Pendokumentasian Bahasa Terancam Di Sarawak: Pengalaman Dari Komuniti Miriek

From PustakaPedia
Revision as of 12:16, 21 September 2021 by Nazarir77 (talk | contribs) (Created page with "__NOTOC__ This title (paper) has been presented at the 2nd International k@Borneo Conference 2021 organised by Pustaka Negeri Sarawak that has been held virtually on 14 and 15...")
(diff) ← Older revision | Latest revision (diff) | Newer revision → (diff)
Jump to: navigation, search

This title (paper) has been presented at the 2nd International k@Borneo Conference 2021 organised by Pustaka Negeri Sarawak that has been held virtually on 14 and 15 September 2021. This paper been presented by Norazuna Norahim from University Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, Sarawak, Malaysia.

Abstrak

Kertas kerja ini melaporkan tentang projek penyelidikan yang sedang dijalankan untuk mendokumentasi bahasa komuniti yang terancam di Miri, Sarawak iaitu komuniti Miriek. Bahasa Miriek tergolong dalam kumpulan bahasa yang dikategori sebagai “terancam”, yang menuju ke tahap moribund (Asmah & Norazuna, 2020, hlm. 23). Komuniti Miriek dianggarkan seramai 5,000 penutur. Projek ini bertujuan menghasilkan kamus digital yang mengandungi kosa kata bahasa Miriek beserta dengan maklumat linguistiknya. Projek ini turut meneliti pertalian kekeluargaan di antara bahasa Miriek dengan bahasa-bahasa Austronesia di sekitar kawasan Baram. Berdasarkan perbandingan leksikostatistik, ada lebih dari 51 bahasa sukuan di Sarawak. Namun, deskripsi awal tentang sistem bahasa-bahasa ini kebanyakannya belum diusahakan. Dua bahasa sukuan Sarawak telah pupus, dan ada beberapa lagi akan menerima nasib yang sama sekiranya tiada usaha yang gigih dilakukan untuk melestarikan bahasa-bahasa tersebut. Penghasilan kamus merupakan langkah awal yang perlu dilakukan dalam usaha melestarikan bahasa. Dalam penghasilan kamus, sistem ortografi perlu dibentuk dan analisis struktur bunyi dan kata turut dilakukan. Kajian ini telah menghasilkan sebanyak 1200 entri kosa kata dalam bentuk digital. Dengan kamus berbentuk digital in, khazanah bahasa dan budaya, serta ciri-ciri distingktif bahasa Miriek telah dapat direkodkan secara sistematik untuk dimanfaatkan seterusnya misalnya, bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran bahasa ini. Dari segi keluarga bahasa, bahasa Miriek tergolong dalam kumpulan “Lower-Baram-Kenyah Sub-family”. Bahasa ini lebih dekat pertaliannya dengan Belait dan Kiput berbanding dengan Narom, Dalik and Bakong (ibid. hlm. 192).

Kata kunci: Dokumentasi bahasa, bahasa Baram, pembangunan bahasa, keterancaman bahasa, bahasa moribund

Pendahuluan

Tahap kerencaman atau kepelbagaian bahasa di dunia pada masa kini semakin menyusut dan dijangkakan menjelang tahun 2100, separuh daripada 6,500 bahasa di dunia akan mengalami keterancaman bahasa ke arah kepupusan dalam jangka masa 50 ke 100 tahun (Austin, P. http://www.hrelp.org/). Pengaruh (hegemony) bahasa utama dunia ke atas bahasa-bahasa yang lebih kecil dikhuatiri mengugat ‘survival’ bahasa. Fenomena ini dilihat seolah-olah tidak dapat dibendung lagi (Himmelmann, 2010; Florey, 2010). Fenomena ini mengugat kestabilan ekologi bahasa di wilayah tertentu di pelusuk dunia dan menyebabkan kedudukan bahasa minoriti terancam. Jika dilihat dari segi faktor demografi sahaja pun kita boleh bayangkan lebih banyak bahasa-bahasa sukuan di Sarawak akan terancam pada masa hadapan. Faktor makro-sosial seperti urbanisasi dan migrasi memainkan pengaruh yang besar yang telah dan boleh menyebabkan sesuatu komuniti bahasa terpisah (disintegrate). Setakat ini, Sarawak mempunyai lebih dari 51 bahasa sukuan; 2 darinya sudah pupus, dan sekurang-kurangnya 18 bahasa di tahap keterancaman termasuk bahasa Miriek (Asmah & Norazuna, 2020, hlm. 21).

Jumlah ini (51 bahasa) diperolehi berdasarkan kajian leksikostatistik dan pertalian keluarga bahasa yang telah dilakukan oleh penyelidik-penyelidik dalam bidang ini. Peta Ethnologue (Lewis, 2009) tentang keluarga bahasa menyenaraikan 49 bahasa di Sarawak namun senarai ini termasuk juga bahasa-bahasa yang ada hubungan dialektal. Misalnya, Remun, Balau dan Sebuyau turut disenaraikan sebagai “bahasa” dan bukannya sebagai dialek bahasa Iban. Dalam Statistik Kependudukan bagi setiap kaum di Sarawak, hanya 23 kumpulan etnik disenaraikan iaitu Bisaya, Bukitan, Kadayan, Kajang, Kayan, Kejaman, Kelabit, Kanowit, Kenyah, Lahanan, Lisum, Lugat, Lun Bawang, Penan, Punan, Sabub, Sekapan, Sian, Sipeng, Tabuan, Tanggal, Tanjung dan Ukit. Etnik Miriek turut tidak disenaraikan.

Matlamat projek Miriek ini ialah membangun satu prototaip kamus digital (Machine Readable Dictionary atau MRD) untuk digunakan dalam pendokumentasian bahasa sukuan. Setakat ini, usaha untuk mendokumentasi bahasa sukuan di Sarawak giat dilakukan oleh komuniti-komuniti dan agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Tun Jugah Foundation dan sebagainya. Namun, kamus digital (MRD) belum diusahakan. MRD merupakan langkah awal dalam usaha kita mendokumentasi bahasa secara sistematik.

Bahasa Miriek tergolong dalam keluarga bahasa Baram-Tinjar berdasarkan kajian awal oleh Hudson (1978). Blust (1972, hlm. 13) pula mengkategorikan bahasa ini dalam kumpulan “Lower Baram subgroup of North Sarawak languages”. Bahasa Miriek dikatakan berkait rapat dengan bahasa yang dituturkan oleh komuniti di Baram iaitu Berawan, Kiput Narom, Lelak, Lemeting, Dali’, dan komuniti Belait and Tutong di negara jiran, Brunei Darussalam. Justeru itu, kajian Miriek ini juga meneliti pertalian bahasa Miriek dengan bahasa-bahasa tersebut. Di Miri, orang Miriek tinggal di beberapa buah kawasan iaitu di Kampung Pengakalan Lutong, Kampung Bakam, Tanjung Batu Pujut, Lutong, Kampung Lopeng, Riam Road Batu Dua, Kampung Sungai Miri Kecil, Piasau, and Kampung Dagang.

Pendokumentasian Bahasa

Sejak lima dekad yang lalu, bidang ilmu pendokumentasian bahasa sudah mula bertapak sebagai sub-bidang tersendiri. Sebelum itu, sub-bidang ini di bawah bidang linguistik dan merupakan sebahagian aktiviti sokongan yang berkaitan dengan pemerian sistem bahasa. Himmelmann (1998), salah seorang pelopor bidang ini memberikan perbezaan skop penelitian pendokumentasian bahasa dan deskripsi sistem bahasa seperti berikut:

Documentary linguistics provides a comprehensive record of the linguistic practices characteristic of a given speech community… a language description aims at the record of a language, with "language" being understood as a system of abstract elements, constructions, and rules that constitute the invariant underlying structure of the utterances observable in a speech community… The record of the linguistic practices and traditions of a speech community, however, is much more comprehensive than the record of a language system since it includes many aspects commonly not addressed in language descriptions.
(hlm. 166-168)


Dalam pengertian yang mudah, sebarang bentuk aktiviti yang berkaitan dengan pengumpulan data primer tentang bahasa boleh dianggap sebagai aktiviti pendokumentasian bahasa. Data primer dalam pendokumentasian yang sistematik akan dapat dimanfaatkan dalam kajian seterusnya dan diaplikasikan dalam bidang-bidang berkaitan seperti pemprosesan bahasa semulajadi (natural language processing) dan pengajaran dan pembelajaran bahasa sukuan. Data primer merangkumi data tentang sistem bahasa dan amalan berbahasa sesebuah komuniti. Data-data ini sedapat mungkin hendaklah dirakam dalam bentuk audio dan video. Matlamat sesuatu pendokumentasian bahasa ialah merekodkan sebanyak mungkin amalan berbahasa dalam bentuk perbualan (communicative event) dan bukan hanya data yang berupa ayat-ayat yang lazim digunakan dalam analisis sistem bahasa. Penghasilan senarai kosa kata dan kamus hanya merupakan langkah awal dalam pendokumentasian bahasa namun usaha perlu diteruskan untuk merakam amalan berbahasa dalam kalangan penutur. Data-data ini juga perlu direkod dalam bentuk digital dan tersusun agar mudah untuk dimanfaatkan dalam aplikasi lain.

Dari segi teorinya, aktiviti pendokumentasian bahasa amat perlu diusahakan untuk menjamin kelestarian bahasa lebih-lebih lagi bagi bahasa moribund, bahasa yang di tahap akhir menghampiri kepupusan. Namun, dalam perlaksanaannya, proses pendokumentasian yang komprehensif dan sistematik amat memerlukan pengorbanan dari segi masa dan wang ringgit. Pendokumentasian bahasa sudah menjadi satu bidang yang memerlukan kepakaran yang khusus untuk berjaya. Pengumpul data primer harus berpengetahuan dalam bidang linguistik dan budaya bahasa yang diselidiki serta mampu berbahasa dalam bahasa yang didokumentasikan.

Pendokumentasian bahasa yang sistematik memerlukan perancangan berikut: (i) Skop dokumentasi iaitu jenis data yang dikumpul, (ii) Pembangunan ortografi atau ejaan, (iii) Kaedah pengumpulan data, (iv) Analisis data yang diperlukan, (v) digitalisasi untuk penyimpanan dan analisis data, dan (vi) Pembiayaan. Dalam perlaksanaannya, ada isu-isu lain perlu ditentukan seperti apakah kandungan sesuatu dokumentasi dan siapa yang perlu melaksanakannya.

Pendokumentasian Bahasa Miriek dan Permasalahanya

Projek kamus digital Miriek ini merupakan langkah awal dalam pendokumentasian bahasa Miriek. Kamus ini disusun menggunakan perisian WeSay, perisian yang dibangunkan oleh Summer Institute of Linguistics (SIL). Kamus ini mempunyai 1200 entri yang terdiri daripada kosa kata asas dan perkataan yang berkaitan dengan budaya masyarakat Miriek. Setiap perkataan diberi contoh penggunaannya dalam ayat, dan disertakan juga maklumat linguistik seperti kategori kata, dan simbol fonetik untuk penyebutan kata. Sebutan setiap kata juga dirakam dan disimpan dalam perisian ini. Data untuk kamus ini dikutip melalui pelbagai cara iaitu temu bual dengan penutur jati Miriek, dan merekod perbualan, tradisi lisan serta adat istiadat masyarakat Miriek.

Seperti kebanyakan bahasa sukuan di Sarawak, bahasa Miriek masih bahasa lisan. Perkara ini merumitkan pendokumentasian bahasa ini. Jika bahasa bertulis mempunyai korpus yang berbillion banyaknya, bahasa-bahasa minoriti seperti bahasa Miriek, perlu mengumpul korpusnya terlebih dahulu untuk meneruskan kerja-kerja pembangunan bahasa tersebut. Ini merupakan salah satu cabaran projek ini. Pengumpulan data juga memerlukan komitmen yang berterusan daripada komuniti bahasa terbabit. Banyak kelebihan kamus digital ini. Ciri-ciri distingktif sesuatu bahasa seperti ciri bunyi dan struktur kata boleh disimpan dengan sistematik. Setiap projek pendokumentasian bahasa perlu dirangka dan dilaksanakan dengan berterusan. Dengan ini, walaupun tidak dapat dikekalkan kelestariannya pada generasi yang akan datang, khazanah bahasa ini sekurang-kurangnya boleh didokumentasikan dengan sistematik.

Sistem Ortografi dan Transkripsi

Dalam pendokumentasian bahasa, sistem ejaan perlu ditetapkan terlebih dahulu di peringkat permulaannya. Penetapan sistem ortografi bahasa bukan perkara yang mudah kerana ia harus dapat diterima oleh komuniti penuturnya. Menurut Bradley (2003), penetapan ortografi untuk sesuatu komuniti bahasa boleh menjadi isu yang sensitif kerana perkara itu melibatkan pemilihan salah satu bentuk atau variasi untuk dijadikan standard bagi tujuan penyelarasan. Sekiranya bahasa yang hendak didokumentasi itu mempunyai pelbagai variasi, seperti bahasa Bidayuh dan bahasa Melanau di Sarawak, keadaan akan jadi lebih rumit. Sistem ortografi yang berkesan harus mempunyai kriteria berikut: harus dapat mewakili kesemua bunyi bahasa tersebut; diterima oleh komuniti bahasa tersebut; dapat diajarkan dan mudah dipelajari (Cahill dan Karan, 2008, hlm.1). Untuk menetapkan sistem ortografi sesuatu bahasa, secara idealnya, deskripsi sistem fonologinya perlu dilakukan terlebih dahulu. Namun, pada peringkat awal pendokumentasian bahasa, sistem ejaan yang tentatif boleh digunakan bagi tujuan mentrankripsi dan merekod data bahasa.

Setakat ini, sistem ortografi yang dihasilkan untuk bahasa sukuan di Sarawak dipengaruhi oleh sistem ejaan bahasa Melayu dan sistem ejaan yang diperkenalkan oleh mubaligh Kristian dalam penyebaran agama Kristian. Sistem yang digunakan oleh mubaligh Kristian tidak diselaraskan dan padanan fonem dengan ejaan dibuat berdasarkan sistem ejaan bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, data primer ini (bahan rujukan agama) tidak dapat digunakan bagi tujuan analisis sistem fonologi bahasa.

Amalan dalam pendokumentasian bahasa pada masa kini ialah menerima pakai sistem ejaan bahasa Melayu sebagai asas untuk membentuk sistem ejaan bahasa sukuan. Semua bahasa sukuan di Sarawak ialah bahasa Austronesia. Justeru itu, kaedah ini agak sesuai. Lagipun, penutur sudah biasa dengan sistem ejaan Melayu. Namun, yang menjadi isunya di sini ialah untuk mencari keseimbangan antara pembentukan sistem ortografi bagi tujuan memudahkan pengajaran-pembelajaran bahasa sukuan, dan pembentukan sistem ortografi yang turut melestarikan ciri-ciri distingtif bahasa sukuan. Persoalannya, adakah sistem ejaan bahasa Melayu harus dijadikan asas untuk membentuk bahasa sukuan memandangkan penuturnya sudah terlebih dahulu mengenali sistem literasi dalam bahasa Melayu? Secara perbandingannya, ciri-ciri bunyi bahasa Melayu lebih mudah dipelajari daripada sesetengah bahasa-bahasa sukuan di Sarawak. Sesetengah bahasa sukuan di Sarawak mempunyai ciri-ciri yang khusus seperti nasal plosion, pemanjangan vokal, bunyi yang dinyahsuara, rentetan konsonan, konsonan yang dihasilkan di daerah artikulasi faringk (pharygngealised consonant), dan sebagainya. Seperkara lagi, satu permasalahan yang boleh timbul berkaitan dengan hal ini ialah beberapa ciri fonetik dalam bahasa sukuan tidak diwakili dalam sistem ejaannya, dan kemungkinan ini juga boleh menyebabkan kesukaran untuk mengekalkan ciri tersebut dalam pertuturan generasi akan datang. Atas alasan inilah, maka perlu bunyi bahasa dirakam dan ditranskripsi dengan lengkap agar khazanah bahasa dapat direkodkan.

Menurut Seifart (2006, p.276-281), penentuan sistem ortografi bukan hanya mempertimbangkan aspek linguistik bahasa yang akan didokumentasikan seperti fonologi, prosodik, tatabahasa dan semantik, tetapi juga isu bukan linguistik antaranya, kemudahan mempelajari sistem ejaan yang dibentuk, kemungkinan tidak semua bahasa direpresentasikan (under-representation), kekerapan kemunculan ciri bahasa tersebut sama ada kerap atau tidak (functional load), dan kerumitan ortografi (orthographic depth). Dikatakan sistem ejaan yang rumit mempunyai banyak pengecualian dan rumus seperti bahasa Inggeris. Manakala sistem ejaan bahasa Melayu agak mudah kerana lazimnya satu huruf mewakili satu fonem. Ada juga pengecualian dalam sistem bahasa Melayu kerana sebutan merupakan unsur bahasa yang sukar dibakukan, misalnya unsur keselarasan vokal dalam ejaan bahasa Melayu <putih> disebut /puteh/.

Fonem dalam bahasa Miriek yang direpresentasikan dalam sistem ejaannya terdapat banyak persamaan dengan sistem ejaan bahasa Melayu. Bahasa Miriek mempunyai 20 bunyi konsonan, 7 bunyi vokal dan 7 bunyi diftong. Fonem dalam bahasa Miriek ialah seperti berikut: (i) Konsonan: p, b, t, d, k, g,Ɂ, m, n, ɲ, ŋ, f, s, h, l, ɣ, ʧ, ʤ, w, j (ii) Vokal: i, e, ə, ɛ, a, o, u (iii) Diftong: uj, ej,ew,oj,ow,aj, aw. Mengguna pakai cara ejaan berdasarkan sistem bahasa Melayu tidak menjadi masalah. Namun, ada beberapa ciri khusus sebutan bahasa Miriek tidak dapat diwakili dalam sistem ejaannya. Ciri-ciri khusus ini ialah bunyi kepanjangan vokal, bunyi velar frikatif /ɣ/ dan artikulasi sekunder seperti faringealisasi, labialisasi dan nasalisasi. Representasi yang sama digunakan untuk tiga bunyi iaitu /e/, /ə/ dan /ɛ/. Bunyi hentian glottal /Ɂ/ dan bunyi /k/ direpresentasikan dalam ejaan sebagai <k>. Rentetan konsonan seperti dalam perkataan /adʤuh/ (pokok), /mata dalluh/ (mata hari) dan /abbuh/ (abu) direpresentasikan sebagai <adjuh>, <mata dalluh> dan <abbuh>. Walaupun ciri khusus ini malar (kerap dijumpai) dalam bahasa Miriek, namun ciri-ciri ini tidak diwakili dalam penulisan. Sistem ejaan yang lebih mudah dipilih. Seperti juga sistem ejaan bahasa Bidayuh dan bahasa Iban, literasi dalam bahasa Melayu telah mempengaruhi penutur Miriek memilih sistem ejaan yang mirip kepada bahasa kebangsaan ini.

Pertalian Keluarga Bahasa Miriek dengan Bahasa-Bahasa Baram

Bahagian ini melaporkan dapatan kajian perbandingan leksikostatistik di antara bahasa Miriek dengan bahasa-bahasa di Baram, yang dikatakan mempunyai pertalian keluarga dengannya. Ada sekurang-kurangnya 11 bahasa tersebut yang dinyatakan oleh komuniti Miriek. Dalam kajian ini, pertalian bahasa Miriek dengan beberapa bahasa tersebut diselidiki. Bahasa-bahasa ini ialah bahasa komuniti yang mendiami lembah sungai Tinjar-Baram iaitu Berawan, Bakong, Narom, Kiput, dan Dali’. Hasil kajian ini dipetik daripada buku ditulis bersama oleh Asmah Hj Omar dan Norazuna Norahim (2020).

Setakat ini, masih belum diketahui jumlah sebenar bahasa sukuan di Sarawak. Salah satu sebabnya kerana penentuan status bahasa atau dialek untuk beberapa isolek belum dibuat, dan penerbitan utama tentang keluarga bahasa sukuan di Sarawak sudah agak lama dan kurang data baru tentangnya (Rujuk Kroeger, 1998; Hudson, 1978; Blust, 1977, 1972), terutamanya tentang bahasa Kenyah dan variasi-variasinya. Di samping itu, label etnik yang dipakai tidak semestinya merujuk kepada komuniti bahasa yang homogenous. Dalam erti kata yang lain, sesuatu komuniti bahasa itu boleh menuturkan pelbagai bahasa sukuan yang mempunyai hubungan bahasa yang berbeza dan bukan hubungan dialektal. Misalnya, dialek-dialek Bidayuh dan Melanau yang disebut dialek sebenarnya berstatus “bahasa”. (Rujuk Rensch et.al, 2012, Smith, 2017). Justeru, atas alasan-alasan inilah, kajian pertalian keluarga bahasa ini diusahakan.

Perbandingan leksikostatistik digunakan untuk mengkaji hubungan historikal di antara bahasa-bahasa di lembah Baram-Tinjar ini. Perbandingan ini berdasarkan senarai 100 kosa kata Swadesh (Dyen, 1975). Senarai kata yang asalnya dalam bahasa Inggeris diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Jadual 1 menunjukkan peratusan kognat di antara bahasa Miriek dengan bahasa-bahasa di Baram. Dapatan dari perbandingan leksikostatistik ini menunjukkan pertalian sejarah di antara bahasa-bahasa di Lembah Tinjar-Baram. Secara keseluruhannya, bahasa Miriek tergolong dalam kategori sub-keluarga Kiput yang juga terangkum dalam sub-keluarga yang lebih besar iaitu Narom-Kiput. Peratusan kognat ini menunjukkan bahasa Miriek lebih dekat pertaliannya dengan bahasa Belait dan Kiput dari bahasa dalam kelompok sub-keluarga Narum yang terdiri daripada Narum, Dalik dan Bakong. Walaupun demikian, pertalian bahasa Miriek masih agak rapat juga dengan sub-keluarga Narum. Kajian perbandingan struktur dan lexicogrammar yang terperinci perlu dilakukan bagi mengesahkan pengelompokan subkeluarga bahasa ini.

Jadual 1
Peratusan kognat di antara bahasa-bahasa di Baram

Languages Dalik Miriek Belait Kiput Bakong
Narum 80 73 65 70 80
Dalik 79 66 63 74
Miriek 60 60 67
Belait 74 74
Kiput 65


Metcalf, (1976, hlm. 6)seorang anthropologist, menceritakan perihal peperangan dan keadaan yang huru hara di Baram pada separuh penggal kedua abad ke-19 telah menyebabkan komuniti minoriti di kawasan ini berhijrah keluar mencari perlindungan ke penempatan baru di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei. Komuniti minoriti ini telah menganut agama Islam dan berlaku asimilasi kepada budaya Melayu. Buktinya kewujudan perkampungan komuniti Baram-Tinjar di pesisir pantai Miri dan Brunei pada masa kini, iaitu komuniti Dalik di Sibuti, Miriek di Pujut, Bakam dan Luak Bay, Narom di Marudi, dan Bakong di Beluru. Berdasarkan temu bual dengan informan Narom di lapangan, diceritakan komuniti-komuniti di Baram telah keluar dari penempatan asal dan berhijrah ke tempat lain, kemudian memanggil komuniti mereka berdasarkan nama sungai atau nama tempat penempatan baru mereka. Dikatakan juga nenek moyang mereka telah berkahwin dengan kaum Kenyah. Orang Dalik pula berasal dari Belait, dan mereka pindah kerana mencari kawasan yang lebih subur. Informan Dalik dan Miriek juga mengatakan mereka masih ada keluarga yang menetap di Belait. Menurut Martin (1992, dalam Kroeger, 1988, hlm.30) perkataan ‘Belait’ adalah nama lain bagi bahasa Lementing, bahasa yang sudah pupus. Sejarah penempatan komuniti-komuniti di Baram ini telah menunjukkan bahawa kemungkinan bahasa-bahasa ini dari keluarga yang sama (telah dibuktikan melalui perbandingan leksikostatistik), dan mereka berpisah kerana peperangan.


Kesimpulan

Makalah ini telah membincangkan pendokumentasian bahasa Miriek dan permasalahannya khususnya berkaitan dengan ortografi. Pertalian historikal di antara bahasa Miriek dengan bahasa berdekatan dengannya turut dirungkai. Projek pendokumentasian memakan masa yang lama. Namun ia harus diteruskan oleh komuniti lebih-lebih lagi bahasa merupakan satu-satunya aspek budaya yang ditinggalkan untuk generasi yang akan datang.


Rujukan

  • Asmah Haji Omar & Norazuna Norahim. (2020). Indigenous communities and languages of Sarawak. Kuala Lumpur: Institute of Languages and Literature.
  • Blust, R. (1972). Report of linguistic fieldwork undertaken in Sarawak. Borneo Research Bulletin 4(1), 12-14.

Bradley, D. (2003). Issues in orthography development and reform. Australia: La Trobe www.sil.org/asia/ldc/plenary papers/david_bradley.pdf

  • Cahill, M and Karan, E. (2008). Factors for designing orthographies for unwritten languages.

SIL Electronic Working Papers. SIL International.

  • Dyen, I. (1975). Lexicostatistics and linguistic subgrouping. The Hague: Mouton.
  • Florey, Margaret. (2010). (Ed). Endangered languages of Austronesia. Oxford: Oxford University Press.
  • Himmelmann, N.K. (1998). Documentary and descriptive linguistics, 36, 161-191. https://doi.org/10.1515/ling.1998.36.1.161
  • Himmelmann, N.K. (2010). Language endangerment scenario: A case study from Northern Central Sulawesi. In M. Florey (Ed.), Endangered languages of Austronesia (pp.45-72). Oxford: Oxford University Press.
  • Hudson, A.B. (1978). Linguistics relations among Borneon Peoples with special reference to Sarawak: An Interim Report. Sarawak Linguistics and Development Problems Studies in Third World Societies, 3, Virginia: Boswell Printing and Publisher.
  • Kroeger, P. (1988). Language classification in Sarawak: A status report. Sarawak Museum Journal.
  • Lewis, P. (2009). (Ed.). Ethnologue. Languages of the World (6th Edition). Dallas, Texas: SIL International. 2009. http://www.ethnologue.com.
  • Metcalf, P. (1976). Who are the Berawan? Ethnic classification and distribution of secondary treatment of the dead in Central North Borneo. In Oceania, 47(2), 85-105.
  • Norazuna Norahim (2010). Language choice of Bidayuh graduates in Kuching-Samarahan Division. Unpublished doctoral thesis. University of Malaya.
  • Rensch, M.R., Rensch, C.R., Jonas Noeb & Robert Sulis Ridu. (2006). Bidayuh language: Yesterday, today and tomorrow. Kuching: Dayak Bidayuh Association.
  • Seifart, F. (2006). Orthography development. In N.P. Himmelmann, J. Gippert, U. Mosel (Eds.), Essentials of language documentation (pp.276-281). Berlin, Germany: Walter de Gruyter.
  • Smith, Alexander, D. (2017). The languages of Borneo: A comprehensive classification. Ph.D. Dissertation in Linguistics. University of Hawaii at Manoa.