EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Pustaka Negeri Sarawak Terus Komited Menerapkan Budaya Pendigitalan ~ Chairman`s Annual Address 2022

Posted on 01 April 2022

KUCHING - Chairman's Annual Address 2022 telah berlangsung pada 31 Mac 2022 yang lepas bertempat di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak. Acara yang diadakan setiap tahun ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan di Pustaka Negeri Sarawak dengan menggunakan pelbagai strategi promosi secara kreatif dan inovatif. Pustaka Negeri Sarawak juga menyediakan kemudahan relevan seiring dengan peredaran masa dan kemajuan teknologi.

Sehubungan itu, Pustaka juga turut menganjurkan Majlis Penghargaan kepada media bagi menghargai mereka yang sentiasa membantu menyiarkan dan mempromosikan perkhidmatan-perkhidmatan kami secara langsung dan tidak langsung terutama sekali semasa negara di landa pandemik.

Antara perkara yang telah dititikberatkan di dalam ucapan Pengerusi, Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak adalah agar Pustaka terus komited menerapkan budaya pendigitalan dalam kalangan staf organisasi sebagai inisiatif menyokong usaha kerajaan ke arah era pendigitalan.

Pengerusi, Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri, YBhg Tan Sri Datuk Dr Hamid Bugo berkata, tindakan itu adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) Kerajaan Sarawak 2030 dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Antara salah satu inisiatif usaha berterusan Pustaka dalam hal ini ialah kewujudan program PANDei iaitu Rangkaian Akses Rakyat untuk Pemerkasaan Digital dan Keterangkuman serta penubuhan Pusat Komuniti Digital (DCC) dengan menjadikan Pustaka sebagai agensi pelaksana.

Sehingga kini Pustaka mempunyai 12 buah Pusat Komuniti Digital bertempat di Kuching, Miri, Limbang, Sibu, Betong dan Samarahan yang telah beroperasi dan dilengkapi dengan infrastruktur fizikal asas, buku, peralatan ICT dan sambungan Internet.

Selain untuk menyediakan platform dan sokongan perkhidmatan ICT, penubuhan Pusat Komuniti Digital ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran digital komuniti dan membina kapasiti bakat semasa warga Sarawak agar menjadi masyarakat yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi untuk kemakmuran menjelang 2030.

Program ini merupakan kerjasama antara Pustaka dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang telah membangun dan kini ia menawarkan kursus pembelajaran dalam talian yang menggalakkan kesedaran dan kemahiran keterangkuman digital dalam kalangan rakyat Sarawak.

Pembangunan kursus e-Pembelajaran mengenai Literasi Digital atau Modul PANDei boleh diakses secara percuma dan dibuka kepada semua. Ini akan membolehkan mereka mencari maklumat dalam talian, melakukan transaksi dalam talian atau pembayaran elektronik dan juga menggunakan perkhidmatan digital yang dimulakan kerajaan seperti SarawakPay dan aplikasi mudah alih Kerajaan Sarawak.

Pustaka juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk menghasilkan platform pembelajaran dalam talian dengan menyediakan kursus dalam talian kepada pemain industri yang terjejas akibat pandemik diikuti Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dan beberapa organisasi lain.

Setakat ini, Pustaka mempunyai 30 inisiatif yang dijalankan sejak tahun lepas termasuk Bicara Sarawak Lestari, perkongsian maklumat, latihan, pameran, dan kempen dalam format fizikal dan maya serta Dasar Tiada Penggunaan Plastik (No Single Use Plastic) Sekali Gus yang baru dilaksanakan pada 1 Februari ini di semua kampus Pustaka.

Sehubungan dengan itu juga, Pustaka Negeri Sarawak telah melancarkan tempat Biblioterapi (Bibliotherapy Space) yang merujuk kepada penggunaan bahan bacaan terutamanya buku untuk membantu dalam proses penyembuhan atau penyelesaian masalah minda termasuk tekanan, keresahan dan kesunyian di dalam erti kata lain ~ Reading Is Healing ~