Browse e-KNOWBASE

Category FAQs Search : Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (Department of Labour Sarawak)

Question: Apakah langkah-langkah yang patut diambil oleh majikan jika pemberhentian pekerja terpaksa dilakukan?

Answer: Jika pemberhentian pekerja perlu dilakukan juga walaupun langkah-langkah di para 3 telah diambil, majikan hendaklah berusaha melaksanakan langkah-langkah seperti berikut untuk meringankan kesan negatif ke atas pekerja-pekerja yang terbabit:-

1. Memaklum dan mengadakan perbincangan dengan pekerja-pekerja atau Kesatuan Sekerja yang mewakili mereka dengan secepat mungkin mengenai pemberhentian pekerja yang akan dilakukan;

2. Menawarkan skim pemberhentian / persaraan secara sukarela dengan kadar bayaran pampasan yang sebaik mungkin;

3. Membayar pampasan atau faedah penamatan kerja kepada pekerja yang layak;

4. Membersarakan pekerja-pekerja yang berumur lebih dari umur persaraan biasa;

5. Memberi notis penamatan perkhidmatan sebagaimana yang ditetapkan di dalam kontrak perkhidmatan. Jika tiada peruntukan mengenainya di dalam kontrak perkhidmatan tersebut, majikan hendaklah memberi notis seperti yang dinyatakan di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) berikut;

a) 4 minggu notis jika pekerja telah bekerja selama kurang dari 2 tahun;
b) 6 minggu notis jika pekerja telah bekerja selama 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun; atau
c) 8 minggu notis jika pekerja telah bekerja lebih dari 5 tahun atau lebih.

6. Membantu pekerja-pekerja mencari kerja di tempat pekerjaan lain sebelum pemberhentian dibuat dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Sarawak di bawah Kementerian Sumber Manusia;

7. Melaksanakan pemberhentian pekerja secara berperingkat-peringkat dalam tempoh yang lebih panjang;

8. Melaksanakan prinsip ‘FWFO’ (Foreign Worker – First Out) dalam kategori pekerjaan yang sama dalam memberhentikan pekerja, iaitu pekerja asing diberhentikan terlebih dahulu daripada pekerja tempatan; dan

9. Melaksanakan prinsip ‘LIFO’ (Last – In – First – Out) jika pemberhentian melibatkan pekerja tempatan dan dalam kategori pekerjaan yang sama. Walau bagaimanapun, majikan juga boleh melaksanakan pemberhentian pekerja berdasarkan kriteria-kriteria tertentu setelah berunding dan mendapat persetujuan dari pihak pekerja atau kesatuan sekerja yang mewakili mereka.

(Source: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, 03 Aug 2025)

Source Link: https://www.jtkswk.gov.my/v2/?page_id=997