Category FAQs Search : Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (Department of Labour Sarawak)
Question: Apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh majikan untuk mengelakkan pemberhentian pekerja?
Answer: Apabila timbul keadaan berlebihan pekerja, majikan hendaklah terlebih dahulu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja sebagaimana yang dicadangkan di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan, iaitu :-
1. Membekukan pengambilan pekerja baru kecuali bagi bidang-bidang yang kritikal;
2. Menghadkan kerja lebih masa;
3. Menghadkan kerja pada hari rehat mingguan dan cuti am;
4. Mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja giliran;
5. Mengurangkan waktu bekerja harian;
6. Mengadakan program latihan semula kepada pekerja;
7. Mengenalpasti kerja-kerja alternatif dan pertukaran ke bahagian/kerja lain di dalam syarikat yang sama;
8. Melaksanakan pemberhentian kerja sementara (lay-off) misalnya dalam bentuk penutupan sementara (temporary shut down) dengan menawarkan gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula. Jika majikan melaksanakan pemberhentian sementara, maklumat berapa lama tempoh pemberhentian sementara tersebut hendaklah dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja Sarawak untuk tujuan pemantauan sama ada pekerja tersebut diambil semula bekerja atau ditawarkan Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) atau pemberhentian tetap pada masa-masa hadapan; dan
9. Mengurangkan gaji pekerja (Pay-Cut) yang dibuat secara adil di semua peringkat boleh juga dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain sudah dilaksanakan.
Langkah-langkah di butiran 7, 8 dan 9 hendaklah dilaksanakan dengan persetujuan bertulis daripada pekerja atau kesatuan sekerja yang mewakili mereka.
(Source: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, 03 Aug 2025)
Source Link: https://www.jtkswk.gov.my/v2/?page_id=997