/VCD/DVD/Kaset/Videotape
=> Kit Multimedia (cth: Linguaphone dll)
=> Pemacu Pena (Pendrive)/(Cakera Keras (Hard disk)
=> Sumber elektronik (Pangkalan Data )
=> Bahan Permainan / AR/VR

Sebagai langkah pertama, kumpulkan semua buku yang terdapat di rumah. (tidak termasuk buku pelajaran anak-anak). Ahli-ahli keluarga boleh memulakan koleksi perpustakaan dengan membeli satu atau beberapa nashkah buku setiap bulan mengikut kemampuan masing-masing. Bahan-bahan rujukan seperti kamus, ensiklopedia dan buku-buku umum seperti buku masakan, kesihatan, sukan, fesyen, jahitan, berkebun dan tajuk-tajuk lain boleh dibeli jika berkemampuan. Begitu juga dengan koleksi buku-buku cerita, novel dan bahan bacaan yang lain juga boleh dikumpulkan sebagai persediaan untuk mewujudkan perpustakaan keluarga.

3. Peralatan Asas
Peralatan asas yang diperlukan untuk penyediaan perpustakaan keluarga ialah
seperti berikut :
(a) Rak-rak untuk menempatkan bahan-bahan bacaan. Rak ini boleh dibeli atau dibuat sendiri dengan menggunakan material yang bersesuaian;
(b) Sebuah meja dan kerusi untuk tempat membaca dan memproses buku;
(c) Peralatan ICT seperti komputer dan mesin pencetak merupakan peralatan penting yang perlu ditempatkan di perpustakaan keluarga. Peralatan ini dapat
membantu memudahkan urusan menginput dan mengemas kini senarai koleksi perpustakaan;
(d) Tikar atau sebarang alas yang boleh digunakan untuk menutup lantai;
(e) Rak yang sesuai untuk menempatkan komputer peribadi atau komputer riba, mesin pencetak atau radio

Rak-rak boleh ditempah khas untuk menyusun buku-buku di sepanjang dinding atau boleh dibeli yang sedia dijual di kedai. Perkara ini juga bergantung kepada kemampuan setiap keluarga itu. Rak yang amat praktikal ialah jenis rak yang terbuka, tidak bertutup cermin atau kayu. Rak-rak begini memudahkan anda melihat buku-buku yang ada, mengeluarkannya dan menyimpannya kembali. Namun begitu, rak yang paling murah ialah yang menggunakan beberapa batu bata dan kepingan papan yang diatur bertingkat-tingkat.

4. Penyusunan Bahan
Cara yang mudah untuk mendapatkan buku yang diperlukan ialah apabila buku disusun dalam satu sistem yang mudah dilaksanakan. Terdapat beberapa sistem yang boleh digunakan untuk menyusun koleksi buku. Sistem yang paling ringkas dan mudah digunakan bagi sesebuah Perpustakaan
Keluarga ialah Sistem Pengkelasan Perpuluhan Dewey atau Dewey Decimal Classification (DDC). Sebelum sesebuah buku itu disusun di raknya mengikut pembahagian kelas (perkara), buku tersebut perlu dikatalog terlebih dahulu, iaitu mendaftarkan butiran yang terdapat pada muka surat judul seperti nama pengarang, nama penerbit dan tarikh terbitan. Topik ini dibincangkan dengan lebih lanjut di Bahagian III sebagai panduan dan rujuan pembaca.

5. Tanda Hak Milik
Bagi mereka yang mempunyai koleksi buku sendiri, boleh memberikan tanda hak milik bagi tiap-tiap naskhah buku anda. Tanda hak milik ini boleh ditempat
dalam berbagai-bagai bentuk sama ada dalam bentuk cop yang ditempah khas, dicetak di atas pelekat dan contoh tanda hak milik adalah seperti berikut :

=> Perpustakaan Imran Ahmad, atau
=> Koleksi Suhana
=> Khutubkhanah Keluarga Hassan

6. Pengguna Perpustakaan
Anda boleh menentukan sama ada Perpustakaan Keluarga anda dikhaskan untuk ahli-ahli keluarga sahaja ataupun dibuka kepada jiran atau kepada anak-anak kawan yang terapat sahaja. Sekiranya perpustakaan ini hanya untuk kegunaan keluarga anda sahaja, ada boleh memaklumkan peraturan yang dikenakan; seperti meletak semula buku di tempat yang diambil berdasarkan nombor kelas dan sebagainya. Cara ini akan melatih anak-anak supaya lebih berdisplin dan menghormati buku.

Jika anda memberi kemudahan perpustakaan kepada kawan rapat serta anak-anak mereka, peraturan yang lebih terperinci boleh disediakan. Misalnya, anda boleh menyedia dan menggunakan buku pendaftaran nama-nama ahli, menetapkan waktu perpustakaan dibuka kepada mereka supaya tidak mengganggu waktu rehat keluarga dan peraturan pinjaman. Anda dan kawan-kawan boleh bergilir-gilir menguruskan perkhidmatan perpustakaan sama ada di rumah sendiri ataupun di rumah mereka. Anda boleh juga berpakat dengan dua atau tiga orang kawan untuk membeli buku-buku yang berlainan dan menjalankan
aktiviti tukar dan baca atau books exchange.

7. Aktiviti Tambahan
Untuk mendorong minat membaca, terutamanya dalam kalangan anak-anak anda, berbagai-bagai aktiviti boleh diadakan. Antara aktiviti tersebut adalah sesi
bercerita, sesi membaca kuat atau read aloud di mana ibu bapa atau anak bergilir-gilir membaca buku secara kuat kepada anggota keluarga. Di samping itu aktiviti menjawab kuiz, sesi kraftangan dan juga bermain permainan uji minda, seperti dam, catur dan lain-lain juga boleh dijalankan di sudut membaca atau
perpustakaan keluarga.

8. Pelupusan Bahan Perpustakaan
Pelupusan bahan perpustakaan adalah satu proses penting yang perlu dilaksanakan secara berjadual oleh pemilik sesebuah perpustakaan keluarga.
Sekiranya sudut perpustakaan keluarga sudah terlalu padat dan sempit, pemilik perpustakaan dan ahli keluarga bolehlah merancang untuk melakukan proses
pelupusan. Keadaan fizikal bahan yang rosak dan usang serta bahan yang tidak lagi dirujuk boleh dipertimbang untuk dilupuskan.

Proses ini perlu dilaksanakan secara berjadual bagi memastikan sudut perpustakaan keluarga sentiasa dalam keadaan kemas dan tersusun sekaligus
untuk sebarang aktiviti pembacaan. Selain ini, melalui proses ini juga ahli keluarga secara tidak langsung dapat mengemaskini senarai bahan bacaan milik mereka.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil dalam melaksanakan proses pelupusan adalah seperti berikut:
(i) Melakukan proses pilih buang terlebih dahulu bagi memastikan bahan yang hendak dilupuskan benar-benar sesuai untuk dikeluarkan dari simpanan.
(ii) Menyenaraikan bahan yang hendak dilupus dan direkodkan di dalam buku rekod bahan bacaan.
(iii) Melaksanakan tindakan pelupusan dengan menghantar bahan bacaan yang hendak dilupuskan ke pusat kitar semula.
(iv) Sekiranya bahan bacaan yang hendak dilupuskan masih dalam kedaan elok, bahan tersebut bolehlah dihantar ke pusat kebajikan yang memerlukan seperti rumah anak yatim, rumah perlindungan dan rumah penjagaan warga emas.

(Source: Laman Sesawang Perpustakaan Negara Malaysia, 13 May 2025)

Source Link: https://www.pnm.gov.my/pnm/resources/pdf%20file/PERPUSTAKAAN%20KELUARGA.pdf