24 November 2025, KUCHING – Pustaka Negeri Sarawak telah berjaya menganjurkan Program Juh Nambah Ilmu 2025 dan Program Jerayawara Sarawak Lestari 2025 pada 19 hingga 20 November 2025 di Maludam, Betong. Program ini diketuai oleh Encik Ramdzan Saman, Ketua Sektor Perkhidmatan Perpustakaan, dan menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada komuniti setempat.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Encik Mahli Bin Semail, Penghulu Kampung Maludam, yang turut menzahirkan penghargaan kepada Pustaka atas usaha berterusan dalam membawa program pembangunan ilmu dan kelestarian ke kawasan luar bandar.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai pengisian telah dilaksanakan, termasuk taklimat dan kajian kesedaran mengenai Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) United Nations yang dibimbing oleh Hajah Syeeida Ali Hussein, program Literasi Maklumat yang dikendalikan oleh Encik Edison Ricket, Ketua Bahagian Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Literasi Maklumat, aktiviti kesihatan percuma bersama rakan strategik, serta gotong-royong di Perpustakaan Desa Maludam. Penglibatan aktif masyarakat menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembudayaan ilmu serta kesedaran kelestarian.
Pustaka Negeri Sarawak ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada komuniti Maludam serta Perpustakaan Desa Kampung Hulu Maludam atas sokongan padu yang telah diberikan. Kerjasama erat ini menjadi faktor utama kejayaan program dan mengukuhkan lagi peranan Pustaka dalam memperluas capaian perkhidmatan kepada rakyat di seluruh Sarawak.
Pustaka kekal komited meneruskan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dengan menekankan pembelajaran sepanjang hayat, pemerkasaan komuniti, serta kesejahteraan sosial dan alam sekitar.
Sebarang pertanyaan mengenai artikel ini boleh berhubung dengan pegawai seranta Nur Ashikin Ahmad di talian 0111-0870191
Seminar Sarawak Lestari Bertemakan ?Alam Sekitar dan Sumber Asli? 27 Nov 2025
Makersmeet 2025 29 Nov 2025
(Sibu) Fun Run 5KM in conjunction with the 5th Anniversary of Pustaka Sibu 30 Nov 2025
Sarawakiana Festival 2025 08 Dec 2025