MIRI – Program Jangkauan Ilmu Pustaka Negeri Sarawak, Miri ke Long San, Long Banga dan Bario baru-baru ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Program yang telah berlangsung bermula 26 sehingga 30 Julai 2022 telah dianjurkan bersama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS). Pelbagai aktiviti berteraskan ilmu pengetahuan, informasi dan teknologi telah diadakan sepanjang program yang dikendalikan oleh Bahagian Perkhidmatan Penglibatan Komuniti (CESD) Pustaka Miri.
Antara aktiviti yang telah berlangsung adalah Sesi Pengenalan Pustaka, Literasi Maklumat, Taklimat PANDei (People Accessible Network & Digital Empowerment Inclusivity), Taklimat Keselamatan Dalam Talian serta Bengkel Reading Seeds untuk para bakal ibu bapa dan mereka yang baharu mempunyai bayi.
Selain itu, turut menarik perhatian ramai terutama generasi muda adalah aktiviti Cabaran MBot, permainan realiti maya (VR) dan Dron Mini.
Seramai 90 orang pelajar dan tiga orang guru dari SK St. Pius, Long San telah menyertai program berkenaan pada 25 Julai manakala 90 pelajar dan tujuh orang guru SK Long Banga telah turut serta pada keesokkan harinya.
Program Jangkauan Ilmu kali ini telah berakhir di Bario dengan penglibatan pihak penganjur di Pesta Nukenen Bario pada 28 dan 29 Julai. Pameran Interaktif Pustaka serta aktiviti-aktiviti menarik untuk setiap lapisan masyarakat telah diadakan dan berjaya menarik lebih kurang 500 orang pengunjung sepanjang dua hari tersebut. Seramai 305 orang ahli Pustaka baharu telah mendaftar semasa kempen pendaftaran keahlian yang dijalankan.
Pihak Pustaka Miri yang diketuai oleh Pengurus Wilayah Razak Rambili juga berkesempatan menyertai Pertandingan Sukan Rakyat: Ngalubid Batang dan berjaya mengatasi pasukan lain yang terdiri daripada agensi kerajaan lain serta komuniti setempat.
Program Jangkauan Ilmu Pustaka Miri akan terus dilaksanakan di kawasan-kawasan lain di sekitar wilayah utara Sarawak dan bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut atau menjemput penganjuran program berkenaan di kawasan mereka, sila berhubung melalui telefon 085-422 525 atau e-mel librarian@sarawak.gov.my
Jom Baca Bersama 2025 23 Apr 2025
(SIBU) Jom Baca Bersama 10 Minit X Ramah Tamah Aidilfitri 2025 23 Apr 2025
Perlancaran Reading Seeds 4.0 02 May 2025
Knowledge Camp 2025 21 Jun 2025
International Archives Week 2025 23 Jun 2025