EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

Tip Khusyuk Solat

image description
Call no.
: 297.382 HAK
Penulis
: Hakim Hamidon
Penyumbang
: ABDUL AZIZ BIN HJ. BUJANG
Ringkasan
Buku ini membincangkan tentang kepentingan solat dan perkara-perkara yang menjejaskan khusyuk dalam solat serta tip untuk khusyuk solat. Melalui buku ini juga, pembaca akan dapat memperluaskan ilmu tentang solat. Terdapat 10 tip khusyuk solat yang dibincangkan di dalam buku ini. Tip yang pertama ialah Persiapan Ibadat iaitu penghayatan terhadap azan yang dilaungkan, adab ketika berada di dalam masjid, persediaan fizikal iaitu dari segi pakaian dan kebersihan diri, persediaan konsentrasi iaitu persediaan hati dengan niat yang betul. Tip yang kedua ialah Merawat Hati di mana hati adalah punca kepada kesempurnaan ibadat dan pekerjaan yang dilakukan. Hati yang baik akan membawa kepada amalan yang baik dan sekiranya hati keras, berpenyakit dan malas ia akan menyebabkan segala amal ibadat tidak sempurna seterusnya menyebabkan solat yang dikerjakan tidak khusyuk. Oleh itu, ia perlu dirawat melalui pembajaan dengan zikrullah, mengingati mati, membaca Al-Quran dan sebagainya. Ia perlu dirawat dengan melindunginya daripada
perkara-perkara yang merosakkan seperti kemaksiatan. Rawatan hati yang ketiga ialah melalui pembersihan iaitu bertaubat dan istighfar dan muhasabah amal iaitu membetulkan kesilapan diri dan penilaian diri. Tip yang ketiga ialah Ihsan Semasa Bersuci iaitu kesungguhan dan kebersihan diri sebelum menunaikan solat iaitu bersih dari hadas, najis dan berwuduk. Tip yang keempat ialah Bacaan Di Dalam Solat iaitu bacaan yang baik akan memberi ketenangan kepada hati dan menarik minat jemaah untuk solat berjemaah. Tip kelima ialah Memahami Makna bacaan Al-Quran atau mentadabbur iaitu sepertimana Rasulullah mentadabbur al-quran sehingga dirinya terkesan dengan al-quran. Cara untuk memahami al-quran ialah dengan mengetahui bahasa Arab, membaca terjemahan al-quran, mempelajari ilmu tafsir al-quran dan sebagainya. Tip yang keenam ialah Berdoa dan Berinteraksi dalam Solat iaitumemperbanyak doa dan memuji kebesaran Allah S.W.T. Tip yang ketujuh ialah Mendirikan Solat iaitu mengerjakan solat mengikut rukun dan menjaga sunat-sunat solat agar ia dapat didirikan dengan baik. Diantaranya ialah arah kiblat yang betul, niat dan takbiratulihram, berdiri dengan sempurna bagi yang mampu, menjaga pandangan mata, menghayati bacaan al-Fatihah, melakukan mengikut tertib solat seperti rukuk dan sujud dengan betul dan sempurna. Tip yang kelapan ialah Persediaan Ilmu iaitu mengenali Allah S.W.T melalui nama-nama dan sifat-sifat Allah. Tip yang kesembilan ialah Persediaan Perasaan iaitu keadaan hati yang tenteram dan mendamaikan akan menjadikan solat khusyuk. Tip yang kesepuluh ialah Amalan Selepas Solat iaitu melakukan solat sunat seperti solat sunat rawatib, taubat, hajat dan sebagainya. Selain daripada itu amalan selepas solat ialah berdoa dan berzikir.

Buku ini sesuai untuk peringkat umur. Isinya yang ringkas mudah difahami.