EN | MY

Sarawak State Library

Read.Innovate.Excel

Pustaka Negeri Sarawak Menandatangani Memorandum Persefahaman Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka

Posted on 03 November 2022

3 November 2022, KUCHING - Pustaka Negeri Sarawak hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mewujudkan asas kerjasama yang mempunyai kepentingan dan manfaat bersama kepada kedua-dua organisasi. Kerjasama ini termasuklah dengan menyediakan kepakaran, tenaga kerja, maklumat dan sokongan yang diperlukan antara satu sama lain untuk bidang-bidang berikut:-

i. Pendidikan dan penyelidikan;
ii. Pembangunan koleksi berkaitan Bahasa dan sastera;
iii. Penerbitan;
iv. Promosi dan pemasaran produk yang diterbitkan; dan
v. Mana mana bidang kerjasama lain yang akan dipersetujui bersama oleh pihak-pihak pada peringkat kemudian.

"Antara program kerjasama Pustaka Negeri Sarawak yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan termasuklah penerbitan buku-buku biblioterapi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Besarlah harapan saya agar lebih banyak lagi hasil kerjasama ini akan dapat dilaksanakan demi manfaat kedua belah pihak, negeri Sarawak, dan negara Malaysia amnya" ujar Tuan Haji Japri semasa ucapan aluan beliau pagi ini.

Manakala antara harapan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin melalui sesi khas Majlis Sidang Media adalah untuk mendidik masyarakat melalui pembacaan dengan kegiatan-kegiatan yang akan dilaksanakan oleh Pustaka dan DBP kelak.

MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, YBrs. Tuan Haji Japri Bujang Masli dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran . Majlis turut disaksikan oleh YBrs Prof. Dr. Shahren Ahmad Zaidi Adruce, Ahli Lembaga Pengarah Pustaka Negeri Sarawak bertempat di Bilik Suratkhabar, Aras 1, Pustaka Negeri Sarawak.

Maklumat lanjut mengenai Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman Antara Pustaka Negeri Sarawak dengan 
Dewan Bahasa Dan Pustaka sila berhubung dengan pegawai seranta kami, Encik Mohd Nazari Razali dan Cik Syeeida Ali Hussein di talian 082-442000.