EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Majlis Graduasi Program Literasi Orang Dewasa Dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Prosper

Posted on 25 February 2025

25 Februari 2025, KUCHING – YB Dato Ir Lo Khere Chiang, ADUN Batu Kitang, telah merasmikan Majlis Graduasi Program Literasi Orang Dewasa sekaligus menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek PROSPER yang berlangsung di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.

Majlis Graduasi Program Literasi Orang Dewasa Siri 1 ini dianjurkan bagi memberikan penghargaan kepada peserta dari Kampung Haji Baki yang telah berjaya menamatkan program literasi yang dijalankan dari bulan September 2024 hingga Februari 2025. Program Literasi Orang Dewasa ini merupakan satu inisiatif baharu oleh Pustaka Negeri Sarawak yang bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi di kalangan golongan dewasa yang berumur 15 tahun ke atas, khususnya bagi mereka yang tidak boleh membaca dan menulis.

Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memperbaiki tahap literasi, tetapi juga untuk menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat. Pasukan Program Literasi Orang Dewasa Pustaka Negeri Sarawak telah merangka modul khas yang direka untuk mengajar kemahiran 3M, iaitu Membaca, Menulis, dan Mengira, kepada para peserta. Selain itu, modul ini turut memberikan tumpuan kepada usaha untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan dewasa yang menyertai program ini, dengan matlamat agar mereka boleh menyumbang lebih baik kepada komuniti mereka serta mempunyai peluang yang lebih cerah dalam aspek pekerjaan dan kehidupan.

Senarai Graduan Majlis Graduasi Program Literasi Orang Dewasa Kampung Haji:
1. Ebah Tasmo
2. Hajijah Mat
3. Haminah Chu
4. Ipot Zarif
5. Jamyah Mat
6. Lasimah Amat Sariak
7. Latifah Eussof
8. Miraf Fadzil
9. Rokiah Madilan
10. Salama Satimin
11. Saniah Jais
12. Yon Ejas

Tahniah juga diucapkan kepada pemenang Anugerah Khas yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang program ini:
• Anugerah Inspirasi Komuniti: Hajijah Mat
• Anugerah Kepimpinan: Rokiah Madilan
• Anugerah Paling Berdedikasi: Salama Satimin

Turut hadir adalah Pengerusi, Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, serta beberapa pegawai kanan Pustaka Negeri Sarawak.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada para graduan, dan semoga program sebegini membawa banyak manfaat kepada mereka dalam kehidupan seharian.