Pustaka Negeri Sarawak akan mengadakan Siri Ceramah Sarawakiana yang bertajuk Bentuk dan Penggunaan Bahasa Halus dalam Masyarakat Melayu dan Iban di Sarawak pada hari Selasa, 30 April 2024 jam 9:30 pagi bertempat di Bilik Koleksi Khas, Pustaka Negeri Sarawak. Penceramah yang akan membentangkan tajuk ini adalah Dr. Remmy Gedat dari Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.
Kajian ini ditulis oleh Dr. Hamidah Abdul Wahab, Puan Siti Marina Kamil dan Dr. Remmy Gedat. Kajian ini meneliti aspek kesantunan bahasa dalam masyarakat Melayu Sarawak dan Iban di daerah Kuching dan Samarahan, khususnya dalam penggunaan bahasa halus atau eufemisme.
Objektif ceramah ini diadakan adalah untuk menunjukkan penelitian bentuk eufemisme yang wujud dan digunakan dalam masyarakat Melayu dan Iban di Sarawak, dan juga membentangkan sejauh mana eufemisme tersebut digunakan dalam kedua-dua masyarakat tersebut. Data kajian diperoleh menerusi kaedah soal selidik, melibatkan responden seramai 50 orang bagi setiap kaum. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan bahasa halus secara sederhana adalah tinggi, iaitu bagi golongan penutur berusia 40 tahun ke bawah, melibatkan kedua-dua masyarakat. Penutur juga didapati memahami perkataan dan ujaran bahasa halus walaupun ia tidak bersifat langsung. Kajian ini juga dapat memperjelas bentuk bahasa halus yang wujud dan tahap penggunaannya dalam masyarakat Melayu dan Iban di Sarawak, selain memaparkan latar budaya masyarakat penutur yang kaya dengan kehalusan bahasanya.
Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh berhubung dengan Puan Aidashermilla Hashim (aidasheh@sarawak.gov.my) / Encik Izaruddin bin Moss (izaruddin@sarawak.gov.my) di talian 082-374000.
Pustaka Negeri Sarawak Silver Jubilee Celebration 31 Dec 2024