Pustaka Negeri Sarawak telah menerima pengiktirafan rasmi sebagai Entiti yang Diberi Kuasa di bawah Akta Hak Cipta 1987 menerusi Perintah Hak Cipta (Entiti yang Diberi Kuasa) (Pindaan) 2026 [P.U. (A) 249/2026], yang mula berkuat kuasa pada 3 Julai 2026.
Pewartaan ini merupakan satu pencapaian penting yang memperkukuhkan peranan Pustaka Negeri Sarawak dalam memperluaskan akses kepada bahan bacaan dan sumber ilmu secara lebih inklusif, khususnya kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.
Melalui pengiktirafan ini, Pustaka Negeri Sarawak diberi kuasa untuk menghasilkan, menyesuaikan serta menyediakan salinan karya dalam format mudah akses seperti Braille, audio dan format alternatif lain yang bersesuaian bagi kegunaan OKU penglihatan, selaras dengan peruntukan Akta Hak Cipta 1987 tanpa menjejaskan hak pemilik atau penerbit asal karya tersebut.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Pustaka Negeri Sarawak dalam memastikan setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk mengakses ilmu pengetahuan, maklumat dan bahan bacaan, seiring dengan aspirasi membina masyarakat yang inklusif dan berpengetahuan.
Pewartaan Pustaka Negeri Sarawak sebagai Entiti yang Diberi Kuasa turut meletakkan institusi ini dalam kelompok terpilih yang diberi peranan untuk menyokong penyediaan bahan bacaan mesra akses kepada komuniti OKU di Malaysia.
Ringkasan Pewartaan
Perintah Hak Cipta (Entiti yang Diberi Kuasa) (Pindaan) 2026 telah dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menurut subseksyen 36A(11), Akta Hak Cipta 1987.
Melalui pindaan tersebut, Pustaka Negeri Sarawak disenaraikan sebagai Butiran 6 dalam Jadual kepada Perintah Hak Cipta (Entiti yang Diberi Kuasa) 2022 [P.U. (A) 220/2022], bersama entiti lain yang turut diberi kuasa bagi tujuan penyediaan karya dalam format mudah akses.
Senarai entiti terkini adalah seperti berikut:
i. Butiran 4: Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia
ii. Butiran 5: Universiti Teknologi MARA (UiTM)
iii. Butiran 6: Pustaka Negeri Sarawak
Pustaka Negeri Sarawak akan terus memperkukuhkan usaha dalam memperluaskan akses ilmu dan membangunkan perkhidmatan perpustakaan yang lebih inklusif, inovatif dan responsif terhadap keperluan masyarakat.
Pameran Sarawakiana: Menghayati Hari Sarawak 01 Jul 2026
Seminar Sarawak Lestari 2026 13 Aug 2026
Juh Nambah Ilmu Siri 2 (Anjuran Pustaka Kuching) 14 Aug 2026
Knowledge Camp Series 2: Create. Play. Code! 15 Aug 2026
Hari Bersama Pelanggan Pustaka Negeri Sarawak, Sibu 22 Aug 2026