BUSAN, KOREA – Pustaka Negeri Sarawak terus memperkukuh kehadirannya di persada perpustakaan dan maklumat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Kongres Perpustakaan dan Maklumat Sedunia IFLA (IFLA World Library and Information Congress – WLIC) Ke-90, 2026, yang berlangsung pada 10 hingga 13 Ogos 2026 di BEXCO, Busan, Korea, yang lepas.
Lebih membanggakan, IFLA WLIC 2026 merupakan penyertaan sulung Pustaka Negeri Sarawak dengan sebuah Pavilion, sekali gus menyediakan ruang khusus untuk memperkenalkan Pustaka Negeri Sarawak, Sarawak serta koleksi, inisiatif dan usaha pemeliharaan warisan kepada komuniti perpustakaan dan maklumat antarabangsa.
Mewakili Pustaka Negeri Sarawak, Encik Ahmad bin Samsudin telah membentangkan kertas kerja pada 11 Ogos 2026 di bawah tema “Visualizing Art: Multimedia Transformations in Libraries.” Pembentangan bertajuk “Bringing Paintings to Life: A Library Innovation Initiative through Augmented Reality Interactive Collections (ARIC)” mengetengahkan penerapan teknologi Realiti Terimbuh (Augmented Reality – AR) dalam mewujudkan pengalaman yang lebih interaktif dan menarik kepada pengguna dalam meneroka koleksi seni dan warisan budaya.
Inisiatif ARIC memperlihatkan bagaimana teknologi baharu dapat dimanfaatkan dalam perkhidmatan perpustakaan bagi meningkatkan akses kepada koleksi, memperluas penglibatan masyarakat serta memperkenalkan pendekatan baharu dalam menghayati, memahami dan menghargai karya seni serta warisan budaya.
Pustaka Negeri Sarawak turut diwakili dalam Poster Session 126 oleh Puan Nurfarathul Aqma Binti Julani dan Puan Nur Amanina Binti Mastani menerusi pembentangan bertajuk “Tracing Sarawakiana: Inspiring Knowledge, Transforming Lives Through Community-Centered Heritage Outreach.”
Pembentangan tersebut mengetengahkan usaha Pustaka Negeri Sarawak dalam mendekatkan warisan dan pengetahuan tempatan Sarawak kepada masyarakat melalui inisiatif libat urus komuniti yang bermakna dan berteraskan keperluan komuniti. Inisiatif ini turut mencerminkan peranan Pustaka dalam memperluas akses kepada sumber warisan serta menggalakkan masyarakat mengenali, menghargai dan bersama-sama memelihara khazanah warisan budaya Sarawak.
Penyertaan Pustaka Negeri Sarawak dalam IFLA WLIC 2026 mencerminkan komitmen berterusan institusi tersebut terhadap inovasi, perkongsian ilmu, pemeliharaan warisan budaya dan penglibatan komuniti. Platform antarabangsa ini turut memberi peluang kepada Pustaka Negeri Sarawak untuk mengetengahkan inisiatif, pengalaman dan amalan terbaik perpustakaan di Sarawak dan Malaysia kepada komuniti perpustakaan dan maklumat di peringkat global.
Selain sesi pembentangan, penyertaan dalam kongres ini turut memberi peluang kepada delegasi Pustaka Negeri Sarawak untuk bertukar pandangan dan pengetahuan, meneroka perkembangan serta trend terkini dalam sektor perpustakaan dan maklumat, memperkukuh jaringan profesional serta mengenal pasti peluang kerjasama antarabangsa pada masa hadapan.
Melalui penyertaan di IFLA WLIC 2026, Pustaka Negeri Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi perpustakaan yang inovatif, progresif dan berorientasikan komuniti, di samping membawa perspektif, pengalaman dan inisiatif Sarawak ke persada perpustakaan dan maklumat dunia.
Pameran Sarawakiana: Menghayati Hari Sarawak 01 Jul 2026
Hari Bersama Pelanggan Pustaka Negeri Sarawak, Sibu 22 Aug 2026
Junior Innovate 2026 Maker Fair X Chumbaka Mid Year Open Day 22 Aug 2026
Borneo Cultural Festival 2026 (Sibu) 03 Sep 2026
Sarawak Children s Art & Literature Festival 2026 (Sibu) 05 Sep 2026