Pertandingan Warisan Budaya Tempatan (PWBT)

From PustakaPedia
Revision as of 08:04, 6 August 2021 by Nazarir77 (talk | contribs)
Jump to: navigation, search

Sarawak bukan sahaja dianugerahkan dengan pelbagai sumber asli dan keindahan alam semula jadi, tetapi juga kaya dengan warisan sejarah dan budaya yang tinggi nilainya. Pemeliharaan warisan tempatan merupakan pelaburan yang baik kerana nilai estetika dan sejarahnya sama penting untuk menjadi daya tarikan pelancong.

Selaras dengan falsafah Pustaka iaitu “Masyarakat berilmu dan berasaskan maklumat memerlukan forum untuk bertukar-tukar pendapat secara intelektual di kalangan masyarakat, sebuah pusat ilmu untuk minda dan idea disatukan, dan pengaksesan kepada maklumat, pengetahuan, teknologi dan budaya yang tidak dibatasi oleh sempadan geografi", pelbagai program dan aktiviti diadakan secara konsisten bagi merealisasikan visi dan misi organisasi.

Pertandingan Warisan Budaya Tempatan merupakan satu pertandingan berbentuk penyelidikan yang mensasarkan penyelidik muda dari sekolah-sekolah menengah ini telah diadakan sejak tahun 2008, merupakan salah satu platform untuk mengumpul input berkaitan dengan warisan budaya tempatan melalui tema-tema yang dipertandingkan dan sekaligus dapat menyumbang kepada pembangunan koleksi Sarawakiana.

Tahun 2019 merupakan penganjuran tahun yang kedua belas (ke – 12), dan merupakan tahun yang ketiga (ke-3) pertandingan ini diperluaskan untuk wilayah utara Sarawak yang merangkumi Lawas, Limbang, Baram, Bintulu dan Bandaraya Miri.

Setiap tahun pertandingan ini mempunyai tema kajian. Antara tema kajian yang telah dipertandingkan adalah :

  1. Sejarah kaum – Adat Istiadat Kaum Orang Ulu di Utara Sarawak
  2. Permainan Tradisional Sarawak
  3. Kuih Muih Tradisional Sarawak
  4. Tokoh-Tokoh Tempatan, Wilayah Utara Sarawak
  5. Tempat-Tempat Bersejarah Di Wilayah Utara Sarawak
  6. Warisan Tinggalan Budaya Dalam Kalangan Etnik di Wilayah Utara Sarawak
  7. Kraftangan Tradisional Sarawak
  8. Herba dan Tumbuhan Dalam Kehidupan Etnik Tempatan di Sarawak
  9. Cerita Rakyat dan Mitos di Kalangan Rakyat di Sarawak.
  10. Kraftangan Tradisi Dalam Kalangan Etnik di Wilayah Utara Sarawak.
  11. Perubatan Tradisional di Kalangan Suku Etnik di Wilayah Utara Sarawak.
  12. Sejarah Asal Usul Penempatan Awal di Wilayah Utara Sarawak



Dengan kerjasama pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pada tahun 2016, hasil kajian yang terbaik dari tahun 2008 sehingga 2015 telah dikompilasikan dalam sebuah buku bertajuk Kompilasi Warisan Budaya Tempatan Wilayah Utara Sarawak 2008-2015.

Objektif

Program ini bertujuan untuk :

1.Mendedahkan para peserta dalam penggunaan sumber maklumat bercetak dan tidak bercetak mengenai bahan-bahan tempatan, sejarah kaum, tradisi, budaya, sosio-ekonomi, norma hidup sesuatu kaum dan sebagainya secara terperinci di negeri Sarawak.
2.Membimbing para peserta dalam pencarian maklumat melalui sumber yang sahih, merancang, mengumpul, menganalisis, mentafsir, mensintesis, merumus dan merekod maklumat yang diperolehi untuk membentuk hasil kajian yang lengkap dan komprehensif.
3.Mewujudkan pelajar yang celik maklumat serta mampu mengadaptasi kemahiran dan pengalaman dalam bidang penulisan penyelidikan untuk persediaan ke peringkat yang lebih tinggi.


Kumpulan Sasaran

Bengkel PWBT

Pelaksanaan program Pertandingan Warisan Budaya Tempatan (PWBT) ini pada mulanya mensasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Bandaraya Miri sahaja iaitu pada tahun 2008. Kemudian setelah program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan pada fasa pertama pelaksanaan, program ini telah dilanjutkan di seluruh bahagian Utara Wilayah Sarawak bagi pelaksanaan fasa yang kedua dan kini fasa yang seterusnya program PWBT ini akan dilaksanakan di seluruh negeri Sarawak.

Pustaka Sebagai Agensi Peneraju Dan Rakan Pintar Terlibat

Pengendalian program PWBT melibatkan agensi-agensi berikut sebagai rakan pintar dalam menggerakkan program ini. Agensi yang terlibat adalah:

1.Rakan pintar seperti:

a. Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak
b. Perpustakaan Awam, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
c. Curtin University Malaysia
d. Institut Perguruan Sarawak (IPG)
e. Persatuan Penulis – Penulis Utara Sarawak (PUTERA)
f. Sekolah – Sekolah Menengah
g. Universiti Malaysia Sarawak, (UNIMAS)

Penglibatan rakan pintar menjadi tulang belakang kepada program ini untuk memberi impak kerjasama pintar yang menyeluruh daripada segi manfaat bersama (synergistic benefits) kepada seluruh agensi dan kumpulan sasar yang terlibat. Manfaat bersama yang dirasai oleh rakan-rakan pintar mencakupi kerjasama kepakaran, tenaga kerja, teknologi.

Sumber Kewangan

Pembiayaan pelaksanaan program PWBT diperolehi melalui Pustaka Negeri Sarawak iaitu daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

Faktor Pendorong

Dengan sokongan dari Jabatan Ketua Menteri dan Pustaka Negeri Sarawak, ahli – ahli kumpulan pelaksana telah mengadakan bengkel Pertandingan Warisan Budaya Tempatan (PWBT) untuk semua sekolah – sekolah menengah yang menyertai pertandingan ini bagi zon Wilayah Utara Negeri Sarawak dan pada tahun 2020, ia telah dipanjangkan ke wilayah Selatan Negeri Sarawak.

Program PWBT ini merupakan antara kriteria yang dituntut dalam Sarawak State Library Ordinanc di mana Pustaka memainkan peranan dalam membentuk masyarakat berilmu. Objektif utama pendorong kepada program PWBT ini adalah dalam membentuk para pelajar sebagai penyelidik muda supaya mereka mempunyai sikap, kemahiran dan ilmu pengetahuan (ASK) yang diperlukan untuk memenuhi keperluan maklumat dan sebagai persediaan mereka apabila berada di tahap pengajian yang lebih tinggi. Selain itu, Pustaka telah mendapat sokongan penuh dari Kerajaan Negeri Sarawak yang telah membantu menyumbang dana bagi program tersebut.

Struktur pengurusan PWBT yang mantap yang meliputi pelbagai kakitangan daripada pelbagai bahagian di PUSTAKA serta sokongan dan dorongan daripada pihak pengurusan atasan merupakan tunjang utama dalam pelaksanaan program ini. Kepimpinan ini juga dapat dilhat menerusi hubungan kerjasama erat antara rakan pintar serta jalinan kolaborasi yang merupakan salah satu elemen penting dalan Pelan Strategik PUSTAKA dan Balance Scored Card (BSC).

Peranan Rakan Pintar

Rakan pintar yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan, dan individu bersama-sama menggerakkan program ini. Setiap agensi menyumbangkan dari segi tenaga kerja dan keperluan logistik di dalam menjayakan program di seluruh negeri Sarawak.


1.Pustaka Negeri Sarawak Menggerak dan meneraju keseluruhan program PWBT bagi seluruh kawasan negeri Sarawak.
2.Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Memberi kebenaran kepada pihak Pustaka Negeri Sarawak serta kebenaran kepada sekolah – sekolah menengah yang menyertai program PWBT ini.
3. Perpustakaan Awam, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Bekerjasama dalam menyediakan tempat pelaksanaan program di seluruh negeri Sarawak
4. Sekolah – Sekolah Menengah Membantu dalam pencarian para peserta dikalangan murid – murid sekolah menengah yang memenuhi kriteria dalam program PWBT.
5. UNIMAS Menambahbaik hasil penyelidikan para pelajar yang mengikuti PWBT untuk dijadikan buku kompilasi tajuk buku
6. Institut Perguruan Sarawak (IPG) Menyediakan khidmat juri dan khidmat nasihat dalam perlaksanaan Pertandingan Warisan Budaya Tempatan
7. Curtin University Malaysia Menyediakan khidmat juri dan khidmat nasihat dalam perlaksanaan Pertandingan Warisan Budaya Tempatan
8. Persatuan Penulis-penulis Utara Sarawak (PUTERA) Menyediakan khidmat juri dan khidmat nasihat dalam perlaksanaan Pertandingan Warisan Budaya Tempatan


Pelaksanaan

Pertandingan Warisan Budaya Tempatan mula diadakan sejak tahun 2008. Ianya merupakan salah satu acara tahunan Pustaka Negeri Sarawak, Miri yang bertujuan melatih para peserta melalui program kemahiran literasi maklumat bagi melahirkan pelajar yang celik maklumat serta memahami dan mengetahui keperluan maklumat yang diperlukan untuk pembelajaran serta kemajuan kendiri.

Tujuan Pertandingan ini diadakan adalah untuk membimbing para peserta dalam pencarian maklumat melalaui sumber-sumber yang sahih, merancang, mengumpul, menganalisis, mentafsir, mensistensis, merumus dan merekod maklumat-maklumat yang diperolehi untuk membentuk hasil kerja yang lengkap dan komprehensif. Peserta diajar dan didedahkan dengan penggunaan sumber-sumber maklumat bercetak dan bukan bercetak. Selain itu, beberapa aktiviti sampingan seperti khidmat nasihat dan panduan memlaui bengkel referencing and plagiarism, how to write the research dan how to make a video oleh beberapa orang pensyarah dari institusi rakan pintar Curtin University Sarawak turut diadakan bagi memantapkan lagi kemahiran pelajar dalam membuat kajian.

Pertandingan ini diharap dapat membantu meningkatkan daya kreativiti dan inovasi pelajar dalam menghasilkan karya penyedilikan yang komprehensif, asli dan menarik dari segi isi kandungan dan gaya penyampian berkenaan sesuatu kaum, tradisi, kepercayaan, norma dan pelbagai topik berkaitan Sarawak. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai semangat kerja berpasukan dan keazaman yang tinggi dalam menghasilkan produk/hasil kerja yang mutu.

Pada tahun 2020, program PWBT ini telah diperluaskan ke seluruh Sarawak dari segi penyertaan para peserta. Ini meliputi zon selatan, tengah dan utara Sarawak. Pada tahun ini, setiap zon didedahkan dengan konsep pembelajaran atas talian atau “open learning”. Konsep pembelajaran atas talian ini meliputi pengajaran dan pembelajaran serta penilaian melalui modul tersebut.

Cabaran

Cabaran yang dilalui sepanjang berlangsungnya pelaksanaan program PWBT adalah seperti kesukaran untuk mendapatkan sumber yang sahih dan tepat mengenai warisan tempatan. Di samping itu juga, sumber asal ilmu tempatan kebanyakan sudah tiada lagi atau sukar untuk dikesan. Pihak sekolah juga mempunyai kesukaran untuk melakukan program atau inisiatif seumpama ini akibat daripada kekangan dana di samping tiada guru atau tenaga pengajar yang dipertanggungjawabkan khas untuk aktiviti ini. Selain itu, didapati bahawa kebanyakan sekolah terutama di bahagian luar bandar tidak dilengkapi dengan kemudahan ICT yang lengkap. Kekurangan sumber tenaga pengajar antara kesulitan yang dialami dalam menjayakan program seumpama ini serta kekurangan komitmen berterusan dari pihak pelajar dan cikgu.

Hasil Pelaksanaan Progam PWBT Yang Menyeluruh

Sepanjang tempoh program PWBT ini dijalankan dari tahun 2008 hingga 2019 sejumlah 206 kumpulan penyelidik muda telah terbentuk di Zon Utara Sarawak. Jumlah peserta bagi keseluruhan program adalah sejumlah 824 peserta dan sejumlah 150 kajian yang terhasil daripada program PWBT. Hasil daripada inisiatif PWBT ini, koleksi Siri Sarawakiana telah bertambah dengan jumlah kandungan yang meningkat. Para peserta lebih berani dalam bidang pengucapan awam sewaktu pembentangan projek, mahir dalam menghasilkan video, mahir dalam melakukan sejarah lisan serta pencarian maklumat atas talian dalam usaha menghasilkan kertas kajian yang berkualiti dan setanding dengan taraf tahap pengajian tinggi.