KUCHING: Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan Karnival Mini Hari Ibu
2014 anjuran Biro Wanita, Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan
Keluarga di Wisma Wanita di sini, semalam.
Karnival mini
bertemakan ‘Ibu Sejahtera, Keluarga Bahagia’ – ‘Mom, I Love You’ yang
dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Fatimah Abdullah merupakan acara
sempena sambutan Hari Ibu pada 15 Mei lepas.
Fatimah dalam
ucapannya berkata, acara pada hari berkenaan lebih menumpukan kepada
aktiviti kesihatan yang dimulakan dengan senamrobik selain pemeriksaan
kesihatan.
“Ini merupakan aktiviti pertama yang kita adakan di
Wisma Wanita dan kita menyediakan pelbagai aktiviti menarik iaitu segmen
kecantikan dan kesihatan seperti pemeriksaan pap smear, urutan
refleksologi, ‘manicure’ dan ‘pedicure,’ solekan serta dandanan.
“Terdapat
juga ceramah keluarga yang disampaikan oleh Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan tajuk seperti cara memikat
suami, keluarga dan kerjaya, Ibu Mithali dan banyak lagi,” jelasnya.
Fatimah
memberitahu terdapat enam doktor turut berada di karnival yang
dibawakan oleh Persatuan Jururawat Profesional Sarawak bagi melakukan
pemeriksaan kesihatan.
Karnival yang diadakan itu juga menyediakan
segmen kanak-kanak dan sukaneka iaitu pertandingan melukis, mewarna dan
acara sukaneka.
Selain itu, terdapat juga taklimat mengenai sistem kompos oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Dengan
adanya program seumpama itu, ujar beliau, orang ramai akan mengetahui
Wisma Wanita dan kemudahan yang ditawarkan di bangunan berkenaan.
Program
itu dilaksanakan dengan kerjasama dan kolaboratif pelbagai pihak
termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, LPPKN, Jabatan Bantuan Guaman,
Pustaka Negeri, DBKU, Pejabat Mufti Sarawak, Persatuan Masakan dan
Kuih-Muih Sarawak.
Selain itu, turut terlibat ialah Kolej
Komuniti, Kementerian Pembangunan Sosial, Persatuan Graduan Dayak
Sarawak (SDGA), Kelab Peminat P.Ramlee Sarawak dan Persatuan Jururawat
Profesional Sarawak serta Baitulmal Sarawak.
Hadir memeriahkan
karnival ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sharifah Hasidah
Sayeed Aman Ghazali, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad dan Setiausaha
Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah
Morshidi.
AKRAB Siri 4: Bengoh Resettlement Scheme, Kuching 12 Nov 2024
Legal Deposit Awareness 04/24 15 Nov 2024
Makersmeet 2024 16 Nov 2024
Pustaka Negeri Sarawak Silver Jubilee Celebration 31 Dec 2024