Pengetahuan Tradisional Tumbuhan Di Sarawak : Rantaian Nilai Melalui Pengkomersilan

From PustakaPedia
Jump to: navigation, search

This title (paper) has been presented at International Knowledge virtual Conference 2021 (IKC2021) organised by Pustaka Negeri Sarawak. The paper was prepared by Noor Pahtiwi Bt Bohari and Margarita Naming from Sarawak Biodiversity Centre, Sarawak Malaysia.

Abstrak

Kepelbagaian sumber biologi serta kaitannya dengan pengetahuan tradisional daripada komuniti pribumi di Sarawak berpotensi tinggi membawa kepada penemuan bahan semula jadi yang berguna di dalam penghasilan produk kesihatan dan penjagaan diri. Komuniti pribumi secara tradisional telah menggunakan tumbuhan di dalam kehidupan seharian mereka sebagai sumber makanan, perisa makanan, wangian serta ubat-ubatan. Oleh yang demikian, Sarawak Biodiversity Centre menggunakan pendekatan utama dengan memanfaatkan pengetahuan tradisional komuniti pribumi ini dalam mengenal pasti tanaman yang berpotensi untuk dikomersilkan. Program Dokumentasi Pengetahuan Tradisional dan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) telah dilaksanakan bagi mengenal pasti sumber biologi unik ini. Salah satu bidang keutamaan tersebut adalah melalui penyelidikan berkaitan dengan pengetahuan tradisional tumbuhan asli di Sarawak. Sehingga Julai 2021, sebanyak 6,610 tumbuhan telah didokumentasikan daripada 21 etnik komuniti di Sarawak. Data menunjukkan kebanyakan tumbuhan yang digunakan adalah untuk tujuan perubatan diikuti sebagai makanan dan juga lain-lain kegunaan seperti ritual, kraftangan, perasa, pewangi, pewarna dan perangsang haiwan. Data ini merupakan perintis kepada penemuan sebatian aktif novel yang berpotensi dibangunkan untuk pelbagai sektor industri seperti nutraseutikal, farmaseutial dan terapeutik. SBC telah membangunkan produk prototaip seperti sabun, syampu, penghalau nyamuk, pencuci tangan dan pewangi bilik dengan menggabungkan minyak pati yang diekstrak dari spesies tanaman ubatan dan beraroma. Melalui projek ini, SBC telah mewujudkan rantaian nilai yang sistematik bagi memastikan faedah dapat dikongsi bersama dengan komuniti pribumi.

Kata kunci : Sarawak, pengetahuan tradisional, tumbuhan ubatan dan beraroma, minyak pati, rantaian nilai

Pengenalan

Sarawak mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi - 5,500 tumbuhan berbunga dan lebih daripada 20,000 jenis haiwan dan serangga (Fong, 2006), 3,453 spesies pokok (Rantai& Chai, 2007), 150 spesies halia (Puolsen, 2006) dan 25 spesies periuk kera (Clarke & Lee, 2004).

Selain itu, Sarawak juga terkenal dengan kepelbagaian suku kaum yang mempunyai keistimewaan dan warisan budaya tersendiri serta unik. Terdapat lebih daripada 28 etnik di Sarawak, antaranya adalah seperti kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan Melayu (Chai, 2006). Sehingga kini komuniti-komuniti ini masih mengekalkan hubungan rapat dengan kepelbagaian biologi melalui aktiviti ekonomi tradisional, adat resam dan juga perubatan. Ini menjadikan komuniti pribumi kaya dengan ilmu pengetahuan tradisional dan berkemahiran tentang pengurusan alam semula jadi di dalam menjalani kehidupan seharian.

Chai (2006) di dalam terbitannya merekodkan sebanyak 608 spesies tumbuhan berubat yang digunakan oleh 14 komuniti pribumi di Sarawak. Oleh yang demikian, gabungan kepelbagaian biologi serta pengetahuan sedia ada komuniti pribumi dapat menjadi sumber maklumat awal yang bernilai membawa kepada penemuan baharu. Menurut Hou et al. (2019), kepelbagaian biologi serta komposisi kimia telah menjadi salah satu sumber bioprospektif yang membawa kepada penemuan-penemuan ubat klinikal yang penting. Namun begitu, masih banyak lagi sumber yang belum diterokai untuk dimanfaatkan kegunaannya di masa hadapan.

Dokumentasi Pengetahuan Tradisional Berasaskan Kepelbagaian Biologi

Pengetahuan tradisional (TK) telah digunakan berabad lamanya oleh komuniti pribumi. Pengetahuan ini telah dipindahkan dari satu generasi kepada satu generasi samada secara lisan atau melalui pengamatan. Pengiktirafan pengetahuan tradisional mengenai penggunaan sumber biologi semakin diterima pada masa kini kerana peningkatan permintaan kepada bio-produk yang berkaitan dengan TK. Oleh yang demikian untuk memelihara kekayaan TK ini, usaha secara maksimum perlu dilaksanakan melalui program kesedaran dan pemerkasaan. Pengetahuan komuniti-komuniti pribumi tentang pengetahuan tradisional dan sumber-sumber mereka perlu diperkukuhkan melalui dokumentasi TK supaya mereka boleh mengurus dan melindungi sumber semula jadi mereka secara lebih berkesan. Dokumentasi TK ini adalah sangat penting untuk diteruskan bagi mengekalkan TK yang diwariskan dari generasi ke generasi. Ini kerana ianya berisiko hilang ditelan peredaran masa memandangkan kebanyakkan TK tersebut diwariskan secara lisan. Faktor persekitaran luar juga boleh mempengaruhi kepupusan TK seperti perubahan gaya hidup yang bergantung kepada perubatan moden dan kehilangan habitat sumber.

Sarawak Biodiversity Centre (SBC), ditubuhkan pada tahun 1998 merupakan salah satu agensi di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) telah diberi mandat oleh Kerajaan Sarawak untuk menjalankan dokumentasi TK dan penyelidikan berasaskan bioteknologi serta pembangunan sumber biologi di Sarawak khususnya sumber tumbuhan yang digunakan oleh komuniti pribumi di Sarawak.

Menyedari kepentingan TK dalam penerokaan bahan bioaktif serta sebagai usaha membantu komuniti pribumi di Sarawak memelihara TK mereka, SBC telah menjalankan Program Dokumentasi Pengetahuan Tradisional yang berfungsi sebagai pemudah cara bagi memastikan komuniti boleh merekodkan pengetahuan tradisional mereka menggunakan kaedah yang betul seperti melalui teknik rakaman dan dokumentasi bertulis. Antara tujuan program ini adalah untuk (1) mewujudkan kesedaran di kalangan komuniti pribumi di Sarawak tentang kepentingan TK, khususnya tentang penggunaan dan pengurusan sumber-sumber biologi (2) membimbing komuniti pribumi di Sarawak melalui bengkel latihan untuk membolehkan mereka mendokumentasi TK dengan kaedah yang sistematik (3) mendokumentasi maklumat TK mengenai tumbuhan berguna dan (4) membantu usaha-usaha pemuliharaan ex-situ sumber-sumber biologi melalui pembiakan.

Program ini dijalankan selaras dengan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity, CBD) di mana persetujuan atau keizinan awal perlu diperolehi daripada komuniti. Ringkasan langkah dan pendekatan yang digunakan oleh SBC dalam melaksanakan pendokumentasian TK ditunjukkan dalam Rajah 1.

Rajah1 Langkah Pendokumentasian.png
Rajah 1: Langkah – langkah Pendokumentasian Pengetahuan Tradisional

Semenjak tahun 2002, sebanyak 21 daripada 28 etnik daripada 99 buah lokasi (mesyuarat bersama ketua komuniti) dan 82 buah lokasi komuniti pribumi di Sarawak telah terlibat di dalam bengkel dokumentasi dan pengumpulan spesimen tumbuhan yang dijalankan oleh SBC (Rajah 2).

Rajah2 Taburan Lokasi.png
Rajah 2 : Taburan Lokasi dalam Program Dokumentasi Pengetahuan Tradisional SBC

Sehingga Julai 2021, sebanyak 6,610 tumbuhan telah didokumentasikan oleh SBC di mana kebanyakan tumbuhan yang direkodkan digunakan untuk tujuan perubatan diikuti sebagai makanan dan juga lain-lain kegunaan seperti ritual, kraftangan, perasa, pewangi, pewarna dan perangsang haiwan. Daripada jumlah tersebut, rekod tertinggi kutipan adalah dikutip daripada komuniti Iban sebanyak 1,505 tumbuhan diikuti oleh komuniti Bidayuh sebanyak 1,240 tumbuhan, Penan 1,112 tumbuhan dan bilangan terendah kutipan adalah dari komuniti Tagal sebanyak 20 tumbuhan sahaja (Jadual 1). Spesimen herbarium disediakan dan disimpan di SBC manakala pengenalpastian spesies dilaksanakan oleh ahli botani SBC.

Jadual 1 : Bilangan Tumbuhan yang Didokumenkan dan Dikutip Mengikut Komuniti

No Komuniti Bil. Tumbuhan Dikutip
1 Iban 1,505
2 Bidayuh 1,240
3 Penan 1,112
4 Lun Bawang 640
5 Kelabit 500
6 Kenyah 303
7 Kayan 251
8 Melanau 252
9 Malay 213
10 Selako 137
11 Kedayan 85
12 Sa'ban 79
13 Tabun 51
14 Punan 39
15 Kejaman 39
16 Beketan 35
17 Sekapan 33
18 Bisaya 30
19 Tanjong 24
20 Berawan 22
21 Tagal 20
Jumlah 6,610

Selain daripada kutipan sampel untuk tujuan pemuliharaan secara ex-situ, sampel tumbuhan juga dikutip untuk diserahkan kepada bahagian makmal untuk tujuan penyelidikan. Sampel tumbuhan yang diterima akan diproses dan diekstrak untuk mendapatkan sebatian organik yang kemudiannya disimpan dalam Perpustakaan Produk Semula jadi (Natural Product Library, NPL).


Program Penyelidikan dan Pembangunan

Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) SBC memfokuskan kepada penemuan sumber biologi terutamanya tumbuhan dan sebatian aktif yang berguna di dalam pembangunan produk nutraseutikal, kosmeseutikal serta farmaseutikal untuk mengubati penyakit seperti kanser dan penyakit berjangkit. Dibawah program ini, terdapat 7 makmal yang telah dilengkapi dengan peralatan khusus dan teknologi terkini iaitu Makmal Pengekstrakan, Makmal Kimia Analisis, Makmal Biologi Molekular , Makmal Mikrobiologi, Makmal Penyelidikan Alga, Makmal Tisu Kultur Tumbuhan dan Bioinformatik. Antara peralatan berteknologi tinggi yang terdapat di makmal SBC adalah seperti seperti High Performance Liquid Chromatrography (HPLC), Gas Chromatography-mass Spectrimetry (GCMS), Liquid Chromatography-Mass Spectrometry (LC/MS) dan Inductively Coupled Plasma - Mass Spectrometry (ICP-MS). Berikut merupakan fungsi makmal-makmal tersebut:
(a) Makmal Pengekstrakan dan Makmal Kimia Analisis - pengekstrakan sebatian kimia, pengasingan sebatian sehingga kepada isolasi sebatian kimia aktif.
(b) Makmal Biologi Molekular - menjalankan ujian saringan seperti anti kanser, anti radang, anti virus dan anti proliferative bagi mengenal pasti aktiviti biologi daripada spesies berguna dan sebatian aktif.
(c) Makmal Tisu Kultur Tumbuhan - pembiakbakaan tumbuhan berguna pada skala besar melalui teknik tisu kultur bagi memastikan bekalan bahan mentah adalah mencukupi untuk tujuan R&D, pengkomersilan dan pembangunan produk.


Perpustakaan Produk Semulajadi (Natural Product Library, NPL)

Li dan Lau (2017) menyatakan strategi pendekatan sumber biologi dan sebatian kimia berpotensi memberi peluang dalam mengakses analog produk semula jadi baru bagi membangunkan kepelbagaian di dalam perpustakaan produk semula jadi. Ini jelas menyokong penubuhan perpustakaan produk semula jadi (NPL) SBC yang terdiri daripada gabungan kutipan tumbuhan berguna melalui program TK dan koleksi mikroorganisma yang dikutip dari pelbagai ekosistem dan persekitaran di seluruh Sarawak. NPL merupakan tapak penyelidikan utama di dalam aktiviti saringan sebatian bioaktif samada oleh SBC ataupun melalui projek kerjasama.

Bagi tujuan kolaborasi, untuk mendapatkan akses kepada NPL SBC, dokumen seperti Materials Transfer Agreement (MTA) and Non-disclosure Agreement (NDA) or Research Agreement (RA) perlu ditandatangani.

Ekstrak organik tumbuhan, minyak pati, scent, alga, fungi, actinomycetes dan enzim merupakan antara produk semulajadi yang terkandung di dalam NPL SBC (Rajah 3).
Rajah3 Perpustakaan Produk Semulajadi.png
Rajah3 : Perpustakaan Produk Semulajadi (NPL) SBC

Daripada pengetahuan tradisional, pembangunan Perpustakaan Produk Semula jadi serta penyelidikan yang dijalankan, SBC telah mengenal pasti beberapa tumbuhan ubatan dan beraroma yang berpotensi dimajukan sebagai produk herba dan penjagaan diri. Antara tumbuhan tersebut adalah seperti dalam Jadual 2.

Jadual 2 : Tumbuhan Ubatan dan Beraroma yang digunakan oleh Komuniti Pribumi di Sarawak

Nama Saintifik Kegunaan
Litsea cubeba Merawat sakit perut, mengubati sakit belakang, perasa makanan
Adenosma nelsonioides Merawat penyakit kulit dan menghalau kutu dan hama pada haiwan


Membina Rantaian Nilai Bersama Komuniti: Minyak Pati Daripada Tumbuhan Berubat dan Beraroma

Minyak pati merupakan minyak yang diekstrak daripada bahagian tumbuhan yang beraroma samada dari bahagian daun, buah, kulit kayu, akar, bunga ataupun ranting. Ia juga dikenali dengan nama minyak beraroma atau minyak berbau wangi. Ia dihasilkan melalui teknik pengekstrakan yang dikenali sebagai penyulingan hidro dan penyulingan wap. Industri yang memanfaatkan penggunaan minyak pati adalah seperti wangian dan kosmetik seperti penghasilan produk minyak wangi, penyegar udara, bahan mandian, minyak urut dan aromaterapi. Permintaan yang tinggi terhadap produk-produk tersebut secara tidak langsung telah mendorong kepada permintaan yang tinggi terhadap industri penghasilan minyak pati. Dianggarkan pada tahun 2026, pasaran minyak pati global dijangka melebihi USD 15 bilion (www.eturbonews.com) berbanding hanya USD 7.5 bilion pada tahun 2008 (Asdarina, 2011).

Kajian yang dijalankan oleh SBC telah mengenal pasti dua spesies tumbuhan berubat dan beraroma yang digunakan secara tradisional dan terbukti secara kajian di makmal sebagai bahan asas bagi menghasilkan pelbagai produk kesihatan, penjagaan diri dan minyak wangi iaitu Litsea cubeba dan Adenosma nelsonioides.

Projek LitSara®

Litsea cubeba dikenali sebagai Pahkak dikalangan kaum Bidayuh dan Tenem dikalangan Orang Ulu dan Kelabit (Rajah 4). Kegunaan tumbuhan dikalangan komuniti tersebut adalah sebagai perasa makanan, mengubati sakit perut dan sakit belakang. Kajian makmal mendapati minyak pati LitSara® bersifat anti bakteria dan anti radang serta mampu menghalau serangga dan nyamuk. Kajian komposisi kimia minyak LitSara® yang diekstrak daripada pokok Litsea cubeba di Sarawak berbeza dengan minyak pati daripada spesies yang sama yang terdapat di China dan bahagian lain dirantau Asia seperti di Vietnam dan Thailand. Minyak pati ini telah mendapat perakuan harta intelek iaitu Cap Dagangan LitSara®, Paten Penjagaan Mulut dan Petunjuk Geografi (GI) Sarawak Litsea.

Perjanjian Perkongsian Faedah (Access and Benefit Sharing, ABS) telah ditandatangani pada 20 Mac 2019 bersama dengan lima komuniti iaitu komuniti Bidayuh dari Kampung Kiding (Kuching), Komuniti Kelabit dari Pa’Ukat dan Pa’Lungan di Bario (Miri) dan komuniti Lun Bawang dari Long Kerebangan dan Long Telingan (Lawas). Perjanjian tersebut bukan sahaja merupakan perjanjian ABS yang pertama oleh SBC tetapi juga merupakan perjanjian pertama di Malaysia. Antara produk penjagaan diri yang dibangunkan menggunakan minyak LitSara® adalah seperti sabun, syampu, pencuci tangan, pewangi, tisu basah dan terkini adalah produk hand sanitiser (Rajah 5). Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama SBC bersama UNDP (United Nations Development Programme) dibawah pembiayaan Global Environment Facility (GEF) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Rajah4 Pokok Litsea cubeba.png
Rajah 4 : Pokok Litsea cubeba

Rajah5 Produk Lit Sara.png
Rajah 5 : Siri Produk Penjagaan Diri LitSara®


Projek AdenoSara®

SBC telah melangkah maju setapak lagi melalui projek AdenoSara®. Perjanjian Perkongsian Faedah ke-2 telah ditandatangani pada 17 Oktober 2020 bersama dengan komuniti Bidayuh dari Kampung Semadang (Penrissen) dan komuniti Iban dari Rumah Simon, Lubok Antu. Dikenali sebagai Bunga Ta’ang dikalangan kaum Bidayuh dan Bangkit Engkerawan oleh kaum Iban atau nama saintifiknya Adenosma nelsonioides (Rajah 6), secara tradisional tumbuhan ini digunakan untuk mengubati penyakit kulit (gatal) dan menghalau hama dan kutu. Kajian makmal mendapati, minyak pati AdenoSara® berupaya menghalau nyamuk, bersifat anti kulat, anti bakteria dan anti radang. Seperti juga LitSara®, projek AdenoSara® juga mendapat perakuan harta intelek iaitu Petunjuk Geografi (GI) Sarawak Adenosma dan Cap Dagangan AdenoSara®. Projek ini dibiayai bersama oleh Kerajaan Malaysia dan dilaksanakan dengan kerjasama UNDP Malaysia melalui kemudahan Orang Asli/Orang Asal Micro-Grant Facility (OA MGF).

Rajah 6 - Bunga Ta’ang.png
Rajah 6 : Bunga Ta’ang/ Bangkit Engkerawan

Rajah 7 - Protaip Produk.png
Rajah 7 : Protaip Produk Bunga Ta’ang/ Bangkit Engkerawan


Rantaian nilai di dalam Perjanjian Perkongsian Faedah

Dalam merangka strategi yang berkesan untuk memacu industri ke satu peringkat yang lebih tinggi, pemahaman terhadap struktur rantaian nilai serta pihak yang terlibat secara langsung di dalam industri merupakan asas yang terpenting. Secara ringkasnya, model rantaian nilai di SBC ditunjukkan dalam Rajah 8.

Rajah8.jpeg
Rajah 8 : Model Rantaian Nilai SBC

Secara keseluruhannya, rantaian nilai ini adalah selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG). Ia merangkumi strategi di dalam menangani cabaran pembangunan dunia moden termasuk yang berkaitan dengan ekonomi, sosial, alam sekitar dan teknologi. Antara sumbangan projek LitSara® dan AdenoSara® kepada SDG diringkaskan di dalam Jadual 3.

Jadual 3 : Sumbangan Projek LitSara® dan AdenoSara® kepada SDG

Sustainable Development Goals (SDG) Sumbangan
SDG 1 (1.4) Peningkatan taraf hidup melalui penambahan mata pencarian oleh komuniti melalui perkongsian faedah.
SDG 5 (5.5) Penglibatan kaum wanita dan remaja perempuan di dalam aktiviti pembiakbakaan, penyulingan minyak pati dan kutipan bahan mentah menyumbang kepada penambahan pendapatan seisi keluarga.
SDG 8 (8.3) Pengenalpastian nilai kepelbagaian biologi dengan memanfaatkan pengetahuan tradisional tumbuhan berguna serta memanfaatkan potensi melalui SBC di dalam penghasilan produk komersil yang akan menggalakkan kepada pertumbuhan ekonomi bagi syarikat kecil dan sederhana.
SDG 9 (9.5) SBC meningkatkan penyelidikan saintifik dan inovasi berdasarkan sumber biologi tempatan serta perlaksanaan ABS.
SDG 12 (12.1) Pembangunan rantaian nilai dan kerjasama yang terjalin menyumbang kepada pengurusan serta penggunaan sumber yang lestari dan mapan.
SDG 15 (15.2, 15.6, 15.9) Penuaian lestari sumber tumbuhan melalui Good Wildcraft Practice menyumbang kepada pengurusan sumber yang mapan. Rangka kerja ABS memudahkan akses kepada sumber biologi dan memastikan manfaat sumber biologi dikongsi secara adil dan saksama.
SDG 17 (17.6, 17.9) Kerjasama antara pelbagai pihak membolehkan mobilisasi dan perkongsian pengetahuan, kepakaran, teknologi dan sumber kewangan. Projek kapasiti bina upaya turut menyumbang kepada rancangan pembangunan yang lestari.

Ini jelas dibuktikan melalui faedah-faedah yang diterima oleh komuniti sama ada dalam bentuk kewangan dan juga bukan kewangan oleh komuniti-komuniti yang terlibat. Antara faedah –faedah yang diperolehi oleh adalah seperti (1) pembayaran daripada bekalan bahan mentah, minyak pati, upah, dan faedah IKBS (Indigenous Knowledge Benefit Sharing) (2) penyediaan pondok serta peralatan penyulingan minyak pati (3) pembangunan kapasiti melalui sesi konsultasi dan sesi bina upaya antaranya penuaian lestari- Good Wildcraft Practice, pemuliharaan- pembiakbakaan, dan penyulingan minyak pati (4) pemindahan teknologi melalui aktiviti penyulingan dan pembiakbakaan (5) peluang mengikuti seminar dan acara antarabangsa bagi mempromosikan pencapaian. Faedah-faedah ini secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan komuniti sejajar dengan Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS2030) iaitu kearah masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2030


Rajah9.png
Rajah 9 : Aktiviti Perkongsian bersama Komuniti

Rajah10.png
Rajah 10 : Aktiviti Penyulingan Minyak Pati

Rajah11.png
Rajah 11 : Aktiviti Pembiakbakaan

Rajah12.png
Rajah 12 : Sesi Perkongsian di UN SDG Summit 2019, 6-7 Nov 2019 (KL)

Rajah13.png
Rajah 13 : Rainforest World Music Festival (2017-2019)

Kesimpulan

Secara keseluruhannya dapat dinyatakan bahawa pembangunan produk berasaskan pengetahuan tradisional komuniti pribumi berserta sokongan saintifik (R&D) berpotensi dijadikan sebagai sumber kekayaan negeri yang baharu. Ini kerana apabila sesuatu produk mempunyai potensi yang besar dalam industri berpermintaan tinggi, ia akan membawa kepada pulangan pasaran nilai yang besar sekali gus menjana sumber kekayaan kepada negeri khasnya dan negara umumnya. Selain dari itu, selaras dengan Convention of Biological Diversity (CBD) 1992, hasil dan pulangan yang bakal diperolehi juga akan dapat dikongsi bersama dengan komuniti pribumi yang memiliki pengetahuan tradisional tersebut.


Rujukan

  • Asdarina, Y. (2011). Kajian terhadap pelbagai teknik pengekstrakan minyak pati dari tanaman Nilam (Pogostemon cablin Benth). Master Thesis.Universiti Malaysia Pahang
  • Chai, P.P.K. (2006). Medicinal Plants of Sarawak. Kuching, Sarawak: Lee Ming Press Sdn. Bhd
  • Charles, C. and Lee, C. (2004). Pitcher Plants of Sarawak. Kota Kinabalu, Sabah: Natural History Publications.
  • Fong, J.C. (1996) Interests and policies of the state of Sarawak, Malaysia regarding intellectual property rights for plant derived drugs. Journal of Ethnopharmacology 51, ms 201-204.
  • Hao, D.C, Xiau, P.G., Ma, H.Y, Peng, Y. dan He, C.N., (2019). Mining Chemodiversity From Biodiversity: Pharmacophylogeny of Ranunculaceae Medicinal Plants in Ranunculales Medicinal Plants. Chinese Journal of Natural Medicines. Vol 13 (7), ms 507-520
  • Li, G. dan Lou, H-Z. (2017). Strategies to diversify natural products for drug discovery. Medical Research Review. Vol 3 (4), ms1255-1294, https://doi.org/10.1002/med.21474
  • Penyunting Urusan eTN. Saiz Pasaran Minyak Pati AS, CAGR. Analisis Industri Global menjelang 2026 (2020, 4 Nov) dipetik daripada https://ms.eturbonews.com/1401906/kami-analisis-pasaran-minyak-penting-pasaran-global-cagr-menjelang-2026/
  • Poulsen, A.D. (2006). Gingers of Sarawak. Kota Kinabalu, Sabah: Natural History Publications.
  • Rantai Jawa & Chai, P.P.K. (2007). A new Check List of the trees of Sarawak. Kuching, Sarawak: Lee Ming Press Sdn. Bhd