EN | MY
Sarawak State Government crest - Official crest of the Sarawak government Pustaka Sarawak logo - Pustaka Negeri Sarawak library logo

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Tengku Ampuan Pahang Berkenan Mengunjungi Reruai Pustaka Negeri Sarawak di PBAKL 2026

Posted on 01 June 2026

1 Jun 2026, KUALA LUMPUR – Reruai Pustaka Negeri Sarawak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 telah menerima kunjungan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, yang berkenan mencemar duli meninjau pameran serta aktiviti yang berlangsung di reruai Pustaka, semalam.

Dalam kunjungan tersebut, Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan persembahan Sape dan Tarian Orang Ulu yang dipersembahkan oleh Anderson Kalang bersama kumpulan MupunTauh Orang Ulu Ladies.

Anderson Kalang, yang berasal daripada masyarakat Kelabit, merupakan pemain Sape, penari budaya dan penggiat seni yang aktif mempromosikan warisan budaya Borneo di peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau juga dikenali sebagai “Sape’ Shredder” serta merupakan pengasas bersama Kuala Lumpur Sape’ Collective dan kumpulan MupunTauh.

Persembahan tersebut menampilkan keunikan seni muzik tradisional Sape yang digabungkan dengan tarian tradisional masyarakat Orang Ulu, sekali gus memperkenalkan kekayaan warisan budaya Sarawak kepada pengunjung PBAKL 2026.

Pustaka Negeri Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan Paduka Baginda berkenan meluangkan masa mengunjungi reruai Pustaka Negeri Sarawak. Kunjungan tersebut merupakan satu penghormatan dan penghargaan yang amat bermakna dalam usaha memartabatkan warisan budaya serta memperkenalkan khazanah ilmu dan kesusasteraan Sarawak kepada masyarakat umum.

PBAKL 2026 berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan Reruai Pustaka Negeri Sarawak terus menjadi platform untuk mempromosikan penerbitan, budaya dan warisan negeri kepada pengunjung dari seluruh negara.

Related Link

https://www.facebook.com/photo/?fbid=1402863005211104&set=pcb.1402866495210755