EN | MY
Sarawak State Government crest - Official crest of the Sarawak government Pustaka Sarawak logo - Pustaka Negeri Sarawak library logo

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Warga Pustaka Negeri Sarawak Raih Pengiktirafan Nasional dan Kepercayaan Menerajui PPM

Posted on 02 July 2026

Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sarawak (PPMKSAR) melakar kejayaan membanggakan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) Ke-70 yang berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia apabila menerima pengiktirafan di peringkat nasional.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada YBhg. Datu Dr. Hajah Rashidah binti Haji Bolhassan atas pengurniaan Anugerah Tokoh Pustakawan Persatuan Pustakawan Malaysia 2025. Ketokohan, kepimpinan serta jasa bakti beliau dalam memperkasakan profesion kepustakawanan amat bernilai dan menjadi sumber inspirasi kepada warga pustakawan di seluruh negara.

Dalam perkembangan yang sama, PPMKSAR turut mencatat satu lagi kejayaan apabila menerima Anugerah Kumpulan Persatuan Pustakawan Malaysia Paling Aktif 2025. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen, kerjasama erat serta usaha berterusan ahli-ahli PPMKSAR dalam melaksanakan pelbagai program, aktiviti profesional dan inisiatif kepustakawanan yang memberi impak positif kepada masyarakat serta profesion kepustakawanan di Sarawak.

Kejayaan ini juga merupakan hasil kepimpinan, komitmen dan sokongan padu seluruh ahli PPMKSAR yang diterajui oleh Cik Levas anak Mejus, Pengerusi PPMKSAR merangkap Ketua Pustakawan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

PPMKSAR turut diperkuatkan dengan penglibatan aktif ahli-ahli daripada pelbagai perpustakaan dan institusi di Sarawak. Antara perpustakaan dan organisasi yang menganggotai serta menyokong gerak kerja PPMKSAR termasuk Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Sarawak, Perpustakaan Perubatan Hospital Umum Sarawak, Pustaka Negeri Sarawak, Perpustakaan UPM Kampus Bintulu Sarawak, Perpustakaan Dato’ Maznah, Kolej Universiti i-CATS Kuching, Perpustakaan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Perpustakaan Curtin University Malaysia.

Penglibatan pelbagai institusi ini membuktikan bahawa PPMKSAR menjadi platform penting dalam menghimpunkan kepakaran, pengalaman dan semangat profesionalisme pustakawan Sarawak bagi memperkukuh jaringan kerjasama, perkongsian ilmu serta pembangunan profesion kepustakawanan di negeri ini.

Ucapan tahniah turut ditujukan kepada barisan kepimpinan tertinggi baharu yang telah berjaya dipilih untuk menerajui Persatuan Pustakawan Malaysia bagi sesi 2026–2028. Pelantikan ini diharap dapat terus memperkukuh peranan PPM sebagai wadah profesional dalam memartabatkan bidang kepustakawanan di Malaysia.

PPMKSAR turut berbangga apabila ahli daripada Kumpulan Sarawak diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab di peringkat kepimpinan tertinggi Persatuan Pustakawan Malaysia.

Tahniah diucapkan kepada Encik Wan Mazli bin Wan Razali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi & Depositori), Pustaka Negeri Sarawak, atas pelantikan beliau sebagai Naib Presiden 1 Persatuan Pustakawan Malaysia bagi sesi 2026–2028.

Ucapan tahniah juga ditujukan kepada Cik Levas anak Mejus, Ketua Pustakawan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), atas pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Persatuan Pustakawan Malaysia bagi sesi 2026–2028.

PPMKSAR percaya bahawa kejayaan dan pengiktirafan ini akan terus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan pustakawan Sarawak untuk menyumbang secara lebih aktif, progresif dan berimpak tinggi kepada pembangunan profesion kepustakawanan di Malaysia.

Tahniah kepada semua penerima anugerah, barisan kepimpinan baharu PPM serta seluruh warga PPMKSAR atas pencapaian yang amat membanggakan ini.