EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Persidangan k@Borneo 2021 Secara Maya

Posted on 06 September 2021

Pustaka Negeri Sarawak akan mengadakan Persidangan k@Borneo secara maya pada 14 – 15 September 2021 buat julung kalinya dan penyertaan adalah PERCUMA. Peserta boleh mendaftar di laman web rasmi Persidangan Virtual k@Borneo 2021 di www.pustaka-sarawak.com/apps/ikbc2021/ dan akan menerima maklumat ID Zoom Meet serta passcode untuk dua (2) hari persidangan tersebut.

Persidangan ini akan membentang 25 kertas persidangan dan empat (4) poster daripada tiga (3) buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Australia.

Sehubungan itu, Persidangan ini akan dirasmikan oleh YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak dan Pustaka juga akan merasmikan buku Bibliografi Pengetahuan Tradisional Borneo.

Untuk makluman, k@Borneo diwujudkan oleh Pustaka Negeri Sarawak pada tahun 2001 dan ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2002 sebagai kerjasama serantau dalam membangun dan berkongsi maklumat mengenai Borneo dengan rakan-rakan seBorneo yang lain. k@ Borneo adalah usaha kolektif secara kolaborasi di peringkat antarabangsa untuk mengenal pasti dan memelihara bahan Borneo dengan institusi-institusi dari tiga buah negara lain di kepulauan Borneo iaitu negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia.

Persidangan virtual k@Borneo Antarabangsa yang kedua ini akan diadakan sebagai wadah bagi para penyelidik dan pakar ilmuwan untuk berinteraksi dengan kumpulan penyelidik lain di peringkat antarabangsa dalam satu sesi pertukaran idea, perkongsian maklumat serta ilmu pengetahuan dalam bidang kajian Borneo.

Ia juga membincangkan strategi bagi mengoptimumkan perkongsian sumber maklumat bagi mengenal pasti potensi dan aplikasi ICT yang sesuai dalam penerbitan, akses dan pemeliharaan maklumat Borneo serta berkongsi peningkatan keupayaan manusia dan tanggungjawab dalam perkongsian maklumat tentang Borneo.

Dengan bertemakan ‘Borneo: Kepelbagaian Maklumat & Warisan,’ topik dibincangkan adalah merangkumi pelbagai disiplin ilmu yang berkaitan dengan tema dan subtema iaitu pengetahuan tradisional, seni dan kepelbagaian budaya, tanaman perubatan, tradisi lisan dan kelestarian alam persekitaran.

Rakaman persidangan ini juga dapat ditonton di dalam YouTube rasmi kami Pustaka Channel (Pustaka Sarawak).

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web persidangan www.pustaka-sarawak.com/apps/ikbc2021/ atau hubungi Encik Edison Ricket di talian 013-8348284 dan menerusi e-mel: kbc@sarawak.gov.my