Difference between revisions of "Imej Suku Dayak di Mata Pengarang Melayu: Suatu Penelitian ke Atas Naskhah Syair Perang Cina di Monterado"
(Created page with "__NOTOC__ This title (paper) has been presented at the 2nd International k@Borneo Conference 2021 organised by Pustaka Negeri Sarawak that has been held virtually on 14 and 15...") |
(No difference)
|
Latest revision as of 14:10, 23 September 2021
This title (paper) has been presented at the 2nd International k@Borneo Conference 2021 organised by Pustaka Negeri Sarawak that has been held virtually on 14 and 15 September 2021. This paper been presented by Steven Alezender from Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK, UKM. Bangi, Malaysia.
Abstrak
Dayak, suku primitif. Terasing, pedalaman dan pemenggal kepala. Bahkan buku sejarah Eropah sebelum tahun 1800 Masihi, turut tidak ketinggalan dari memerihalkan mengenai penempatan mereka iaitu Pulau Kalimantan sebagai sebuah tempat utama yang penuh dengan kekejaman, keganasan dan kematian yang mengejut. Demikianlah gambaran yang sering kali melekat dengan sosok suku ini sewaktu namanya disebutkan sesuai dengan konotasi kata “Dayak” itu sendiri. Menjalani kehidupan jauh diceruk pedalaman yang berhutan tebal dan bergunung-ganang memungkinkan suku ini tidak terdedah dengan beberapa aspek penting dalam kehidupan terutamanya dalam bidang keilmuan dan keintelektualan. Keterlambatan suku Dayak terdedah dengan bidang keilmuan membataskan mereka untuk menguasai sistem tulis dan baca sehingga menyebabkan mereka hanya bergantung kepada tetek tatum iaitu kesusasteraan lisan yang diwarisi untuk mengujarkan latar belakang mereka. Senario ini sedikit sebanyak memberikan kesukaran kepada para sarjana untuk menekuni perihal suku Dayak ini. Namun, dengan menggunakan pendekatan sosiologi dalam meneliti naskhah historiografi Syair Perang Cina di Monterado, analisis mendapati bahawa pengarang naskhah ini tidak hanya merakamkan peristiwa peperangan yang berlaku di Kalimantan Barat semata-mata malah turut memanfaatkan ruang karyanya itu untuk memuatkan sejumlah gambaran mengenai suku Dayak. Imej suku Dayak yang diabdikan oleh pengarang lewat naskhah syair historiografi ini sedikit sebanyak dapat dijadikan sebagai salah satu sumber untuk mencermati dan mengenali suku Dayak dengan lebih dekat lagi.
Kata Kunci: Suku Dayak, Primitif, Kalimantan, Pengarang, Syair, Imej.
Pengenalan
Suku Dayak, lambat celik pengetahuan. Ketinggalan dalam tradisi kelimuan dan keintelekualan. Sewaktu tradisi keilmuan mulai berkembang pesat di seluruh selerakan Alam Melayu yang lain dengan menyaksikan beberapa institusi istana yang masyhur sebagai pusat perkembangannya, suku ini masih lagi belum memobilisasikan diri mereka dari zaman kegelapannya. Kelewatan suku ini terdedah dengan tradisi keilmuan barangkali dipengaruhi oleh faktor lokaliti penempatan mereka yang menyukarkan dan membataskan tradisi ini untuk sampai dan seterusnya dikuasai oleh mereka. Ekoran tercicir dalam mengalami ledakan revolusi bidang keilmuan dan keinteletualan sebagaimana yang berlaku ke atas bangsa dan suku lain di Alam Melayu, suku Dayak di Pulau Kalimantan dipercayai oleh para sarajana tidak meninggalkan sebarang bentuk pendokumentasian untuk memerihalkan tentang diri mereka sendiri (Tjilik Riwut 1993: 450). Kekurangan ini sedikit sebanyak telah menyukarkan kerja-kerja penelitian para sarjana ke atas suku ini lantaran ketiadaan sumber-sumber bertulis yang ditinggalkan oleh mereka untuk dijadikan sebagai sumber pengkajian dan penelitian masa silam mereka. Sehingga kini, pengkajian yang dilakukan ke atas suku Dayak hanya dijalankan dengan berdasarkan kesusasteraan lisan milik mereka
iaitu tetek tanum [1] yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi sejak lama dahulu.
Keberagaman penduduk yang mendiami Pulau Kalimantan bagaimanapun memberikan nafas baru buat suku Dayak apabila kemasukan bangsa asing daripada luar Kalimantan berhasil menutupi kelemahan tulis dan baca mereka. Kedatangan orang Melayu ke Pulau Kalimantan umpamanya atas urusan perdagangan yang kemudiannya membina penempatan kekal di sini tidak hanya membawa budaya mereka semata-mata. Lebih jauh daripada itu mereka juga turut memanfaatkan kelebihan yang dipunyai dalam tradisi keilmuan dan keintelektualan yang dikuasai sejak kedatangan syiar Islam untuk digunakan ditempat baru. Rentetan itu, maka terkaranglah sebuah naskhah historiografi yang berjudul Syair Perang Cina di Monterado yang tidak hanya menjadi refleksi kepada peristiwa peperangan Monterado yang berlaku. Bahkan, naskhah ini juga turut memuatkan sejumlah gambaran mengenai suku Dayak yang julung-julung kalinya muncul dalam naskhah pengarang Melayu tradisional. Justeru, dari kaca mata pengarang Melayu tersebut, perihal orang Dayak sebelum ini yang begitu terbatas untuk diketahui sedikit sebanyak boleh disoroti menerusi naskhah syair ini.
Suku Dayak Di Kalimantan Dan Naskhah Syair Perang Cina Di Monterado
Dayak, suku yang menarik. Unik dari segi istilah, asal-usul dan corak hidup. Keunikan yang dipunyai oleh suku Dayak telah menyebabkan mereka mendapat perhatian yang khusus sedari zaman kolonial lagi dari pakar bidang antropologi, linguistik, arkeologi dan sosiologi. Namun, sehingga kini kesepakatan untuk memuktamadkan beberapa aspek berkenaan suku Dayak terutamanya istilah Dayak itu sendiri masih lagi belum sampai ke garisan penamat walaupun ia sudah mulai ditekuni sedari tahun 1800 Masihi lagi.
Berhubung dengan istilah Dayak ini sendiri, penggunaannya dipercayai dimulakan oleh kuasa kolonial untuk merujuk keseluruhan penduduk asli di Pulau Kalimantan bagi memudahkan kerja-kerja pentadbiran mereka (Sujarni Alloy, Albertus & Chatarina Pancer Istiyani 2008: 9; Hamid Darmadi 2016: 323; Yekti Maunati 2004: 59). Sumber lain pula mengatakan istilah Dayak ini berasal dari bahasa Kawi iaitu “Dayaka” yang membawa konotasi suka memberi. Malah, tidak kurang juga ada yang menyatakan ia berasal dari perkataan Daya yang bererti kekuataan (Sujarni Alloy et al. 2008: 11).
Bagi Hamid Darmadi (2016: 322) pula, istilah Dayak ini berasal dari kata “Daya” yang membawa maksud hulu atau merujuk kepada masyarakat yang tinggal di pendalaman atau perhuluan sesuai dengan pola penempatan suku Dayak yang tinggal dikawasan pergunungan, dataran tinggi dan di hulu-hulu sungai. Tjilik Riwut (1993: 229) sewaktu menekuni istilah yang sama menyatakan bahawa istilah tersebut adalah satu perkataan yang digunakan untuk merujuk suku-suku yang bukan beragama Islam yang mendiami kawasan pedalaman. Maka, bolehlah disimpulkan bahawa istilah Dayak itu merujuk kepada suku yang mendiami kawasan pedalaman dan tidak beragama Islam.
Dalam pada itu, asal-usul suku Dayak ini mengikut tetek tatum dipercayai berasal dari langit ketujuh. Dakwaan tetek tatum ini diperkuatkan lagi dengan suatu bentuk kepercayaan suku Dayak yang disebut Kaharingan yang mempercayai bahawa nenek moyang suku Dayak ini didatangkan dari langit ketujuh dan diturunkan dengan Palangka Bulau (merupakan ancak, tandu atau gandar yang suci yang diperbuat dari emas dan diturunkan dari langit) oleh Ranying Hattala Langit. Nenek moyang suku Dayak ini dikatakan diturunkan diempat tempat yang berbeza iaitu pertama di Tantan Puruk Pamatuan yang terletak dihulu sungai Kahayan dan Barito, kedua di Tantan Liang Mangan Puruk Kaminting yang terletak di sekitar Gunung Raya, ke tiga di Datah Tangkasiang di hulu sungai Malahui yang terletak di daerah Kalimantan Barat dan yang terakhir di Puruk Kambang Tanah Siang yang terletak di hulu Barito (Tjilik Riwut 1993: 231; Hamid Darmadi 2016: 336).
Nenek moyang suku Dayak yang diturunkan dikeempat-empat tempat yang berasingan ini kemudiannya berkahwin di antara satu dengan yang lain dan seterusnya melahirkan keturunan suku Dayak yang menempati seluruh pelosok Kalimantan seperti yang diketahui pada hari ini. Tidak kurang juga ada pendapat yang mengatakan bahawa suku Dayak ini tergolong di dalam rumpun Austronesia yang merupakan percampuran antara bangsa Kaukasus di Eropah Timur dengan bangsa Mongolia di benua Asia. Dari benua Asia tersebut, bangsa ini kemudiannya menyebar ke arah selatan menuju ke kawasan Nusantara (Sujarni Alloy et al. 2008: 11).
Secara umumnya, suku Dayak ini mempunyai sekitar 450 subsuku yang tersebar di seluruh bentangan pulau Kalimantan yang luas. Lahajir et al. (1993) percaya bahawa pada mulanya semua subsuku tersebut berasal dari satu kelompok yang sama namun ia mulai terpisah ekoran proses geografi dan demografi yang berlangsung lebih dari seribu tahun yang lalu. Berhubung dengan subsuku Dayak ini, Tjilik Riwut (1993: 233) mengatakan bahawa setiap suku Dayak yang mendiami Kalimantan boleh dibahagikan berdasarkan kepada suku-suku yang sedatuk manakala yang sedatuk pula boleh dibahagikan lagi kepada suku-suku kekeluargaan. Secara mudahnya, ia boleh dibahagikan mengikut suku asal (rumpun), suku atau anak suku, suku yang sedatuk dan suku kekeluargaan.
Walaupun suku-suku Dayak ini berada dalam satu rumpun yang sama, namun pada suatu masa dahulu mereka saling berperang bagi mendapatkan kepala masing-masing. Faktor inilah yang antara lainnya turut menyebabkan taburan suku Dayak berada di seluruh pelosok Kalimantan lantaran ingin mencari tempat yang dirasakan aman dan selamat dari serangan musuh dan pemenggal kepala. Bagi mengelakkan diri daripada dijadikan sebagai sasaran, kawasan pedalaman antara kawasan yang dijadikan pilihan oleh suku Dayak untuk dijadikan sebagai kawasan penempatan mereka berbanding memilih kawasan persisir. Ancaman pemenggalan kepala ini juga turut memungkinkan suku Dayak membangunkan rumah panjang sebagai kediaman bagi menjamin keselamatan mereka daripada serangan mendadak para pemburu kepala di samping kos membangunkan rumah panjang yang lebih jimat kerana hanya memerlukan beberapa kayu yang diperolehi dari hutan (Geddes 1968: 28-32).
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, suku Dayak kebiasaannya menyara diri dan keluarga mereka dengan bergantung dan memanfaatkan hasil-hasil hutan yang berdekatan dengan penempatan mereka. Tidak kurang juga ada di antara suku Dayak yang menjalankan kegiatan memburu haiwan hutan dengan menggunakan sumpitan dan anak panah yang beracun di samping kegiatan lain seperti memancing ikan di sungai. Seiring dengan peredaran masa, suku Dayak mula belajar menjalankan aktiviti pertanian secara kasar yang bersifat sara diri (Grahim Irwin 1989: 3). Aktiviti pertanian secara kasar tersebut berikutnya memungkinkan suku Dayak memiliki tradisi berladang secara pindah dengan mencari kawasan hutan yang subur untuk berladang dan bercucuk tanam (Hamid Darmadi 2016: 325).
Berhubung dengan naskhah historiografi Syair Perang Cina di Monterado pula, naskhah ini telah diusahakan kerja transliterasinya oleh Arena Wati (1989) dari naskhah asalnya yang bertulis jawi dan kini tersimpan di Perpustakaan Universiti Leiden, Belanda. Naskhah ini antara lainnya merakamkan peristiwa peperangan yang berlaku di antara Belanda, institusi kerajaan tempatan dan penduduk peribumi yang bersekutu dalam menentang migran Cina di Kalimantan Barat.
Metodologi Kajian
Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang melibatkan tafsiran untuk melihat fenomena manusia di dalam teks. Justeru itu, hanya satu kaedah sahaja yang digunakan dalam kajian ini iaitu penyelidikan kepustakaan sepenuhnya memandangkan kajian ini adalah kajian teks dengan menjadikan naskhah historiografi Syair Perang Cina di Monterado sebagai data penyelidikan. Kaedah penyelidikan kepustakaan tersebut digunakan untuk mencari dan mencatat semua maklumat yang diperlukan menerusi bacaan rapi bagi memenuhi maksud kajian ini.
Di samping itu, pendekatan sosiologi juga turut dimanfaatkan untuk mengetengahkan maklumat dan gambaran sesuatu komuniti seperti yang terdapat di dalam naskhah. Unsur sosiologi dilihat atau dikesan melalui aspek bahasa, yang menjadi wahana kepada pengarang silam bagi menzahirkan segala maklumat dan gambaran masyarakat seperti yang terakam dalam syair yang dikaji.
Analisis Kajian
Sastera tradisional merupakan jambatan yang menghubungkan masyarakat moden dengan zaman silam. Demikian suguhan Siti Hawa Haji Salleh (1999: 148) sewaktu beliau membincangkan mengenai kesusasteraan Melayu tradisional dan peranan filologi dalam makalah beliau. Kenyataan beliau ini jelas membuktikan bahawa setiap hasil kesusasteraan Melayu tradisional itu tidak diciptakan secara kosong kerana ia merupakan bentuk pendokumentasian yang penting buat sesebuah masyarakat yang memilikinya pada hari muka.
Dalam konteks naskhah Syair Perang Cina di Monterado umpamanya, ia bukanlah sekadar helaian naskhah yang hanya merekonstruksi peristiwa perperangan Monterado di Kalimantan Barat semata-mata. Malah, lebih jauh daripada itu naskhah ini juga turut memberikan ruang untuk mencermati perihal suku Dayak yang sebelum ini begitu sukar ditekuni, lantaran ketiadaan dokumentasi yang ditinggalkan oleh suku ini. Menerusi kaca mata pengarangnya, tersingkap sejumlah imej suku Dayak yang meliputi sifat, budaya, sikap dan sosioekopmi mereka yang mendiami Kalimantan khususnya Kalimantan Barat sekitar abad ke-18 Masihi.
Dayak Masyarakat Yang Berani
Libau atau Rentap, antara ikon keberanian suku Dayak. Sebut sahaja akan namanya, pasti setiap dari orang yang mendengarnya akan terbayang mengenai kepahlawanan, kegagahan dan keberanian beliau dalam menentang pejajahan Rajah Brooke pada suatu masa dahulu. Perjuangan Libau hingga ke akhir hayat beliau tidak hanya mewakili malah membuktikan bahawa semangat juang dan keberanian suku Dayak tidak boleh diremehkan dan dipandang enteng dalam mana-mana peristiwa penentangan mereka.
Keberanian suku Dayak seperti yang dimaksudkan tersebut membuatkan pengarang Syair Perang Cina di Monterado turut tidak terlepas dari merakamkannya dalam naskhah terbabit. Keberanian suku Dayak tertonjol dengan begitu jelas sewaktu berjuang bersama dengan rakan sekutunya dalam memerangi migran Cina di Kalimantan Barat. Keberanian suku Dayak tersebut boleh disoroti menerusi rangkap syair yang dihimpunkan berikut:
- Adapun Dayak Baban Balayuk,
- Serta Parigi dengan Dayak Kadok,
- Katanya cukup melanggar Mentradok,
- Jikalau dilepas dialah mengamuk. (r. 173)
- Adapun akan Dayak Pahung,
- Serta dengan Dayak Karantong,
- Hidup mati sebarang untung,
- Atasnya ia melawan Thai Kwung. (r. 174)
- Tiada banyak madah disebut,
- Setiap-tiap Dayak tiada diam mulut,
- Melawan Cina tiadalah takut,
- Jikalau belum dianya mengikut. (r. 175)
Keberanian Dayak Baban Belayuk, Parigi dan Kadok misalnya boleh disoroti menerusi baris ketiga dan keempat pada rangkap syair yang pertama iaitu “Katanya cukup melanggar Mentradok”, “Jikalau dilepas dialah mengamuk”. Berdasarkan baris syair yang dipetik, keempat-empat suku Dayak tersebut mengatakan bahawa gabungan subsuku mereka sahaja sudah mencukupi untuk melanggar migran Cina yang berada di Monterado. Bahkan, sekiranya ada yang sengaja melepaskan migran Cina dalam peperangan terbabit, keempat-empat suku Dayak ini tidak akan teragak-agak untuk mengamuk.
Tidak kurang hebatnya juga dengan Dayak Pahong dan Karantong yang mengatakan bahawa “Hidup mati sebarang untung”, “Atasnya ia melawan Thai Kwung” seperti yang boleh dilihat menerusi baris ketiga dan keempat pada rangkap syair yang kedua. Menerusi kedua-dua baris syair itu, subsuku Dayak Pahong dan Karantong jelas tidak memperdulikan soal hidup dan mati mereka sewaktu di medan peperangan kerana kedua-dua subsuku ini hanya ingin fokus melawan Cina Thai Kwung iaitu kumpulan kongsi yang paling kuat sekali di Kalimantan Barat.
Begitu juga dengan suku Dayak lain yang diceritakan “Setiap-tiap Dayak tiada diam mulut”, “Melawan Cina tiadalah takut”, “Jikalau belum dianya mengikut”. Baris syair kedua hingga keempat pada rangkap syair yang ketiga ini dengan konkritnya mengetengahkan keberanian suku Dayak sendiri kerana pengarang memperlihatkan keadaan suku Dayak yang tidak takut, dan tidak dapat berdiam diri dari terus melawan migran Cina.
Dayak Masyarakat Yang Mengamalkan Budaya Ngayau
Budaya ekspresi kehidupan kelompok manusia. Relevan dan signifikan kepada yang memilikinya. Ia doktrin yang dibangunkan berdasarkan kearifan yang dimiliki dalam sesuatu bidang yang merupakan hasil dari pembelajaran, pengamatan mahupun pengalaman yang dilalui sendiri oleh sesebuah kelompok manusia berkenaan. Oleh itu, peradaban di dunia khususnya Alam Melayu mempunyai bentuk budayanya yang tersendiri lantaran budaya tidak keterlaluan untuk dikatakan sebagai elemen penting dalam pembinaan sebuah ketamadunan.
Begitu juga dengan suku Dayak yang turut memiliki budayanya yang tersendiri dan kaya dengan keunikannya. Pembinaan budaya suku Dayak ini sudah semestinya bersangkutan dengan persekitaran dan kepercayaan yang dianuti oleh mereka sehingga terzahir perbezaan yang nyata dengan budaya suku dan bangsa yang lain di Alam Melayu. Menariknya, salah satu budaya suku Dayak yang paling terkenal dan membina imej mereka dimata suku lain di Kalimantan Barat iaitu “ngayau” turut dirakam oleh pengarang di dalam naskhah Syair Perang Cina di Monterado. Ia boleh dicermati menerusi kutipan rangkap syair yang berikut:
- Kawan berkata titah dijunjung,
- Lalu berkata Tua Dayak Pahung,
- Cina ini dialah tanggung
- Jikalau lari dianyalah potong. (r. 171)
- Adapun perintah disebut nyata,
- Cina yang durhaka semuanya dipotong,
- Dapat harta dianya punya untung,
- Jikalau senjata masuk ke gedung. (r. 181)
- Si Akar Dayak Tua Perigi Dayak Ujung,
- Kubu Cina Samalantan yang dikepung,
- Dayak yang banyak membunuh serta memotong,
- Kain baju dan kuncir muak untung. (r. 765)
- Yang lari ke hutan Dayak nin hambat,
- Banyaklah Cina mati yang Dayak kerat,
- Baik yang jauh baik yang dekat,
- Setiap hari itulah dibuatnya. (r. 768)
Ngayau atau mengayau menurut Hamid Darmadi (2016: 330) berasal dari gabungan dua perkataan iaitu “me” dan “ngayau”. “Me” di sini membawa konotasi melakukan aksi manakala “ngayau” pula merujuk kepada pemenggalan kepala musuh. Dalam suku Dayak sendiri, budaya ngayau ini dilakukan oleh mereka disebabkan oleh beberapa tujuan. Antaranya ialah untuk melindungi hasil pertanian, mendapatkan tambahan daya jiwa, membalas dendam dan juga sebagai persembahan untuk mengukuhkan sesuatu bangunan.
Namun begitu, ngayau yang dilakukan oleh suku Dayak di dalam konteks syair ini adalah bertujuan untuk membalas dendam ke atas migran Cina yang selama ini menzalimi dan menindas mereka dengan kejam sekali. Oleh sebab itu, baris-baris syair seperti “Jikalau lari dianyalah potong”, “Cina yang durhaka semuanya dipotong”, “Dayak yang banyak membunuh serta memotong” dan “Banyaklah Cina mati yang Dayak kerat” pada rangkap syair yang dhimpunkan menceritakan dengan jelas mengenai perbuatan suku Dayak yang mengayau migran Cina di Kalimantan Barat.
Berdasarkan kesemua baris syair yang dipetik tersebut, ramai dari migran Cina di Kalimantan Barat tidak terlepas dari menemui ajalnya apabila kesemua mereka dipotong atau dikerat oleh suku Dayak. Meskipun pengarang tidak memerihalkan dengan jelas apakah yang dipotong dan dikerat oleh suku Dayak di dalam baris-baris syair tersebut tetapi ia tidak boleh tidak merujuk kepada budaya ngayau dalam diri suku Dayak yang sememangnya sinonim dengan pemotongan atau pemenggalan musuh mereka terutamanya kepala.
Dayak Masyarakat Yang Dipercayai
Manusia hidup dilingkungi oleh pelbagai bentuk nilai. Baik hati, kasih sayang, prihatin, rendah diri dan sebagainya merupakan antara nilai yang akrab dengan kehidupan diri manusia. Kesemua nilai ini wajib dipraktikan dalam kehidupan seharian untuk membina suatu hubungan yang baik sama ada dengan manusia sendiri mahupun juga dengan makhluk ciptaan Tuhan yang lain. Dari kesemua nilai tersebut, kepercayaan boleh dikatakan sebagai nilai yang paling utama sekali kerana sekiranya nilai kepercayaan itu tercalar ia akan memberikan tempias secara langsung kepada nilai-nilai yang lain dalam diri seseorang.
Dalam pada itu, besarnya pengaruh nilai kepercayaan ini turut membuatkan Pangeran Suta dari kerajaan Mempawah bertindak mengamanahkan suku Dayak untuk melakukan serangan ditempat-tempat tertentu sesuai dengan strategi yang disusun bersama dengan penduduk peribumi Kalimantan Barat. Kepercayaan yang diberikan oleh Pangeran Suta tersebut secara tidak langsung memperlihatkan bahawa suku Dayak ini merupakan figura yang boleh diharap untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau tanggungjawab. Kepercayaan yang diberikan oleh Pangeran Suta kepada suku Dayak boleh dicermati menerusi rangkap syair yang berikut:
- Adapun akan Kadawok dan Paringi,
- Itulah Dayak yang masyhur berlari,
- Ke Mentrado suruhkan pergi,
- Mana yang bertemu jangan ditanya lagi. (r. 133)
- Dayak-Mandor jua ke perintahkan,
- Serta Balayuk dengan Dayak Baban,
- Segenap Lawang rata-ratakan,
- Jangan diberi dianya bertinggalan. (r. 134)
- Adapun akan Dayak Pahung,
- Serta dengan Dayak Garuntung,
- Serta merta segenap kampung,
- Suruhkan ia melanggar Thai Kwung. (r. 135)
- Dayak Lumut serta Silu,
- Jangan diberi bertalu-talu,
- Semuanya ia suruhkan mengayau,
- Cina Thai Kwung akan dikayau. (r. 136)
Berdasarkan rangkap syair yang dihimpunkan, setiap suku Dayak yang terlibat dalam peperangan Monterado diberikan kepercayaan oleh Pangeran Suta untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Baris pertama hingga ketiga pada rangkap syair yang pertama iaitu “Adapun akan Kadawok dan Paringi”, “Itulah Dayak yang masyhur berlari”, “Ke Mentrado suruhkan pergi” memperlihatkan Pangeran Suta yang memanfaatkan Dayak Kadawok dan Paringi yang terkenal dengan ketangkasan dan kepantasannya berlari untuk pergi ke Monterado segera bagi membantu Belanda yang sudah bergerak ke sana.
Dayak Mandor, Balayuk dan Baban pada rangkap syair yang kedua pula diamanahkan oleh Pangeran Suta untuk “Segenap Lawang rata-ratakan”, jangan diberi dianya bertinggalan seperti yang disuguhkan oleh baris ketiga dan keempat pada rangkap syair yang sama. Ketiga-tiga suku Dayak tersebut diberikan kepercayaan oleh Pangeran Suta untuk menyerang dan membunuh migran Cina yang berada di Lawang habis-habisan tanpa menunjukkan perikemanusiaan dan membiarkan seorang pun dari migran Cina di kawasan terbabit untuk hidup.
Begitulah juga akan perihalnya dengan Dayak Pahung, Garuntung, Lumut dan Silu yang turut diarahkan untuk “Suruhkan ia melanggar Thai Kwung” dan “Semuanya ia suruhkan mengayau”, “Cina Thai Kwung akan dikayau” seperti yang diceritakan oleh pengarang pada baris ketiga rangkap syair yang ketiga dan baris ketiga serta keempat pada rangkap syair yang keempat. Berdasarkan baris-baris syair tersebut, keempat-empat suku Dayak yang disebutkan dikerahkan untuk melanggar dan mengayau kongsi Thai Kwung yang merupakan antara kongsi yang terkuat di Kalimantan Barat. Percaturan Pangeran Suta meletakkan keempat-empat sosok suku Dayak ini untuk membinasakan kongsi Thai Kwung barangkali disebabkan kegagahan dan keberanian yang dipunyai oleh mereka yang memungkinkan mereka diberi kepercayaan untuk mengalas serangan terhadap kongsi Thai Kwung berbanding dengan subsuku Dayak yang lain.
Dayak Masyarakat Yang Menjalankan Aktiviti Pertanian
Suku Dayak mengamalkan ekonomi sara diri yang berbentuk mudah. Pada peringkat awal, kelangsungan hidup suku Dayak ini diteruskan dengan mengutip hasil hutan, berburu dan memancing. Seiring dengan peredaran waktu, suku Dayak mula belajar menjalankan aktiviti pertanian secara kasar yang bersifat sara diri (Grahim Irwin 1989: 3). Aktiviti pertanian secara kasar tersebut telah memungkinkan suku Dayak memiliki tradisi berladang secara pindah dengan mencari kawasan hutan yang subur untuk berladang dan bercucuk tanam (Hamid Darmadi 2016: 325). Antara tanaman yang diusahakan oleh suku Dayak ialah tanaman padi yang dijalankan dengan sistem perladangan berpindah melalui penebangan dan pembakaran untuk tujuan penanaman tanaman dengan memanfaatkan abu bakaran tersebut sebagai pembekal nutrisi penting tanaman mereka (Wadly 2007: 112).
Kegiatan suku Dayak sebagai masyarakat yang bertani turut mendapat perhatian oleh pengarang naskhah Syair Perang Cina di Monterado sehingga turut diselitkan penceritaannya di dalam naskhah ini. Meskipun pengarang tidak menyediakan ruang yang khusus untuk memerihalkan dengan rinci mengenai aktiviti pertanian suku Dayak tersebut, tetapi pengujarannya di dalam naskhah ini memberi maklumat yang cukup untuk mengetahui mata pencarian suku Dayak yang berfokus kepada aktiviti pertanian. Di dalam naskhah Syair Perang Cina di Monterado, kegiatan suku Dayak sebagai masyarakat yang bertani boleh disoroti menerusi kutipan rangkap syair yang berikut:
- Kepada Cina Pangeran bertitahlah,
- Dayak sekalian jangan kau paksalah,
- Sekalian utangnya engkau buanglah,
- Padi yang hampas Dayak jangan diambillah. (r. 299)
- Adapun pada hari ini sekarang,
- Utang Dayak pada Cina sudah dibuang,
- Beras dan padi serta uang-uang,
- Seraya menyahut Seri Pangeran. (r. 446)
Baris keempat iaitu “Padi yang hampas Dayak jangan diambilah” pada rangkap syair yang pertama dan “Beras dan padi serta uang-uang” pada baris ketiga rangkap syair yang kedua memberikan gambaran yang jelas bahawa suku Dayak di Kalimantan Barat pada ketika itu merupakan masyarakat yang menjalankan aktiviti pertanian dengan mengusahakan tanaman padi. Bagi sebahagian besar suku Dayak sendiri, penanaman padi dilakukan bertujuan untuk memenuhi beberapa perkara iaitu untuk keperluan makanan seharian, upacara ritual dan untuk dijadikan sebagai alat pertukaran dengan barang-barang lain yang diperlukan dalam kehidupan mereka (Ida Bagus Putu Prajna Yogi 2018: 51).
Kesimpulan
Dayak, suku peribumi yang unggul. Mereka mempunyai asal-usul, cara hidup dan bahasa yang tersendiri. Keterbatasan dalam menguasai tradisi keilmuan bagaimanapun tidak memihak kepada keunggulan yang dipunyai untuk diberitakan kepada umum. Senario tersebut membuatkan corak hidup suku Dayak ini hanya diketahui oleh kelompok mereka sendiri ekoran tidak didokumentasikan seperti suku dan bangsa yang lain di Alam Melayu. Namun, kehadiran suku lain di Kalimantan khususnya Kalimantan Barat sedikit sebanyak memainkan peranan pentingnya dalam merakamkan perihal suku Dayak ini dalam hasil kesusasteraan yang dikarang oleh mereka iaitu menerusi Syair Perang Cina di Monterado.
Naskhah syair ini antara lainnya memberikan gambaran yang begitu jelas mengenai beberapa aspek dalam kehidupan suku Dayak di Kalimantan Barat. Gambaran suku Dayak yang boleh disoroti menerusi kaca mata pengarang naskhah ini ialah berkaitan dengan keberanian suku Dayak sendiri dalam peperangan, budaya ngayau, aktiviti pertanian dan juga sikap suku Dayak yang dipercayai. Walaupun naskhah ini tidak memerihalkan suku Dayak secara rinci lantaran fungsinya untuk merakamkan peristiwa peperangan Monterado, namun penceritaan mengenai suku Dayak yang disisipkan secara tidak langsung sudah memberi ruang yang memadai untuk melihat semula kehidupan suku Dayak pada suatu masa dahulu khususnya dalam abad ke-18 atau ke-19 Masihi.
Rujukan
- Ahmad Farhan bin Abdullah@Zakaria. (2011). Opu Bugis Lima Bersaudara: Peranan Daeng Menambun Ibni Daeng Rilekkek Dalam Kerajaan Di Alam Melayu Pada Abad Ke-18. Jurnal Malaysia Dari Segi Sejarah, 39, 41-68.
- Arena Wati (pngr.). (1989). Syair Perang Cina di Monterado. Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Hamid Darmadi. (2016). Dayak Asal-Usul dan Penyebarannya di Bumi Borneo. Jurnal Pendidikan Sosial, 3(2), 322-340
- Ida Bagus Putu Prajna Yogi. (2018). Padi Gunung Pada Masyarakat Dayak, Sebuah Budaya Bercocok Tanam Penutur Austronesia (Melalui Pendekatan Etnoarkeologi). Jurnal Forum Arkeologi, 31(1), 45-56
- Khairiah Binti Mohd. Yassin. (2014). Hubungan Budaya dan Ilmu dari Prespektif Barat dan Islam. MANU, 20, 25-51.
- Mohd. Koharuddin Bin Mohd. Balwi. (2004). Tradisi keilmuan dan Pendidikan Dalam Tamadun Melayu di Nusantara. Jurnal Kemanusiaan, 3, 48-62.
- Sujarni Alloy, Albertus & Chatarina Pancer Istiyani. (2008). Mozaik Dayak: Keberagaman Subsuku dan Bahasa Dayak di Kalimantan Barat. Pontianak, Kalimantan Barat: Institut Dayakologi.
- Tjilik Riwut. (1979). Kalimantan Membangun. Kalimantan: Pelangka Raya.
- Wadley, Reed L. (2007). Slashed and Burned: War, Environment, and Resource Insecurity in West Borneo during the Late Nineteenth and Early Twentieth Centuries. Source: The Journal of the Royal Anthropological Institute, 13(1)
- WP. Andrew. (2008). Peta Tematik Kebudayaan dan Sejarah Pemerintahan KalimantanBarat. Pontianak, Kalimantan Barat: Balai Pelestarian Sejarah dan Nilai Tradisional Pontianak.
- Yekti Maunanti. (2004). Identitas Dayak: Komodifikasi dan Politik Kebudayaan. Yogyakarta, Jawa: LKiS Yogyakarta.
- Yuvenalis Lahajir. (1993). Gerakkan Solidaritas Kebudayaan Dayak Suatu Kebutuhan Mendesak dalam Era Pembangunan Jangka Panjang Tahap Kedua. Makalah dibentangkan dalam Musyawarah Besar Masyarakat Dayak Kalimantan Timur. Samarinda, 30 Mac-2 April.
- Yusriadi. (2018). Identitas Dayak dan Melayu di Kalimantan Barat. Handep, 1(2), 1-16
Nota
- ↑ Tetek Tatum merupakan nama yang diambil dari salah sebuah tajuk sejarah lisan suku Dayak yang bermaksud Ratapan Tangisan Sejati. Menerusi Tetek Tatum ini, suku Dayak akan menuturkan cerita perang mereka dengan lagu yang berirama merdu (Arena Wati 1989: 45.)