Category FAQs Search : Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (Department of Labour Sarawak)
Question: Apakah hak-hak pekerja yang terlibat dengan pemberhentian pekerja?
Answer: Pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja adalah layak kepada faedah-faedah penamatan kerja yang paling minimum sekiranya mereka dilindungi di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) atau Perjanjian Bersama.
1. Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76)
Secara amnya, pekerja yang dilindungi di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan terlibat dengan pemberhentian adalah layak untuk menuntut faedah-faedah statutori berikut:
1.1 Gaji ganti notis
Pekerja yang diberhentikan kerja tanpa diberi tempoh notis penamatan perkhidmatan yang mencukupi, boleh menuntut bayaran gaji gantirugi notis (Indemniti). Gaji gantirugi notis hendaklah dibayar selewat-lewatnya pada hari terakhir kontrak perkhidmatan ditamatkan.
1.2 Faedah penamatan kerja
Pembayaran faedah pemberhentian kerja hendaklah mengikut kontrak perkhidmatan, tetapi tidak boleh kurang daripada kadar yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Buruh (Sarawak) (Faedah Penamatan dan Pemberhentian Kerja Sementara) 2008 iaitu:-
a) 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat kurang dari 2 tahun;
b) 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat selama 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun; atau
c) 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat 5 tahun atau lebih dan dikira pro-rata mengenai tempoh yang tidak genap setahun, mengikut genap bulan yang hampir sekali.
1.3 Pekerja berhak mendapat butir-butir bertulis tentang amaun jumlah faedah penamatan dan cara kiraan dibuat. Faedah penamatan kerja hendaklah dibayar selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh pekerja ditamatkan perkhidmatan.
1.4 Bayaran sebagai ganti baki cuti tahunan, sekiranya ada.
1.5 Baki Gaji.
1.6 Pekerja-pekerja yang terlibat dengan pemberhentian boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja yang berhampiran untuk maklumat lanjut.
2. Akta Perhubungan Perusahaan 1967
2.1 Jika pekerja yang terlibat dengan pemberhentian merupakan ahli kesatuan sekerja dan menandatangani Perjanjian Bersama, pekerja tersebut layak kepada perkara-perkara tersebut;
i) Pampasan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perjanjian Bersama; atau
ii) Pemulihan Kerja di bawah seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, sekiranya pekerja tidak berpuas hati dengan tindakan pemberhentian yang dilakukan oleh majikannya
2.2 Bagi pekerja-pekerja yang tidak dilindungi di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) atau Perjanjian Bersama, mereka tertakluk kepada terma dan syarat di bawah kontrak perkhidmatan atau budi bicara majikan berhubung jumlah pampasan yang akan diterima.
2.3 Pekerja boleh mendapatkan khidmat nasihat selanjutnya daripada Jabatan Perhubungan Perusahaan yang berhampiran dengan tempat kerja.
(Source: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, 03 Aug 2025)
Source Link: https://www.jtkswk.gov.my/v2/?page_id=997