EN | BM

Laman Rasmi Pustaka Negeri Sarawak

Baca.Reka.Cemerlang

Ditulis pada 19 May 2013



Kuching - Pustaka Negeri Sarawak telah
mengadakan Bengkel Perpustakaan Keluarga 2013 pada 9 dan 10 Mei 2013 bertempat
di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak. Bengkel yang pada mulanya di hadkan kepada
40 orang peserta sahaja telah mendapat penyertaan yang diluar jangkaan apabila
mendapat penyertaan seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada surirumah
dan kakitangan awam. Bengkel ini telah dikendalikan oleh fasilitator yang
dijemput oleh Pustaka iaitu Profesor Madya Dr. Sharif Saad yang merupakan
Timbalan Dekan, Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Puncak Perdana.



Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk
menjadikan perpustakaan keluarga sebagai media untuk menanam serta menggalak
minat membaca secara berterusan dalam keluarga serta untuk meningkatkan proses
pembelajaran di rumah seawal usia kanak-kanak dan secara tidak langsung
mengeratkan hubungan sesama keluarga. Melalui bengkel ini, para peserta
berpeluang untuk mengetahui konsep sebenar dalam membina perpustakaan keluarga
di rumah. Selain itu juga, para peserta didedahkan dengan tujuan untuk
mewujudkan perpustakaan keluarga iaitu untuk menggalakkan budaya membaca di
kalangan keluarga dengan cara atau suasana yang lebih menyeronokkan kerana
ianya tidak terhad kepada sesi pembacaan sahaja malah turut diadakan aktiviti
bersama keluarga bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.



Bengkel yang berlangsung selama 2 hari tersebut,
telah memberi pendedahan kepada peserta bahawa perpustakaan keluarga tidak
semestinya dibina di dalam rumah yang luas dan dikhaskan dalam sebuah bilik. Perpustakaan
keluarga juga boleh disediakan di mana-mana ruang di dalam rumah seperti sudut
di ruang makan, sudut di dalam bilik tidur, ruang di bawah tangga atau
mana-mana ruang kosong yang dirasakan sesuai. Fasilitator turut menerangkan
bahawa perkara paling penting dalam membina perpustakaan keluarga adalah
bahan-bahan yang akan dijadikan sebagai koleksi untuk diletakkan di ruang
tersebut yang haruslah pelbagai dan mengikut peringkat usia ahli keluarga.



Selain daripada penerangan oleh
fasilitator, para peserta juga turut diberi tunjuk ajar untuk membuat
pengkelasan bagi bahan-bahan yang boleh dijadikan sebagai koleksi perpustakaan
keluarga dan seti ap kumpulan turut diberikan projek untuk membina sebuah
perpustakaan keluarga untuk jenis rumah dan ahli keluarga yang berbeza seperti
pembinaan perpustakaan keluarga di rumah panjang yang didiami oleh suami isteri
yang mempunyai anak perempuan yang berusia 16 tahun dan 2 orang anak
lelaki  yang masing-masing berusia 9 dan
5 tahun.



Bukan hanya bengkel ini sahaja,
Pustaka Negeri Sarawak akan sentiasa menggiatkan pelbagai aktiviti untuk semua
peringkat umur tidak kira bangsa dan agama. Malah Pustaka Negeri Sarawak
mensasarkan lebih banyak orang ramai yang berminat untuk mengikuti
program-program anjuran Pustaka Negeri Sarawak pada masa akan datang. Untuk
mengetahui program-program anjuran Pustaka Negeri Sarawak akan datang, orang
ramai boleh melayari laman web rasmi www.pustaka-sarawak.com.