Kerencaman Fungsi Teka-Teki: Suatu Penelitian Semenanjung Dan Sabah Sarawak

From PustakaPedia
Jump to: navigation, search

This title (paper) has been presented at International Knowledge virtual Conference 2021 (IKC2021) organised by Pustaka Negeri Sarawak. The paper was prepared by Jacquelina Karimon and Fadzilah Binti Abdul Rahim from Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Bangi (Malaysia).

Abstrak

Teka-teki menduga akal. Teka-teki berbeza dengan tradisi puisi lisan yang lain. Dalam teka-teki terkandung soalan untuk diteka. Dalam konteks teka-teki bermain mendidik jiwa penutur dan penekanya. Alasannya mudah sahaja, kerana masyarakat dahulu gemarkan berhibur menggunakan lisan. Mendidik sambil berhibur melenturkan jiwa yang keras dan melunakkan nubari yang kontang. Kajian ini akan memfokuskan perbincangan mengenai fungsi teka-teki Alam Melayu. Konteks persembahan berteka-teki melibatkan tiga peringkat iaitu proses berteka-teki, situasi berteka-teki dan kehadiran penutur dan peneka. khazanah teka-teki memperlihatkan adunan yang sangat kreatif penciptanya. Imej-imej dalam teka-teki memancarkan elemen yang menarik perhatian peneka dalam mencari jawapan. Sehubungan itu, bagi mencari jawapan amalan berteka-teki memerlukan interaksi antara beberapa individu dalam sesebuah masyarakat. Teka-teki puisi warisan dalam kalangan orang Melayu di Semenanjung mengaitkan nilai kanak-kanak dalam pembinaan sahsiah kanak-kanak yang diadun sebati dalam bait-bait puitis teka-teki Melayu. Teka-teki di Borneo pula lebih kepada mendidik masyarakat untuk menghormati adat dan kepercayaan. Proses dokumentasi dan ilmiah digunakan dalam melengkapkan analisis makalah ini. Hal ini bagi, menerangkan fungsi teka-teki dalam Alam Melayu dengan menonjolkan nilai didik yang boleh diserap oleh penutur dan penekanya. Dapatan kajian ini menjelaskan kekayaan teka-teki yang dimiliki oleh Alam Melayu yang istimewa dan digunakan dalam banyak konteks.

Kata kunci: fungsi, konteks, nilai, pendidikan, teka-teki


Pengenalan

Teka-teki puisi tradisi. Teka-teki permainan menduga akal. Teka-teki permainan kata berbeza daripada tradisi puisi lisan yang lain[1]. Dalam teka-teki terkandung soalan untuk diteka. Mendidik sambil berhibur melenturkan jiwa yang keras dan melunakkan nubari yang kontang. Khazanah teka-teki memperlihatkan adunan yang sangat kreatif penciptanya. Penciptaan teka-teki sebagai satu genre puisi yang tersendiri dari segi isi dan fungsi. Teka-teki dalam kalangan masyarakat Sabah dan Sarawak agak unik. Mereka membahasakan teka-teki dengan mengaitkan alam supernatural dan semangat. Selain berhibur dengan susunan komunikasi yang memiliki unsur humor. Unsur budaya berteka-teki juga terdapat dalam kalangan masyarakat Irnanun di Sabah yang dikenali sebagai Antuka. Mereka menjadikan antuka sebagai alat hiburan. Jenis antuka etnik Iranun menjurus kepada aktiviti harian seperti yang telah diklasifikasikan oleh (Asmiaty dan Lokman (2013). Demikian juga Entelah di Sarawak sebagai alat hiburan yang memiliki fungsional terhadap kepercayaan dan kehidupan serta pemikiran dan nilai didik masyarakat.

Teka-teki dimainkan dengan tujuan yang lebih mendalam sejajar dengan keperluan dalam kepercayaan mereka. Kajian ini telah memperlihatkan penyatuan fungsi teka-teki dalam Alam Melayu dengan menonjolkan nilai didik yang boleh diserap oleh penutur dan penekanya.Berbeza penelitian fungsi teka-teki dalam sebahagian masyarakat Melayu di Semenanjung mengaitkan nilai didik yang dapat membina sahsiah kanak-kanak yang diadun sebati dalam bait-bait puitis teka-teki. Usaha mengekal tradisi berteka-teki ditemukan dengan mewujudkan pertandingan teka-teki yang diatur khas antara dua pasukan dan penonton sebagai kaedah pengajaran.

Fungsi Teka-teki

Situasi berteka-teki bermula secara spontan dan tidak formal. Keterbatasan konteks berteka-teki meliputi juga unsur-unsur lisan seperti kepercayaan, pantang larang, mitos dan legenda (Harun Mat Piah 1980:360). Apabila meneliti masyarakat Murut Paluan misalnya menggunakan teka-teki dalam adat kematian. Secara lazimnya mereka akan menyimpan mayat si mati sehingga tiga hari. Mereka percaya bahawa mayat si mati perlu ditidurkan untuk mengelakkan si mati mengaus. Mereka akan memberikan peluang kepada ahli keluarga untuk melihat dan menatap si mati sesuai dengan keadaan. Sepanjang kematian mayat akan dijaga oleh keluarga dan saudara-mara si mati tanpa ada yang tertidur. Mereka percaya mayat perlu ditemankan sambil melakukan perbuatan berteka-teki dan meminum tapai. Amalan berteka-teki ini adalah untuk mengelakkan penjaga tertidur dan menjadi aktif untuk menjaga mayat. Teka-teki juga menjadikan penjaga terhibur dan kesedihan mereka dapat dikurangkan.

Selain itu, mereka juga percaya bahawa amalan berteka-teki adalah untuk membawa dan membantu roh si mati melimpasi alam yang akan dilaluinya. Teka-teki yang terlintas dalam fikiran manusia itulah yang akan disoal kepada si mati ke alam mereka. “Matoi poyoh sangulun, ano okoponong iloh atu ulian riloh. Gino nga asunggait takau supaya alingu nu ulun mugar ino abuka matono muli ra ulian noh.” [Temu bual: Karimon Lumaing, 2019]. Mereka percaya bahawa berteka-teki membolehkan seseorang yang meninggal lagi cepat meninggalkan alam nyata yang tidak baik ditinggalinya kerana keadaanya telah berubah.

Amalan berteka-teki bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Murut Paluan. Malahan mengikut kepercayaan Murut Paluan, jika teka-teki yang dijual tidak berjaya dijawab maka mayat tidak akan dapat diturunkan. Penyelesaiannya penjual teka-teki perlu memberikan gambaran terdekat yang jelas kepada jawapan kepada teka-teki tersebut dan bukan jawapan secara bulat-bulat. Mereka juga percaya kegagalan menjawab teka-teki akan menyukarkan roh si mati untuk mendapatkan kehidupan yang baik di alam barunya. Akibatnya, si penjual teka-teki akan mengalami gangguan atau mendapat nasib yang tidak baik [Temu bual: Karimon Lumaing, 2020].

Berimplikasikan dunia alam ghaib, kepercayaan yang sama juga turut dipegang oleh masyarakat Kadazandusun. Kepercayaan yang mengaitkan teka- teki dengan alam ghaib semasa aktiviti menuai pada. Penggunaan bahasa yang samar, mengelirukan dan pembayang adalah penting untuk melindungi diri daripada semangat tidak baik. Sebagai contoh teka-teki Kadazandusun Songara gara managed, pakada sogodon. Sumandak oh rumuba tombolog mogidu (Momuhau do parai) Bising-bising pembunuh, yang dibunuh pula diam-diam. Jumpa gadis burung lari. (Orang-orang menjaga padi) (Low Kok On dan Jananthan Kandok (2016: 220). Lokman Samad pula (2009: 32-33), mengaitkan berteka-teki dipanggil sebagai amalan monundait sebagai aktiviti perlindungan daripada semangat padi.

Dapatan tambahan dalam masyarakat Murut Paluan menyatakan bahawa, teka-teki tidak boleh dituturkan secara bebas terutama semasa berpantang. Semasa menuturkan teka-teki seorang penjual teka-teki perlulah melihat jantina orang yang sedang meninggal dunia. “Kalau orang yang meninggal itu laki-laki dia sebut ei akilah kalau perempuan kita sebut ei aru.” [Temu bual: En. Daibol Limbawang]. Teka- teki yang dijual menggunakan “aki” merujuk kepada “datuk” mewakili mayat lelaki dan “aru” merujuk kepada “nenek” mewakili mayat perempuan. Jadi jika yang mati tersebut lelaki penjual teka-teki perlulah menjual teka-teki menggunakan “aki” seperti berikut: Ei aki makau sumundai ra dalayoh muli ra rabubus ando akitoh bayah noh. (Si Atuk berjalan kehilir, pulang ke hilir, berjalan ke hulu, pulang ke hilir, tidak kelihatan tapaknya) Jawapan: Perahu yang sedang berjalan di atas air sungai.

Peranan teka-teki (sunggait) ini juga memberikan mitos yang jelas mengenai alam kematian seseorang yang telah meninggal dunia bahawa mereka menghadapi dunia baru. Penggunaan teka-teki dengan menggunakan ei aki atau ei aru dengan betul akan memudahkan perjalanan seorang yang telah meninggal dunia ke destinasinya yang terakhir. Dalam konteks ini teka-teki juga mempunyai fungsi secara tidak langsung kepada roh yang telah meninggal dunia. Jika diteliti terdapat teka-teki yang digunakan yang menggunakan frasa “mati” atau “jalan” sebagai menggambarkan situasi tersebut sedang melalui kehilangan atau kematian. Perkataan mugar dan patoi merupakan perkataan yang disesuaikan mengikut situasi oleh Masyrakat Murut Paluan untuk menunjukkan keadaan orang meninggal dunia. Sebalikknya mereka berpendapat bahawa teka-teki yang bersifat lebih kepada hiburan perlu dielakkan untuk menjaga hati tuan rumah. Selain itu, teka-teki yang tidak mengikut situasi adalah dianggap tidak sopan dan roh si mati juga akan tersinggung dan menyukarkan soalan dijawab.

Burung (Susuit)
Tuk! Tuk! Atindukmu kanon ku,
salah ki oko kanawai tinumanduk
ra raan nu kolobon. Haahh…
[Tuk! Tuk! Kau terpatuk makanan saya, bukan kau burung yang hinggap di dahan kolobon (sejenis pokok)]
Sumber: [Temu bual: Karimon Lumaing, 2019].


Ular (kukuo)
Sihh…Sihh… mondolon kaw, oko
liga sumunsui ra batang nu togob.
Oko poyoh eyau kamu. Salah ko poyoh.
Am gitu aku tondon ra gitu.
[Sih…sih… sekalian ular, kau yang menjalar di pokok togob. Jika kau itu, kata ya. Jika bukan kau. Sini saya berhenti di sini].
Sumber: [Temu bual: Karimon Lumaing, 2019].


Kancil (Palanduk/karuan)
Landuk! landuk! Karuan nalilis ra kukur noh.
Bah sail kono!
[Landuk! Landuk! Pelanduk kaki kecil itu, Bah lalulah kau!]
Sumber: [Temu bual: Karimon Lumaing, 2019].


Komponen lain daripada kepercayaan mitos angkapio (omenism) iaitu bahawa masyarakat Murut Paluan percaya bahawa bunyi binatang merupakan bentuk teka-teki kepada manusia untuk mendapatkan maklumat atau terhidar daripada malang angkapio. Misalnya binatang yang dijoloki sebagai pandai seperti pelanduk, ular burung dan monyet selalu digambarkan binatang yang nakal dan suka mengeluarkan bunyi. Jika seorang pemburu ke hutan berjaya menjawab bunyi binatang yang seperti teka-teki untuk diteka maka mereka akan terlepas daripada sesat dalam hutan. Menurut Khalid M. Hussain, 1979 teka-teki menggunakan bunyi terdapat banyak dalam teka-teki yang dalam bahasa Sunda dikenali sebagai wawangsalan. Wawangsalan merupakan teka-teki bunyi yang dimulai dengan sebuah kalimat atau susunan kata teka-tekinya dan jawapan. Misalnya Jenang sela (bubur batu) adalah apu sama dengan kapur. Kata abu akan dijadikan sugestie bunyi atau sampran untuk apurata. Kajian mengenai teka-teki bunyi ini juga turut diteliti oleh Suwardi Endraswara, 2005 dengan penjelasan yang lebih mudah difahami iaitu wangsalan ialah susunan yang perlu diteka perkara yang disembunyikan terdapat dalam susunan kata. Setiap batangan memerlukan pemikiran yang diselaraskan dengan bunyi di hadapannya. Ini menjadikan teka-teki ini hampir menyemai teki-teki Murut Paluan yang banyak menggunakan permainan bunyi yang diambil daripada binatang sebagai soalan yang perlu diteka dan ditafsir. Namun jika mereka tidak dapat menjawab bunyi tersebut mereka akan terperangakap dalam hutan tersebut. Seorang pemburu yang hebat dan baik akan mampu mentafsir bunyi disekelilingnya dan membuat teka-teki sendiri dan menjawabnya.

Mereka percaya bahawa teka-teki tersebut hanya dalam bentuk bunyi dan berasal daripada dunia bunian yang cuba memerangkap mereka. Seorang pemburu yang hebat akan berkata-kata dan menyindir bunyi binatang yang dikatakan seolah-olah bercakap dengan mereka. Jika burung, ular dan pelanduk itu lalu maka kita boleh meneruskan perjalanan, jika tidak kita perlu berhenti dan menunggu lebih lama lagi untuk menunggu binatang seterusnya minta diteka bunyinya. Kearifan sebegini turut terguna pakai dalam sindiran menggunakan teka-teki bunyi binatang untuk memberitahu rasa tidak puas hati kepada orang terdekat secara tidak terus terang.

Teka-teki sebagai petanda ini bukan sahaja terdapat dalam masyarakat Murut Paluan. Ganing&Ktiting (2019) membahasakan bahawa entelah (teka-teki) masyarakat Iban sangat merepresentasikan mengenai petanda. Menurut kepercayaan masyarakat Iban entelah terutama dalam cerita Dewi Kumang mendedahkah bahawa Dewi Kumang selalu membantu manusia dalam bentuk entelah iaitu menerusi mimpi. Tambah beliau lagi mimpi merupakan satu kepercayaan yang sangat penting untuk mereka berkomunikasi dengan Tuhan atau kuasa supernatural yang lain. Misalnya, bagi masyarakat mimpi yang baik akan menjadikan burung atau petanda tentang sesuatu perkara baik (Patricia a/k Ganing & Asmiaty Amat 2017: 24). Jika diselidiki burung seringkali menjadi petanda, kepercayaan ini mempunyai persamaan dengan Murut Paluan kerana masyarakat ini duduk dalam kepulauan Boreno yang sama.

Penyampaian[2] dan permainan[3] teka-teki dalam kalangan kanak-kanak ketika bersoal jawab adalah cara menyampaikan pelajaran kepada anak-anak tentang adab sopan[4] dan tindak laku yang baik (Harun Mat Piah 1989: 361). Peraturan-peraturan dalam teka-teki akan menyerlahkan adab-adab ketika bermain. Pegalaman berteka-teki itu dapat membangkitkan suasana dan peranan tradisi yang menyeronokkan. Kanak-kanak berteka-teki semasa bersoal jawab dengan nada suara yang seronok [Ha! Ikan cikgu! Ikan!] (Nur Dhia Ufaira), bersemangat.[Cikgu! Cikgu!] kanak-kanak mengangkat tangan (Muhammad Adam Thaqeef), gementar [Tak boleh. (sambil menggeleng kepala)] (Nur Dhia Ufaira),atau lemah [Mengetap bibir membaca perlahan menunduk wajah]. Wajah mimik muka yang tegas [tut..tut..tut.. terdengar bunyinya. (meninggikan suara)](Nur Dhia Ufaira), takut [Ala…(mengeluh gagal menjawab)] dan dahi berkerut [Tak tahu apa ni? Sambil dahi berkerut tangan memegang dagu]. Isyarat-isyarat berteka-teki memberi interaksi antara dua kumpulan yang sedang bertanding teka-teki. Penyoal teka-teki seakan ingin mematahkan semangat kepada peneka teka-teki untuk menjawab teka-teki. Aksi-aksi kanak-kanak semasa berteka-teki menyerlah fungsi teka-teki Melayu yang terkandung nilai didik kanak-kanak sangat menghiburkan melalui pertandingan teka-teki.

Kebiasaan teka-teki berlaku secara spontan tetapi direka dan diatur khas antara dua pasukan dan penonton kepada bentuk pertandingan. Pada zaman milenium, sudah tentu rakaman teka-teki dari penutur lisan sukar ditemui. Hasil kajian ke lapangan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Putra Ipoh, membuktikan kerelevanan teka-teki Melayu sebagai nilai didik terhadap kanak-kanak. Dapatan kajian berdasarkan 7 sampel persembahan[5] dalam pertandingan teka-teki dirakamkan dan ditranskripsikan. Pertandingan teka-teki Melayu ibarat proses pengajaran secara lisan yang membentuk nilai didik kanak-kanak. Apabila bertanding, kanak-kanak bertindak dalam lingkungan peraturan dan tatasusila pertandingan. Secara langsung kanak-kanak sentiasa berdisiplin sepanjang pertandingan yang membentuk suasana persembahan pertandingan yang menghiburkan.

Pertandingan teka-teki dianggap sebagai permulaan awal ‘games and rules’[6] yang menuntut kanak-kanak seawal usia 6 tahun. Teka-teki Melayu dijadikan sebagai permainan bahasa dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Prinsip pembukaan bermula dengan penyoal yang menyampaikan soalan kepada peneka. Peserta yang memberikan soalan haruslah bertanggungjawab terutama kelancaran berbahasa agar peneka dapat mendengar pembayang lebih jelas untuk menjawab teka-teki situasi pertama:

Per..gi ke hutan men…cari paku pakis
Bu..at hiasan di halaman rumah
Bi..la masak rasa…nya manis
Beram..but lebat dan warnanya merah?


Penyoal membaca lancar. Suara sangat perlahan membaca setiap suku kata sehingga para peserta dan pihak lawan tidak dapat dengar. Pihak lawan dan penonton riuh rendah [Tak dengar! (Muhammad Adam Thaqeef)] kerana tidak dapat mendengar suara penyoal dan sudah tentu tidak dapat meneka pembayang yang disampaikan. Penyoal teka-teki (Nur Dhiya Ufaira) bangun membaca teka-teki dengan lancar namun, suara pula sangat perlahan semasa menyampaikan soalan. Kelancaran berbahasa[7] penting semasa menyampaikan teka-teki agar peneka lebih mudah faham pembayang teka-teki dan boleh menjawab teka-teki. Guru membantu peserta supaya kumpulan 2 dapat menjawab teka-teki dengan mengulang semula teka-teki bersama-sama para peserta dan penonton:

Pergi.. ke hutan mencari paku pakis
Buat hiasan… di halaman rumah
Bila masak rasanya manis
Berambut lebat dan…. warnanya merah?


Peneka (Muhammad Adam Thaqeef): Berambut lebat dan warnanya merah...ha...rambutan! rambutan! Keadaan ini secara langsung mewujudkan suasana yang teratur dan tenteram apabila guru campur tangan[8] bersama-sama membantu para peserta ketika bertanding. Pembayang ‘berambut lebat dan warnanya merah’ yang telah dibaca beramai-ramai dengan menguatkan nada suara, menyebabkan dari awal lagi peneka [Mengangkat tangan dan peneka (Muhammad Adam Thaqeef)] dengan mudah boleh meneka jawapan ‘rambutan’.

Kepentingan pembayang sangat penting dalam teka-teki. Pandangan (Inon Shaharuddin 1988:ii) menjelaskan teka-teki Melayu, kebanyakannya berkaitan dengan benda-benda konkrit kerana peneka yang dihadapkan soalan atau teka-teki itu haruslah dapat menggambarkan gambaran daripada pembayang yang disogokkan kepadanya. Biasanya, sesuatu pembayang itu pendek dan ringkas tetapi cukup untuk menepati sifat jawapan yang dibayangkan itu. Dalam konteks ini, pertandingan teka-teki menggalakkan cara bermain teka-teki dengan mengatur strategi untuk menang ketika menyoal, menjawab yang melihat kelincahan dan merangsang fikiran kanak-kanak.

Hasil kajian ini telah memperlihatkan keadaan yang terkawal kanak-kanak berteka-teki sehingga menarik penonton yang tidak mengambil bahagian lebih aktif bersedia mendengar dan berinteraksi untuk bermain teka-teki. Peringkat awal usia kanak-kanak belajar berteka-teki sebagai pengalaman baru kepada kanak-kanak yang berusia 7 tahun:

Bentuknya… besar dan panjang..,
ia bersayap dan berekor…,
diigunakan orang di merata dunia,
terbang tinggi dan sangat… pantas.


Penyoal (Muhammad Adiq Zakuan) nada suara[9] yang dilontarkan sangat perlahan. Peserta kumpulan 2 tidak dengar soalan. Suasana riuh, [Tak dengar, tak dengar!(Farahiya Ayuni)].’ Guru menenangkan keadaan pertandingan [Baik, ulang teka-teki!]. Situasi ini memperlihatkan kesungguhan kanak-kanak bersaing bertanding teka-teki untuk menampakkan kehebatan diri secara individu. Guru telah mengawal dan mengendalikan kanak-kanak untuk mengulang teka-teki.

Penyoal dibenarkan mengulang semula teka-teki. Peneka berasa gembira kerana soalan diulang. Selesai sahaja peneka kumpulan 2 (Farahiya Ayuni)menjawab [Kapal terbang! (pantas sahaja bangun lalu menjawab)]. Situasi ini membuktikan kanak-kanak sedari awal telah mempunyai pemahaman asas tentang teka-teki[10]. Kesukaran pada awal pembukaan soalan ialah penyoal memperlahankan suara. Penonton teruja lalu menyampuk dengan jawapan kapal terbang.

Penonton A:Saya tak pernah naik kapal terbang.
Penonton B:Cikgu, hari-hari saya naik kapal terbang.
Guru :Hari-hari?
Penonton B: Bercuti cikgu.

Penutup teka-teki berakhir dengan pengllibatan penonton yang teruja dengan jawapan kapal terbang. Objek-objek konkrit yang umum dalam kebanyakan teka-teki mempengaruhi kanak-kanak untuk belajar (Harun Mat Piah 1989:354) dan berteka-teki memperlihatkan kemampuan berbahasa kanak-kanak secara santai bercerita pengalaman penonton bercuti bersama-sama keluarga dengan menaiki kapal terbang. Teka-teki Melayu menggalakkan kanak-kanak bercerita, berkongsi dan memberi pendapat tentang objek jawapan teka-teki.Teka-teki Melayu sebagai gelanggang puisi warisan yang dapat membentuk nilai didik kanak-kanak semasa bermain.

Setiap sesi berteka-teki kanak-kanak tidak sabar meneruskan pertandingan. [Cikgu saya pulak ke?] Namun, sebelum pusingan yang seterusnya, guru mengingatkan peraturan berteka-teki. [Menjawab perlu mengikut giliran!] Peringatan guru semasa pertandingan membolehkan kanak-kanak terdidik amalan mematuhi peraturan dan arahan. [Baik, cikgu]. Secara tidak sedar kanak-kanak mengikut tertib untuk menguasai ‘yang dahulu’ hendaklah didahulukan, ‘yang kemudian dikemudiankan’. Setiap pusingan sesi pertandingan kedua-dua kumpulan kelihatan kedua-dua kumpulan berhati-hati semasa membuat keputusan serta fokus mendengar soalan teka-teki untuk meneka jawapan teka-teki:

Ia.. di…ikat, ia ditendang,
di dalamnya a..ngin di luarnya kulit,
ia dibawa bermain di padang,
Ka…dang-ka…dang ditendang jauh ke parit. (haaa dengar tak?)


Penyoal (Muhamad Afif Sirhan B Fauzi) tidak fokus mengemukakan soalan. Seakan sebagai muslihat sengaja memperlahankan soalan[11]. Peserta kumpulan 1 meminta mengulang semula. Sekali lagi (Muhamad Afif Sirhan B Fauzi) masih membaca cara yang sama. Guru menasihati Afif agar fokus dalam pertandingan. Afif membaca lebih semangat dan jelas. Pantas peserta (Nur Izzah Damia Bt Muhamad Johari)terus menjawab bola. Tiba-tiba Afif menjerit:

Afif :Wooiii betullah! Bola.

Afif terkejut kerana rakannya pantas menjawab. Suasana berteka-teki ini menghiburkan hati dengan permainan. Suasana sudah tentu lebih tenang dan lebih fokus. Walaupun, Afif sangat teruja bermain dan mengatur strategi untuk menang tetapi perlu bersaing secara sihat. Kanak-kanak secara langsung memperkaya percakapan dalam keadaan formal dan tidak formal (Abd. Aziz Abd Talib 2000:100). Keadaan ini sudah tentu membina pengalaman dan pendedahan bermain teka-teki Melayu yang sewajarnya melatih kanak-kanak mendisiplinkan diri.

Berdasarkan simulasi pertandingan, Persembahan teka-teki Melayu itu bebas, tidak terbatas kepada penutur-penutur profesional dan penuturannya adalah amat bersahaja dalam keadaan-keadaan yang informal serta tidak mengira tempat dan masa (Inon Shaharuddin 1988:viii). Keutamaan berteka-teki memerlukan interaksi dua individu tanpa mengira perbezaan umur atau status mereka. Jika zaman tradisi yang lalu berteka-teki antara adik dengan abang, anak dengan bapanya atau datuk dengan cucu-cicitnya. Ia juga mungkin dilakukan oleh individu-individu yang seumur seperti dalam kalangan teman sepermainan, kawan-kawan yang sama membasuh kain di sungai, atau teman-teman berbual dan berjenaka di tempat perhimpunan sosial seperti di majlis kenduri atau di majlis perkahwinan. Kewujudan teka-teki Melayu bukan lagi semata-mata sebagai satu bentuk hiburan masa senggang tetapi sebagai gelanggang puisi warisan yang dapat membentuk nilai didik kanak-kanak semasa bermain.


Kesimpulan

Kesimpulannya, permainan dan manipulasi teka-teki dalam kalangan masyarakat Sabah, Sarawak dan Semenanjung memaparkan kerencaman fungsi dalam masyarakat pendukungnya. Kepelbagaian istilah teka-teki juga menunjukkan variasi kreativiti masyarakat ini dalam memaparkan budaya mereka terutamanya dalam menjadikan teka-teki sebagai sumber hiburan. Walaupun terdapat perbezaan dalam menonjolkan teka-teki namun penciptaan dan permainan dalam kalangan masyarakat Sabah, Sarawak dan Semenanjung tetap menunjukkan kesamaan ketinggian intelek dalam kalangan penciptanya. Teka-teki dijadikan sebagai pengungkap budaya masing-masing sebagai hiburan namun hal yang menarik ialah penciptanya telah menghasilkan teka-teki bahasa seperti petanda, ikon dan identiti penutur. Keistimewaan yang dicerminkan dan dimainkan merupakan pesan kecergasan penutur dalam berbahasa melalui manipulasi sekeliling yang secara tidak langsung melambangkan nilai didik dan sahsiah masyarakat.


Rujukan

  • Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad. 2013. Bajau’s Tekodon: A Preliminary Study. Journal of Educational and Social Research ISSN 2239-978X (Print) ISSN 2240-0524(Online) doi: 10.5901/jesr.2013. v3n7p445.
  • Bauman, Richard. 1977. Verbal Arts as Performance. Austin: University of Texas Press.
  • Endraswara Suwardi. 2005. Tradisi Lisan Jawa: Warisan Abadi Budaya Leluhur. Yogyakarta: Narasi.
  • Ganing, P. A., & Kiting, R. (2019). Interpretasi Istilah Mandi dalam Entelah (Teka-Teki) di MGaning, Patricia Anak; Kiting, R. (2019). Interpretasi Istilah Mandi dalam Entelah (Teka-Teki) di Masyarakat Suku Dayak Iban. Jurnal Studi Kultural, IV (1), 13--21.
  • Harun Mat Piah. 1989. Puisi Melayu tradisional. Satu pembinaan genre dan fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Inon Shaharuddin Abdul Rahman. 1988. Teka-teki warisan. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd.
  • Kaivola-Bregenhoj, A. 2001. Riddles. Perspectives on the use, function and change in a folklore genre, https://oa.finlit.fi/site/books/10.21435/sff.10/ [27 November 2018].
  • Khalid M. Hussein. 1979. Pantun, teka-teki dan peribahasa. Bab dalam Buku. Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu.
  • Lokman Samad. 2009. Sundait. Etnik. Disember: 32-33.
  • Low Kok On & Jananthan Kandok. 2016. Sundait Warisan Kadazandusun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Matlob. 1964. Buku sastera alam kanak-kanak. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
  • Omar Mamat. 1999. Teka-teki dalam pengajaran bahasa. Pelita Bahasa Mei: 12-14.
  • Rosnah Din. 2015a. Bijak teka-teki 2. Puchong: Penerbitan Maju.
  • Patricia a/k Ganing & Asmiaty Amat. 2017. Watak Dewi Kumang dalam Entelah (Teka-teki Iban: Interpretasi Makna Kuasa Sakti. Gendang Alam. Jil. 7: 24.
  • Shaiful Bahri Md. Radzi. 2001. The performance of Malay humourous tale- telling. Journal of Southeast Asean Literature (Tenggara) 43: 45-80.
  • Suppiah Nachiappan. 2018. Panduan pendidikan awal kanak-kanak. Teori, model, kaedah dan aktiviti ke arah perkembangan kognisi. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
  • Zaaba. 2008. Kalong bunga. Petikan dari rangkap-rangkap puisi Melayu cara lama. Buku 1. Nyanyian kanak-kanak, pantun dan gurindam seloka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Nota

  1. Pantun genre yang seringkali digunakan untuk meluahkan perasaan hati, mantera mengandungi tujuan dan konotasi magis, pengubatan dan pembomohan, seloka berfungsi untuk menyindir, mengejek dan berjenaka, peribahasa memperkukukan hujah dalam karangan dan percakapan, teromba ialah menggariskan undang-undang sistem adat, dan talibun atau sesomba merupakan ungkapan pemerian tentang tokoh, alat dan peristiwa dalam cerita-cerita rakyat (Shaiful Bahri 2018:2)
  2. Penyampaian cerita-cerita lisan, berkait rapat dengan pancaindera yang menerima iaitu telinga, dan bukan mata seperti kita membaca. Unsur-unsur keindahan bahasa dari segi bunyi, rentak dan tekanan turun naik pengucapan (Mohd Taib Osman 1981:15).
  3. Seseorang guru ingin menggunakan ingin menggunakan kaedah permainan dalam pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memastikan bahawa permainan tersebut menggunakan konsep, kemahiran dan pengetahuam tentan sesuatu mata pelajaran yang akan diajar (Wan Hasmah Wan Mamat & Nur Munirah Teoh Abdullah 2015:3).
  4. Keperluan meninggikan adab dan susila terhadap kemuliaan dan keperibadian insan amat dituntut dalam Islam (Syed Muhammad Naguib Al-Attas 1972:20).
  5. Persembahan bagi maksud Bauman ialah cara penggunaan bahasa dan cara bercakap sebagai teori seni lisan dalam teks-teks berseni (teka-teki) Richard Bauman (1977:11).
  6. Tingkah laku kanak-kanak bertanding mengikut peraturan ditetapkan. Setiap peraturan yang dibentuk dalam permainan tersebut perlu diikuti dan kegagalan mematuhi peratutan boleh dikenakan denda (Piaget 1965, Suppiah Nachiappan 2014:138).
  7. Aspek bahasa sangat penting untuk memperdengarkan kepada pembaca tentang sebuah naratif atau epik disampaikan oleh penuturnya (Richard Bauman 1977:11).
  8. Persembahan dalam sebuah penyampaian lisan, ramai orang campur tangan dengan bebas, dengan soalan dan ucapan (Sweeney 2020:19).
  9. Nada suara sangat penting untuk diperdengarkan oleh penyoal teka-teki kepada peneka. Richard Bauman (1977:11) mementingkan aspek bahasa untuk diperdengarkan kepada pembaca tentang sebuah naratif atau epik disampaikan penuturnya.
  10. Children posses a basic understanding of how to get things done in riddling (Mc Dowell 1979:136)
  11. Kisah Pak Belalang sebagai ahli nujum yang berjaya menyelesaikan teka-teki dengan memecahkan masalah dengan tipu muslihat, di samping daya usaha sendiri dan nasib menyebelahinya (Mohd Taib Osman 2007::xxxvi).